Di Facebook, pernah tak anda ambil ujian suka-suka seperti “Which celebrity do you like?” Kemudian anda berkongsi hasilnya dan berbangga yang muka anda sama seperti Hugh Jackman ataupun Natalie Portman dan lantas berkongsinya di newsfeed Facebook.
Jika benar, anda mungkin telah mendedahkan diri anda kepada manipulasi tanpa disedari.
Tapi sebelum itu, saya nak terangkan dua jenis kuiz personaliti di Facebook yang saya perasan.
Jenis 1
Anda tekan satu pautan di Facebook dan dibawa ke satu laman web khas tempat kuiz itu terletak. Anda jawab beberapa soalan dan keputusannya terus keluar dan di akhir ujian, ia akan bertanyakan pada anda jika ingin berkongsikan keputusan ujian di dinding Facebook anda.
Contohnya seperti “Which Black Panther Character Are You?“. Prosesnya linear, ringkas dan telus. Tiada masalah.
Jenis 2
Anda tekan satu pautan di Facebook dan dibawa ke satu laman web khas tempat kuiz itu terletak. Sebelum menjalankan ujian, anda perlu melog masuk menggunakan Facebook dan terdapat butang “Continue as [nama anda]” dan anda tekannya tanpa banyak berfikir dan terus memulakan ujian.
Saya ingin tekankan pada kuiz personaliti jenis 2, walaupun jenis 1 pun memiliki onarnya yang tersendiri. Anda perasan tak yang “Log in WIth Facebook” adalah “gerbang emas” untuk pihak ketiga mengakses data peribadi?
Sebelum menekan butang “Continue as [nama anda]” cuba tarik nafas dan perhatikan perkataan-perkataan yang terpampang dalam tetingkap itu. Mari kita tengok contoh di bawah.
Dalam tetingkap ini, Facebook sedang memaklumkan anda yang pihak Blobla (pemilik kuiz) akan menerima akses, daripada Facebook dan dengan persetujuan anda, terhadap:
- Profile
- Senarai Rakan
- Utusan di Timeline
Kemudian, cuba tekan “Edit This” untuk melihat lebih lanjut:
Anda akan dapati yang Blobla cuba mengakses maklumat seperti nama, gambar, umur, jantina, dan segala bagai maklumat yang anda setkan sebagai public berserta ratusan rakan anda serta apa jenis utusan yang telah di-post-kan.
Saya sendiri tak dapat nak hubung kaitkan antara proses untuk mencari selebriti mana yang ada rupa seiras dengan saya dengan maklumat-maklumat yang akan Blobla perolehi jika saya menekan “Continue as [nama anda]”.
Pada tahap ini takkan anda tak terfikir perkara yang serupa?
Analoginya adalah seperti anda ke 7eleven untuk membeli roti Gardenia tapi juruwang bertanyakan soalan tak releven seperti siapa kawan awak? Dimanakah awak tinggal?
Saya hampir 100% pasti yang ia adalah salah satu proses pelombongan data (data mining).
Apakah kesannya? Teruskan membaca.
[nextpage title=”Apa signifikannya?”]
Tahukah anda yang Facebook kini sedang disiasat oleh pelbagai pihak berkuasa A.S perkongsian data 50 juta pengguna Facebook secara tidak sah dengan pihak ketiga?
Ia bermula dengan Aleksandre Kogan yang memiliki sebuah syarikat Global Science Research. Pada minggu lalu, terdapat seorang whistle blower mendedahkan yang pada 2014, sebanyak 50 juta akaun Facebook maklumatnya telah dituai.
Cara ia dituai adalah melalui contoh kuiz personaliti yang saya nyatakan di awal tadi.
Kogan kemudiannya berunding dengan sebuah syarikat yang bernama Cambridge Analytica (CA) untuk bberkongsi data itu. CA adalah syarikat yang menyediakan khidmat kepada pihak korporat dan juga parti politik untuk “ubah suai” persepsi golongan sasaran.
Menggunakan data yang dituai tadi, CA membangunkan perisian yang amat berkuasa yang boleh meramalkan tingkah laku individu, misalnya di peti undi.
Mengapa Saya Kata Yang Ia Mungkin Digunakan Untuk Pengaruhi Keputusan Pilihanraya Kelak?
Semasa kempen pilihanraya presiden Amerika Syarikat baru-baru, Robert Mercer seorang jutawan yang bergiat dalam lapangan hedge fund telah melabur USD 15 juta pada Cambridge Analytica.
Syarikat itu telah berkhidmat untuk tiga calon presiden termasuklah presiden Trump sendiri. Apa yang mereka lakukan adalah menganalisis jutaan data pengundi untuk mencari golongan pengundi yang paling mudah dipujuk seupaya berpihak kepada calon-calon tertentu.
Caranya adalah dengan menghantar mesej propaganda yang ditempa unik untuk golongan tertentu melalui media sosial dan mereka mengesahkan yang ia berjaya melonjakkan dana derma yang diterima calon presiden dan seterusnya menjadi penyebab kepada kejayaan presiden Trump.
Mark Turnbull, pengarah urusan Cambridge Analytics, dalam satu rakaman rahsia berkata “Kami pernah lakukannya di Mexico, kami pernah lakukannya dan Malaysia, dan kini kami akan berkhidmat di Brazil…”
Terus ke minit ke 05:50 untuk petikan itu.
Tidak mustahil taktik yang serupa sedang digunakan di Malaysia lebih-lebih lagi menjelang Pilihanraya Umum 2018 ini.
[nextpage title=”Apa yang anda boleh lakukan?”]
Anda perlu tahu siapakah pihak yang anda benarkan untuk mengakses data anda di Facebook. Untuk melakukannya, anda boleh ke ruangan Setting akaun Facebook.
Kemudian, buang segala APP yang ada akses data yang anda rasakan tidak releven.
Yang paling penting adalah untuk tidak tergopoh gapah semasa menekan pautan ataupun butang. Ambil masa untuk membaca segala teks yang dihidangkan pada anda supaya anda memahami risiko yang ditanggung anda.
[Sumber: TheGuardian, TheMalaysianInsight, CNBC, Gambar Muka]