U Mobile hari ini mengumumkan akan melanjutkan perjanjian kerjasama RAN 3G bersama Maxis, terhad di beberapa kawasan. Ia akan dilanjutkan sehingga akhir Jun 2019.
Melalui perjanjian yang dilanjutkan ini, pengguna U Mobile akan merayau di rangkaian 3G Maxis di tempat-tempat yang telah dipersetujui bersama. Tempat ini adalah kawasan yang di luar liputan rangkaian 3G dan 4G kepunyaan U Mobile sendiri.
Kerjasama U Mobile dan Maxis ini bermula sejak mereka menandatangani perjanjian perkongsian selama 10 tahun pada 2011. Kemudian pada Jun 2017, U Mobile menghantar notis kepada Maxis untuk memberhentikan kerjasama ini. U Mobile menyatakan, ia akan mengambil masa selama 18 bulan untuk ditamatkan sepenuhnya, iaitu pada Disember 2018. Hari ini, ia dilanjutkan lagi ke Jun 2019.
U Mobile mengambil langkah penamatan ini untuk meluaskan lagi liputan rangkaian 4G mereka menggunakan jalur 900MHz dan 1800MHz, tambahan dari jalur 2600MHz yang telah sedia ada sebelumnya.
U Mobile turut menyatakan, mereka telah membelanjakan lebih RM5 bilion untuk membangunkan lagi rangkaian baru yang lebih berkualiti.