fbpx

Telefon gaming bajet dari ASUS akan datang 11 Januari

ASUS Zenfone Max Pro M2 adalah satu telefon pintar kelas pertengahan dengan harga yang sangat kompetitif. Dengan bajet di bawah RM1,000, ia adalah satu pilihan terbaik terutama dengan baterinya yang sangat besar, 5,000mAh.

Semasa Zenfone Max Pro M2 dilancarkan di Indonesia bulan lepas, satu lagi model yang lebih ringan kuasa dan harganya turut diperkenalkan, Zenfone Max M2. Rupanya hampir sama dengan Max Pro M2, tetapi spesifikasinya lebih hampir dengan Max Pro M1.

ASUS Malaysia hari ini berkongsi satu berita tentang Zenfone Max M2. Telefon pintar ini dikhabarkan akan tiba di Malaysia tidak lama lagi, pada 11 Januari 2019.

Belum dimaklumkan tentang harganya, tetapi di Indonesia ia telah dijual pada spesifikasi dan harga berikut:

  • Zenfone Max M2 (3GB/32GB) – IDR2.299.000 (~RM658)
  • Zenfone Max M2 (4GB/64GB) – IDR2.699.000 (~RM773)

Untuk perbandingan, Zenfone Max Pro M2 dijual di Malaysia pada harga:

  • Zenfone Max Pro M2 (4GB/64GB) – RM859
  • Zenfone Max Pro M2 (6GB/64GB) – RM999

Telefon pintar Zenfone Max M2 digerakkan oleh kuasa dari cip Snapdragon 632, dengan pilihan RAM 3GB dan storan 32GB, atau RAM 4GB dan storan 64GB. Ia memiliki slot untuk tiga kad, dua untuk memuatkan kad sim nano dan satu kad mikroSD untuk storan tambahan.

Skrin Zenfone Max M2 berkeluasan 6.3-inci dengan takuk di atas, tetapi resolusi rendah HD 1520×720 sahaja. Ia memiliki pengimbas capjari di belakang, serta pengecaman wajah untuk membuka kunci skrin.

Kamera belakangnya dwi-lensa 13MP F1.8 + 2MP, manakala kamera hadapan 8MP F2.0 dengan LED Flash bercahaya lembut untuk swafoto yang cerah dan menawan.

Bateri Max M2 sedikit kecil, hanya 4,000mAh tetapi masih lebih besar dari kebanyakan telefon pintar lain di pasaran. Ia dicas melalui sambungan mikroUSB dan menjalankan sistem operasi Android 8.1 Oreo tulen.

BACA  TuneTalk lancar perayauan data RM25 3-hari khas buat pengguna BIG

Adakah ini telefon pintar gaming terbaik untuk kelas permulaan? Sebab itu apa yang ASUS mahu kita rasakan.

Zenfone Max Pro M2 (kiri) dan Zenfone Max M2 (kanan)

[Sumber: ASUS]