Lexar mula jual kad memori SD 1TB terbesar di dunia

Lexar merupakan satu jenama pengeluar kad memori. Mereka baru sahaja mengumumkan penjualan kad memori SDXC terbaru mereka, dengan kapasiti terbesar ada di dunia. Sebanyak 1TB.

Mungkin anda pernah mendengar tentang kad SD 1TB. Ya, Sandisk pernah mengumumkannya pada tahun 2016, tetapi ia masih tidak dijual hingga hari ini. Lexar sebaliknya, telah mula menjual kad SD 1TB ini.

Kad memori Lexar Professional 1TB 633x SDXC UHS-I ini memiliki kelajuan membaca sehingga 95MB/s, kelajuan menulis sehingga 70MB/s dan kelajuan merekod video kelas V30. Ini membolehkan pencipta kandungan untuk merakam lebih banyak gambar beresolusi tinggi, serta video Ultra HD 4K, dalam satu kad memori.

Harga jualan kad SD 1TB ini ialah USD499.99 (~RM2,044) dengan jaminan terhad sepanjang hayat. Sebagai perbandingan, kad jenis yang sama dengan kapasiti 512GB berharga USD209.95 (~RM858) manakala 256GB pula USD109.95 (~RM449).

Kad SD Lexar 1TB ini juga telah disenaraikan di laman web B&H di Amerika Syarikat, dengan harga USD399.99 (~RM1,636) sahaja. Kami masih belum menemui sebarang penjual di Malaysia.

[Sumber: Lexar, PetaPixel]

BACA  Hari Raya Shopee menawarkan tempahan motosikal atau kereta hanya serendah RM1