Nokia akan hasilkan peranti dengan skrin berlubang?

Rasanya kita dah boleh mula menulis kad ucapan selamat tinggal buat takuk, kerana semakin banyak pengeluar telah mula menghasilkan telefon pintar tanpa menggunakan skrin bertakuk. Salah satu cara yang semakin mendapat tempat ialah skrin berlubang, seperti Samsung Galaxy A8s, Huawei Nova 4 dan Honor View 20.

Nokia mungkin menjadi pengeluar terbaru menyertai trend ini apabila satu berita terbocor menceritakan tentangnya. Nokia 8.1 Plus dikatakan akan menjadi peranti pertama Nokia dengan skrin berlubang.

Perkara ini dilaporkan oleh pakar pembocor berita Onleaks, menerusi laman web 91Mobiles. Model ini masih belum pernah disebut oleh Nokia tetapi ia memiliki persamaan dengan Nokia 8.1 sedia ada.

Laporan tersebut menyatakan, ia akan memiliki skrin 6.22-inci HD Penuh+ dengan lubang di atas kiri memuatkan kamera hadapan. Dari gambar yang dikongsi, ia masih mengekalkan jek audio 3.5mm dan menggunakan port USB-C untuk mengecas.

Tiada maklumat lain tentang perkakas di dalam, tetapi kita boleh melihat ia menggunakan optik Zeiss untuk kamera belakang. Pengimbas capjari juga terdapat di belakang. Rekaan belakang telefon ini sangat menyerupai Nokia 8.1 yang akan dijual di Malaysia 18 Januari ini.

Untuk perbandingan, Nokia 8.1 yang berharga RM1,699 di Malaysia memiliki skrin PureView bertakuk 6.18-inci, dikuasakan cip Qualcomm 710, RAM 4GB dan storan dalaman 64GB. Kamera belakangnya dwi-lensa 13MP+3MP dengan bateri berkapasiti 3,500mAh.

[Sumber: 91Mobiles]

BACA  Nokia 1 Plus, peranti mampu milik berkuasa Android Go telah tiba di Malaysia