Vivo perkenal inovasi ekstrem pada 24 Januari?

Tahun 2018 menyaksikan banyak inovasi dari Vivo, seperti telefon pintar NEX dan NEX Dual Display. Awal tahun 2019, mereka dijangka akan memperkenalkan kepada umum inovasi terbaru mereka, menerusi satu petunjuk misteri yang dikongsi laman rasmi Vivo di weibo.

Petunjuk tersebut merupakan satu gambar seperti poster, dengan objek yang kelihatan seperti cecair yang membentuk simbol infiniti. Bagaimanapun, ia memiliki kod nama ‘Waterdrop’ yang mungkin adalah model Vivo Apex 2.

Tahun lepas, Vivo memperkenalkan telefon konsep Vivo Apex sebagai telefon pintar nirbingkai dengan modul kamera bermotor. Ia kemudiannya dilancarkan sebagai Vivo NEX.

Petunjuk tersebut juga menyatakan tarikh 24 Januari, dipercayai sebagai tarikh pelancaran produk misteri ini. Jika ia pengganti kepada model Apex tahun lepas, dipercayai telefon ini akan tampil dengan spesifikasi flagship seperti pemproses Snapdragon 855, RAM sehingga 10GB dan storan hingga 512GB.

Perkara ini kelihatan selari dengan berita yang dilaporkan oleh pembocor berita, @UniverseIce awal bulan ini. Beliau berkongsi tentang sisi telefon ini yang kelihatan memiliki badan melengkung seperti titisan air. Tambah beliau, ia adalah rekaan yang tidak pernah dilihat pada telefon pintar sebelum ini.

Adakah Vivo akan melancarkan telefon pintar dengan rekaan kaca penuh dari depan ke belakang? Atau nisbah skrin ke badan menghampiri 100%?

BACA  Galaxy A30 dan A50 tiba di Malaysia minggu depan

Kita akan tahu lebih lanjut pada 24 Januari nanti.

[Sumber: mySmartPrice]

Share