fbpx

18 Telefon Yang Telah/Akan Tiba Dalam Suku 1 2019

Suku 1 setiap tahun adalah musim pelancaran telefon kerana di dalamnya ada acara Mobile World Congress (MWC). Untuk buatkan anda tak terlepas apa-apa telefon yang telah dan akan dilancarkan, berikut adalah senarai telefon yang akan tiba dalam suku 1 2019.

Telefon manakah yang anda nanti-nantian?

1. ASUS ZenFone 6

Siri ZenFone 5 adalah produk yang pertama menggayakan notch dan yang paling mirip pada iPhone X. Dua model diumumkan di MWC 2018 iaitu 5Z dan 5 yang masing-masing gunakan CPU Snapdragon 845 dan Snapdragon 636.

Untuk generasi seterusnya, maklumat ZenFone 6 masih samar-samar. Tapi, khabar angin kuat menyatakan yang mereka akan mengumumkan sesuatu berkaitannya di MWC.

Ia didakwa bakal menyahkan notch dan juga modul kamera terpacul keluar seperti vivo NEX.

2. ASUS ZenFone Max M2

ZenFone Max Pro M1 adalah antara bualan hangat dalam tahun 2018 sehinggakan Redmi Note 5 langsung tenggelam. Penghujung 2018, ZenFone Max Pro M2 dan Realme 2 Pro menguasai gelanggang kelas pertengahan dengan penawaran telefon berspesifikasi mantap pada harga kurang daripada RM1,000.

Walaupun Max Pro M2 dilancarkan di Malaysia hujung tahun lalu, versi “lite” yang dikenali sebagai Asus Max M2, hanya tiba awal tahun 2019. Antara komponen yang boleh anda temui adalah seperti:

  • CPU Snapdragon 632
  • RAM 4GB
  • storan 32GB

Belakang telefon ini lebih mirip kepada Max Pro M1 dengan dwikamera belakang 12MP + 2MP mengambil tanggung jawab di jabatan pengimejan. Selfie pula diberikan sensor 8MP.

Tapi bateri telefon ini sedikit kecil berbanding edisi Pro. Ia dibekalkan bateri 4,000mAh yang tetap besar dalam kelasnya. Jika anda ingin memilikinya, ia dijual pada harga RM699.

3. Honor 10 Lite

Atas kertas, Honor 10 Lite miliki spesifikasi hampir serupa dengan honor 8X. Ia menampilkan paparan 6.21″ HD Penuh dengan notch titisan air.

Pada papan utama, terpateri CPU Kirin 710, RAM sehingga 6GB dan stora sehingga 128GB. Ia ada slot mikro-SD untuk kemudahan meluaskan storannya.

Segala aktiviti pengimejan dilakukan melalui kamera belakang 13MP + 2MP dan kamera depan 24MP. Bateri berkapasiti 3,400mAh membekalkan kuasa kepada semua komponen elektronik.

Walau bagaimanapun, dalam tahun 2019, ia masih menggunakan port mikro-USB dan tiada pengecasan pantas hadir.

Di Malaysia, Honor 10 Lite dijual pada harga bermula RM749 untuk varian RAM 3GB dan storan 32GB.

4. Honor View 20

Telefon ini dilancarkan pada 20 Januari 2019 dan bakal jadi telefon kedua di Malaysia dengan notch terapung selepas Nova 4. Masalahnya, Nova 4 masih belum dijual secara rasmi sehingga 14 Februari 2019. Maka, View 20 masih ada peluang untuk mencantas Nova 4 dalam pasaran Malaysia kerana ia akan dijual bermula 26 Januari 2019 dengan honor Watch Magic percuma!

View20 diperkasa cip Kirin 980, RAM sehingga 8GB dan storan sehingga 256GB.

Pada bahagian kamera, belakangnya ada dua buah kamera. Kamera utamanya ada 48MP manakala kamera sekundernya diperkasa teknologi ToF (Time of Flight) untuk tujuan pengimejan 3D.

BACA  Histogram: Komponen Penting Fotografi Yang Anda Perlu Tahu

5. Huawei Nova 4

Huawei Nova 4 dilancarkan 16 Januari 2019 dan ia adalah telefon ber-notch terapung pertama diumumkan di Malaysia. Tapi spesifikasinya sedikit lapuk kerana masih diperkasa Kirin 970, CPU yang sama seperti P20 Pro. Malah, pasaran Malaysia hanya terima versi 20MP kamera belakang sedangkan di China ada versi 48MP.

Bersama-sama Kirin 970, anda ada RAM 8GB dan juga storan 128GB tapi tiada opsyen untuk meluaskan storan dalaman. Ia ada paparan 6.4″ dengan resolusi HD Penuh dan dibekalkan bateri 3,750mAh.

Belakangnya ada tiga kamera, selain kamera 20MP, anda ada kamera sudut pandang luas 16MP dan satu kamera bokeh 2MP. Untuk swafoto, ada kamera 25MP dengan teknologi beautification. Ia dijual pada harga RM1,899.

6. Motorola One

Setelah sekain lama menghilang daripada radar Malaysia, akhirnya Motorola kembali dengan Motorola One. Ia adalah telefon kelas pertengahan di bawah program Android One.

Maka, anda boleh jangkakan pengalaman Android Vanilla yang lancar. Dijual pada harga RM799, spesifikasinya agak lapuk, sama macam Mi A1 yang sudah berusia lebih 2 tahun.

Anda boleh menemui CPU Snapdragon 625, RAM 4GB dan storan 64GB dan bateri berkapasiti 3,000mAh. Untuk kamera, anda terima kamera belakang 13MP + 2MP dan kamera depan 8MP.

7. Motorola RAZR

Selepas Nokia 3310, legenda seterusnya adalah Motorola RAZR yang jadi lambang trend budak-budak 90-an. Seperti mati hidup kembali, WSJ melaporkan rekarnasi RAZR akan berlaku sekitar Februari 2019.

Antara yang menarik adalah, teknologi skrin boleh lentur didakwa bakal ditampilkan pada telefon ini. Berkemungkinan besar, ia akan dipamerkan di MWC 2019 bulan depan.

8. Nokia 8.1

Nokia 8 adalah flagship yang dilancarkan Nokia dalam tahun 2018 dan untuk 2019, mereka mengumumkan Nokia 8.1 dan boleh ditempah di Malaysia. Tak seperti namanya, Nokia 8.1 bukanlah penambahbaikkan berbanding sebelumnya.

Hal ini kerana, Snapdragon 835 pada Nokia 8 disisihkan untuk beri ruang kepada Snapdragon 710. CPU itu dipadankan dngan RAM 4GB serta sotran 64GB yang boleh diperluas melalui slot khas.

Pada bahagian pengimejan, anda beroleh kamera belakang 12MP+13MP serta kamera depan 20MP. Bateri yang menguasakan telefon ini adalah sebesar 3,500mAh yang menyokong teknologi pengecasan pantas.

Anda boleh dapatkan Nokia 8.1 pada harga RM1,699.

9. Nokia 9 PureView

Jika jadi kenyataan, Nokia 9 Puewview pastinya bakal jadi telefon dengan konfigurasi kamera paling radikal dalam tahun 2019. Tidak terfikir dek akal, khabar angin bertiup menyatakan yang ia akan ada 5 kamera!

Tidaklah diketahui konfigurasi setiap satu daripadanya. Tapi kamera telefoto, wide-angle, dan bokeh adalah perkara biasa. Besar kemungkinan kamera selebihnya adalah kamera 3D.

Spesifikasi teknikal masih jadi misteri tapi spekulasinya adalah ia ada paparan 5.99″ QHD, Snapdragon 845, storan hingga 128GB, dan bateri 4,150mAh.

10. OPPO R19

Pengganti R17 Pro dikhabarnya sudah ada pengganti yang bakal dilancarkan. Ia berikutan beberapa gambar casingnya yang dikongsikan di Internet mendedahkan bagaimana rupa belakangnya.

BACA  Mantapkan Skill Sunting Gambar Di Telefon Dengan Tutorial Ini

Tiada maklumat teknikal ada setakat ini. Tapi jika dikatakan bakal menggantikan R17 Pro, ia sekurang-kurangnya diperkasa CPU yang lebih baik berbanding Snapdragon 710.

Paling menarik adalah pada bahagian lubang bahagian atas. Ia mencadangkan ada komponen yang tidak boleh dilindungi getah casing. Ramai beranggapan ia adalah kamera selfie yang dipindahkan ke situ bagi membuang notch titisan air yang ditemui pada R17 Pro.

R17 Pro

Sambil menunggu pengumuman R19, anda boleh baca reviu R17 Pro kami di sini.

11. Razer Phone 2

Telefon gaming pertama tiba di Malaysia tahun 2019 adalah Razer Phone 2 dan anda boleh mula dapatkannya pada harga RM3,449.

Malangnya ia masih diperkasa CPU flagship 2018 tapi tidaklah bermakna ia tidak mampu menampung bebanan gaming yang dilontarkan padanya.

Spesifikasi utama telefon ini adalah pada panel paparan dengan refresh rate 120Hz pada resolusi QHD. Sungguhpun bazelnya besar, bingkai itu mengandungi speaker stereo dengan teknologi Dolby Atmos.

Pertama dalam telefon gaming, Phone 2 ada kekalisan debu dan air di tahap IP67 serta dilengkapi pengecasan wayarles untuk mengisi bateri 4,000mAh-nya.

12. Redmi Note 7

Permulaan tahun 2019, Redmi diumumkan bergerak secara solo dan bukan lagi siri telefon dibawah jenama Xiaomi. Bersama-sama dengan pengumuman itu adalah produk pertama mereka iaitu Redmi Note 7.

Melihat pada spesifikasi asasnya, tak salah untuk mengatakan yang ia adalah midrange terbaik dalam tahun 2019 setakat ini.

Pada papan utama, anda boleh temui Snapdragon 660, RAM sehingga 6GB dan storan sehingga 64GB. Paparannya adalah 6.3″ beresolusi HD Penuh.

Ramai yang akan dapati telefon ini lebih baik berbanding ZenFone Max Pro M2 dan Realme 2 Pro adalah ia menggunakan USB-C untuk mengecas masuk bateri 4,000mAh.

Untuk kamera, ia ada kamera belakang 48MP+5MP dan kamera depan 13MP.

Di China, telefon ini dijual pada harga bermula RMB999 (RM603)

13. Samsung Galaxy M

Ini adalah siri baru dalam keluarga Galaxy. Galaxy M akan diperkenalkan pada 28 Januari 2019. Keluarga ini akan hadir dengan paparan bingkai nipis seperti yang diumumkan tahun 2018.

Antara spesifikasi yang akan menemui anda adalah seperti batteri 5,000mAh dengan pengecasan pantas melalui USB-C, CPU Exynos 7885 dan RAM 3GB.

Lebih menarik, harganya berkemungkinan besar amat kompetitif untuk bersaing dengan Redmi Note 7, Realme 2 Pro, dan ZenFone Max Pro M2.

14. Samsung Galaxy S10 & S10+

Telefon yang dinantikan ramai orang pada suku 1 setiap tahun sudah tentunya Galaxy S. Meneruskan tradisi, Galaxy S10 bakal membuat penampilan dalam suku 1 2019 tapi lebih awal berbanding kebiasaan iaitu 5 hari lebih awal daripada MWC 2019.

Tapi anda tak perlu risau yang Malaysia tetap jadi pasaran utama Samsung. Sejak Galaxy S7, kita adalah yang terawal terima flagship Samsung.

Yang menariknya, ia dikhabarkan dianggotai tiga varian iaitu S10 Lite, S10 dan S10+ dan seperti Galaxy M, ada paparn infinity baru.

BACA  Taasub E-Mel Mungkin Punca Kegagalan Windows 10 Mobile Bersaing Dengan iOS

Maklumat yang diperoleh Gizmodo juga menunjukkan ada varian telefon dengan storan superbesar 1TB. Walau bgaimanapun, info seperti CPU, kamera, dan lain-lain masih tiada setakat ini.

15. Sony Xperia XZ4

Laman bahasa Inggeris kam imelaporkan perihal Sony berkemungkinan besar sedang beransur berundur daripada pasaran telefon pintar Asia Tenggara. Jadi, peluang untuk telefon baru Sony di Malaysia dalam tahun 2019, agak tipis.

Tapi, mereka akan mengumumkan Sony Xperia XZ4 di MWC 2019. Seperti biasa, yang jadi masalah pada Sony bukanlah spesifikasinya, tapi harganya yang buatkan pengguna berpaling darinya.

XZ4 akan dilengkapi Snapdragon 855, CPU terbaru Qualcomm dan akan menguasakan flagship 2019 hingga 2020.

16. Vivo NEX Dual Display

Generasi kedua telefon yang mengegarkan dunia dengan kamera tersembunyi, Vivo NEX kini lakukan satu lagi kejutan. Vivo NEX kini hadir dengan versi dwipaparan.

Paparan sekundernya berada di belakang sebesar 5.49″, sedikit kecil berbanding paparan utamanya 6.39″. Kedua-duanya menggunakan panel paparan Super AMOLED.

Bagi mengekalkan rekaan bingkai nipis, telefon ini tiada kamera depan kerana selfie boleh dilakukan dengan bantuan paparan sekunder. Komponen kameranya diperkasa sensor 12MP, 2MP, serta kamera TOF untuk tujuan pengimejan 3D.

Daripada segi spesifikasi, ia memiliki spesifikasi flagship. Anda boleh menemui CPU Snapdragon 845, RAM 10GB, dan storan 128GB. Bateri yang menguasakan telefon ini adalalh sebesar 3,500mAh.

Tempahan untuk memiliki vivo NEX edisi dwipaparan sudah dibuka dan ia berharga RM3,199.

17. Vivo APEX (2019)

Permulaan tahun 2019, vivo ada keluarga teaser tentang telefon berkod nama “titisan air” dan akhirnya mereka dedahkan namanya sebagai Apex 2019.

Para spekulasi melaporkan yang ia akan hadir dengan rekaan kaca sepenuhnya. Ia juga akan ada pengimbas cap jari yang lebih baik dan nisbah paparan-ke-badan yang lebih tinggi.

Vivo NEX yang dilancarkan dalam tahun 2018

Untuk tahun Apex 2018, mereka menampilkan telefon berbingkai nipis dengan mekanisme kamera boleh luncur. Kita nantikan apakah kejutan vivo untuk Apex 2019.

18. Xiaomi Mi MIX 3

Siri MIX daripada Xiaomi adalah pelopor pada paparan berbingkai nipis. Untuk generasi ketiga, mereka lonjakkan nama MIX ke satu tahap yang lebih tinggi apabila memperkenalkan semula mekanisme boleh luncur seperti yang boleh ditemui pada telefon pra-Android.

Bahagian muka MIX 3 dihiasi paparan HD Penuh 6.39″ tanpa takuk ia menjadikan paparannya 93.4% dan selebihnya bingkai. Spesifikasinya berada dalam kelas flagship iaitu Snapdragon 845 yang dipadankan bersama RAM 6GB dan storan 128GB.

Untuk kamera, anda terima dwikamera belakang 12MP+12MP yang dikatakan DxOMark sebagus Galaxy Note9. Kamera depan pula diperkasa dua sensor 23MP+2MP.

Semua kelengkapan elektronik diperkasa bateri 3,200mAh dengan pengecasan pantas.

Mi MIX 3 sudah mula dijual di pengedar-pengedar sah seluruh negara ataupun secara dalam talian. Ia dijual pada harga bermula RM2,199 bergantung pada warnanya.