TM telah menghantar jemputan media ke satu majlis pelancaran #khabarbaik pada hari Rabu ini, 30 Januari 2019. Dalam jemputan tersebut, ia menyatakan Unifi ada khabar baik dan akan berkongsi perancangan mereka untuk tahun 2019.
Kad jemputan yang dihantar tersebut tidak menerangkan lebih lanjut tentang apa yang akan terdapat pada majlis tersebut. Tetapi kita boleh menjangkakan beberapa perkara yang mungkin akan dikongsikan kelak.
Pelan Unifi Mobile
TM pertama kali menggunakan tanda pagar #khabarbaik semasa pelancaran pelan pascabayar unifi mobile dari serendah RM19 sebulan. Ia diletakkan di dalam kategori pelan Value, tambahan kepada pelan Ultimate tanpa had yang sedia ada.
Semua pelan Value ini datang dengan kuota data dipecah dua, antara LTE dan 3G. Tetapi hanya 1GB data 3G diberikan, dengan kuota data LTE berbeza mengikut jenis pelan. Jumlah minit panggilan percuma juga berlainan tetapi hanya 25 SMS percuma diberikan untuk semua pelan.
Pelan pascabayar ini ditawarkan dari serendah RM19 sebulan sehingga RM59 sebulan. Untuk pelan tanpa had, boleh melanggan pelan Ultimate unifi Mobile 99. Hanya perlu membayar RM99 sebulan untuk menggunakan internet, panggilan dan SMS tanpa had. Tetapi hotspot dihadkan ke 10GB sahaja sebulan.
Adakah TM akan menawarkan pelan baru bagi Unifi Mobile? Pelan yang bagaimana boleh ditawarkan lagi oleh Unifi?
Naiktaraf Unifi Turbo
Tahun lepas, selaras dengan penguatkuasaan Standard Mandatori bagi Harga Capaian (MSAP), TM telah mengumumkan naik taraf Turbo untuk pengguna Unifi sedia. Naik taraf ini memberikan sehingga 10x ganda kelajuan dari yang sedia ada.
Bagaimanapun, pengguna Unifi masih keliru tentang bagaimana mereka boleh mendapatkan naik taraf Turbo ini. Masih ada yang tidak tahu tentang naik taraf ini dan ada juga yang tahu tetapi tidak tahu bila mereka akan menerimanya. Yang dah menerima naik taraf Turbo, mengadu tidak menerima kelajuan yang sepatutnya.
Ada yang mengadu perbezaan harga pengguna baru dan lama, ada juga yang keliru dengan add-on yang diterima, tak kurang juga yang marah dengan terma dan kontrak baru yang dikenakan menjadikan mereka seperti pelanggan baru Unifi. Sehingga kini, TM sendiri masih tidak dapat menjelaskan banyak perkara dan memberi jawapan yang memuaskan.
Harapnya pada 30 Januari nanti, TM akan berkongsi langkah yang lebih pasti berkenaan naik taraf Turbo agar ia tidak mengelirukan pengguna.
Unifi TV
Baru-baru ini, TM telah mengumumkan untuk tidak lagi memberikan Set-Tob-Box (STB) Unifi TB kepada pengguna baru Unifi. Tahun lepas, ia masih ditawarkan bersama akses penuh ke semua saluran dengan bayaran tambahan RM30/bulan. Tetapi kini, ia tidak ditawarkan lagi sama sekali.
Pelanggan Unifi masih boleh menonton Unifi TV tetapi menerusi aplikasi mudah alih Unifi PlayTV. TM menyatakan, langkah ini diambil berikutan pengguna kini lebih gemar menonton kandungan semasa bergerak di peranti mudah alih, berbanding di TV.
Walaupun trend pengguna berubah, Unifi TV masih menjadi pilihan ramai terutama sekali warga tua yang sering di rumah, yang masih selesa menonton menggunakan alat kawalan jauh dan di TV berskrin besar. Malah, ia juga adalah sebahagian dari kempen Convergence yang diwar-warkan oleh TM selama ini.
Menerusi kempen Convergence, TM menawarkan pakej semua dalam satu merangkumi internet, panggilan dan tv. Semua ini diberikan sejak Unifi diperkenalkan pada tahun 2010.
Mungkinkah TM ada perancangan baru untuk menggantikan Unifi TV ini kelak? Sebab ada ura-ura mengatakan Unifi mungkin akan bekerjasama dengan Astro untuk menawarkan saluran TV menerusi IPTV.
Apa yang anda mahu tahu?
Masih banyak perkara berkenaan TM yang masih belum terjawab. Apakah persoalan yang anda ingin dapatkan jawapannya? Kami akan hadir ke majlis #khabarbaik TM ini dan bertanya kepada TM jika anda ada soalan yang ingin diajukan. Tinggalkannya di ruangan komen di bawah.