fbpx

ASUS X570ZD laptop berkuasa GTX1050 yang murah dan ringan

Hampir semua jenama ada menghasilkan laptop dengan kuasa grafik NVIDIA GeForce GTX 1050 dengan harga di bawah RM4,000. Tetapi di bawah RM3,000? ASUS ada, apabila hari ini mereka mengumumkan ketibaan laptop ASUS X570ZD ke Malaysia.

Laptop ASUS X570ZD boleh dibeli di Malaysia pada harga RM2,899 sahaja. Rahsia ASUS membuat harga yang rendah ini adalah AMD. Laptop ini dikuasakan cip pemproses AMD Ryzen 5 2500U. CPU ini memiliki 4-teras dengan kelajuan 2.0GHz, dan kelajuan turbo mencecah 3.6GHz.

Pada harga ini, ASUS memuatkan RAM DDR4 sebanyak 4GB. Terdapat dua slot RAM di dalam laptop ini, jadi pengguna boleh menambah batang RAM kedua di masa hadapan. Storan dalam bentuk HDD dengan kapasiti 1TB menjadi ruang penyimpanan fail.

Kuasa grafik pula disalurkan dari cip grafik NVIDIA GeForce GTX1050 dengan RAM Video GDDR5 sebanyak 4GB. Ini menjadi tarikan paling utama laptop ini. Kuasa grafik tinggi dengan harga rendah, serta RAM kecil dan storan HDD yang perlahan berbanding SSD.

Untuk paparan, ia memiliki skrin HD Penuh berukuran 15.6-inci. Walaupun murah, laptop ASUS X570ZD memiliki bentuk badan yang langsing dan berat yang ringan. Ia mempunyai ketebalan hanya 21.9mm dengan berat 1.96kg sahaja. Kerana itu, ia juga tiada pemacu cakera optikal.

ASUS menyatakan laptop ini memiliki jangka hayat bateri sehingga 9 jam untuk melayari internet. Ia menggunakan bateri Lithium-Ion 3-sel, dengan kuasa 48Wh. Ia juga datang dengan pengecas pantas, yang boleh mengecas sehingga 60% dalam masa 49 minit.

Dengan saiz besar, laptop ini memiliki semua port yang diperlukan dalam saiz penuh. Ia ada jek audio 3.5mm, 1x USB3.0, 1x USB-C, 2x USB2.0, RJ45 LAN dan HDMI 1.4.

BACA  Tanda Kalendar Anda, KFC Edar Ayam Percuma Sempena Hari Ayam Goreng Kebangsaan

Laptop ASUS X570ZD datang dalam satu warna pilihan, Hitam (Reaper Black) dengan lampu biru di sisi, memberikan rupa yang nampak menarik.

ASUS akan mula menjual laptop X570ZD di Malaysia bermula bulan Februari 2019. Ia datang dengan jaminan antarabangsa selama 2 tahun. Untuk maklumat lanjut, layari laman produk ASUS X570ZD.

Nama Model X570Z-DE4095T
Warna Hitam
CPU AMD Quad Core R5-2500U,
2.0 GHz (2M Cache, sehingga 3.6 GHz)
RAM DRAM DDR4 4GB
Storan SATA 1TB 5400RPM 2.5″ HDD
Skrin 15.6′ FHD 1920×1080 16:9
Kad Grafik NVIDIA GeForce GTX 1050 GDDR5 4GB
Pemacu Optikal TIADA
WiFi 802.11ac + Bluetooth 4.2
Sistem Operasi Windows 10 (64bit)
WebCam VGA
Bateri 48WHrs, 3-sel Li-ion
Berat 1.96kg
Jaminan 2 Tahun Jaminan Antarabangsa
Harga RM2,899