fbpx

LG G8ThinQ telefon pertama dengan kamera hadapan ToF

Kamera Time of Flight atau ToF, membolehkan pengesanan tahap kedalaman yang lebih tepat kerana ia mengesannya secara 3-Dimensi 93D). Malah, ia juga tidak terkesan oleh gangguan cahaya menjadikan ia sesuai digunakan walau di persekitaran malap.

Beberapa pengeluar telah pun mula menggunakan kamera ToF di belakang seperti OPPO R17 Pro, Vivo NEX Dual Screen dan juga yang terbaru Honor View 20. Tetapi LG mahu menjadi yang pertama menggunakan kamera ToF di hadapan.

LG baru-baru ini mengumumkan kerjasama dengan Infineon dalam menghasilkan telefon pintar terbaru mereka yang akan datang, LG G8 ThinQ. Telefon ini akan dilengkapi kamera hadapan ToF yang menggunakan cip sensor imej Infineon REAL3.

Menurut mereka, teknologi 3D biasa menggunakan algoritma kompleks untuk mengukur jarak objek dari kamera. Tetapi sensor imej ToF menangkap cahaya infra merah yang dipantulkan dari objek untuk ukuran jarak yang lebih tepat. Malah, ia juga lebih pantas dan efektif dalam cahaya malap, sekaligus mengurangkan beban pemproses dan penggunaan tenaga.

LG turut menjelaskan, teknologi ToF digunakan secara meluas dalam bidang biometrik seperti pengecaman wajah kerana tahap ketepatan yang tinggi dan tidak terganggu dengan cahaya luar. Kamera 3D ToF juga sesuai digunakan bersama aplikasi AR dan VR.

Dengan kamera 3D ToF di hadapan, ia mungkin boleh digunakan untuk menangkap gambar swafoto dengan bokeh yang lebih tepat, terutama sekali di celah jari dan rambut yang sering gagal dibezakan. Pastinya ia boleh memberikan lebih banyak penggunaan AR berbanding kamera TrueDepth di iPhone.

Walaupun masih tiada sebarang kenyataan rasmi tentangnya, LG G8 ThinQ adalah peranti flagship yang pastinya mahu menandingi Samsung Galaxy S10. Ia akan dilancarkan di pameran MWC 2019 di Barcelona hujung bulan ini.

BACA  Vivo bagi diskaun untuk mereka yang lahir bulan Ogos

Menurut berita yang dibocorkan oleh @OnLeaks di 91Mobiles, LG G8 ThinQ memiliki skrin seluas 6.1-inci bertakuk dengan kuasa digerakkan oleh Snapdragon 855. Ia masih menggunakan dwi-lensa kamera belakang dan akan mengekalkan jek audio 3.5mm dan pengimbas capjari fizikal.

[Sumber: LG, 91Mobiles]