Lemeng adalah produk terbaru dari Lenovo?

Satu akaun baru telah muncul di weibo, dengan nama Lemeng Mobile. Ia sebenarnya bukanlah satu syarikat baru, sebaliknya ia kelihatan seperti anak syarikat Lenovo. Ini memandangkan ia memaparkan gambar chat bersama Lenovo, malah ia turut dikongsi di laman weibo Lenovo.

Nampaknya, Lenovo turut mengikut jejak langkah syarikat China lain yang memperkenalkan jenama lain di bawah mereka. Huawei ada Honor, Xiaomi dengan Redmi, OPPO pula Realme dan terbaru, iQoo dikatakan jenama baru di bawah Vivo.

Dalam status terbaru weibo Lemeng Mobile, mereka turut menulis amaran kedatangan mereka kepada Honor, Redmi dan iQoo.

Sebenarnya, Lemeng Mobile memang sudah sekian lama dimiliki Lenovo. Ia digunakan sebagai jenama telefon pintar dengan fokus kepada muzik. Tetapi ia sudah bertahun-tahun terkubur. Nampaknya Lenovo mahu menghidupkannya semula dan ikut serta trend terbaru ini.

Selain mengeluarkan telefon pintar dengan jenama Lenovo sendiri, Lenovo turut memiliki jenama Motorola yang dibelinya dari Google pada tahun 2014.

Telefon pintar Lenovo selama ini dikenali sebagai telefon pintar bajet, murah dan mampu dimiliki. Adakah Lemeng Mobile akan dijadikan jenama premium dan mengekalkan jenama Lenovo sebagai jenama bajet? Kita tunggu dan lihat langkah mereka seterusnya.

[Sumber: GizmoChina, Weibo]

BACA  100 filem VOD percuma untuk pelanggan pelan baru Unifi 300Mbps