Warna burung kenari ini eksklusif untuk Galaxy S10e

Galaxy S10e merupakan salah satu dari telefon yang dikhabarkan akan dilancarkan Samsung pada 20 Februari nanti. Dari maklumat yang telah tersebar, ia merupakan model terendah dalam keluarga Galaxy S10. Tetapi, ada satu keunikan padanya yang tidak terdapat pada model Galaxy S10 yang lain.

Keluarga Galaxy S10 dikatakan akan datang dalam tiga warna iaitu Prism White, Prism Green dan Prism Black. Tetapi Galaxy S10e akan memiliki satu lagi warna tambahan, dipanggil Canary Yellow.

Rupa Galaxy S10e dengan warna Canary Yellow ini dikongsi oleh Roland Quandt. Berbeza dengan warna Prism dengan tona warna gradien, warna Canary Yellow ialah warna kuning rata, tiada dua tiga tona atau gradien.

Dari gambar yang dikongsi ini juga kita boleh melihat dengan jelas rupa keseluruhan Galaxy S10e. Di hadapan, ia menggunakan skrin berlubang di sudut atas kanan, berbeza dengan Huawei Nova 4 dan Honor View 20 yang berlubang di sudut atas kiri. Skrin ini juga rata, tidak melengkung di sisi.

Di belakang pula, ia memiliki dua lensa kamera dengan badan yang melengkung di sisi. Tiada pengimbas capjari kelihatan di belakang dan di depan. Tetapi ia bukannya sebab ia menggunakan pengimbas capjari di dalam skrin. Sebaliknya, Galaxy S10e akan menggunakan pengimbas capjari di sisi. Ia ditanam di dalam butang kuasa di sisi kanan.

Lain-lain perkara tentang Galaxy S10e ialah seperti saiz skrin 5.8-inci dari jenis AMOLED, dengan kaca Corning Gorilla Glass 5. Menggunakan cip pemproses terbaru Samsung, Exynos 9820, RAM 6GB atau 8GB dan storan sehingga 256GB.

Kamera belakangnya gabungan lensa 12MP F1.5, bersama lensa ultra lebar 16MP F2.2. Manakala kamera hadapan pula 10MP F1.9, terletak di dalam lubang skrin.

BACA  Galaxy A10 dan A20 mula dijual secara rasmi di Malaysia

Baterinya sebesar 3,100mAh, dicas melalui port USB-C dan menyokong pengecasan wayarles, serta mampu mengecas peranti lain secara wayarles di belakang.

Ramai yang melihat Galaxy S10e ialah jawapan Samsung untuk melawan peranti iPhone paling popular tahun ini, iPhone XR. Dengan tambahan warna kuning yang terang menyala, ia seakan meniru warna warni iPhone XR yang tidak terdapat pada iPhone XS.

Melihatkan dari semua maklumat yang telah terdedah, kami jangka Galaxy S10e akan dipasarkan dengan harga kurang dari RM3,000. Adakah ia cukup untuk mengalihkan perhatian orang ramai dari iPhone XR? Apa pendapat anda?

[Sumber: @Rquandt]