fbpx

Zenfone 6 buat kemunculan di MWC 2019 secara tersembunyi

Tahun lepas, ASUS melancarkan Zenfone 5 dalam satu majlis yang super meriah. Majlis pelancaran itu dibuat bersamaan dengan pameran MWC 2018 di Barcelona. Tahun ini, Zenfone 6 nampaknya tidak menyertai kemeriahan MWC 2019, tetapi ia masih sempat menyelit untuk memberitahu peserta MWC tentang ketibaannya kelak.

Pasukan SoyaCincau telah tiba di Barcelona hari ini untuk menyertai pameran MWC 2019. Sejurus selepas pendaftaran dan mengambil pas MWC, kami menerima majalah Mobile World Daily. Dalam salah satu helaian, terdapat satu iklan berlatar hitam yang mengambil ruang dua mukasurat.

Rupa-rupanya, ASUS mengambil dua muka ini untuk mengumumkan tarikh dan lokasi pelancaran Zenfone 6. Ia akan dilancarkan pada 14 Mei 2019, di Valencia. Kami percaya, Valencia terletak di dalam Sepanyol, di selatan Barcelona. Terdapat tagline pada iklan tersebut, Defy Ordinary.

Tak banyak boleh dikatakan dari gambar di dalam iklan ini kerana ia hanya memaparkan sedikit ruang atas telefon dengan sinaran di belakangnya. Ia mungkin merujuk kepada skrin nirbingkai tanpa takuk atau lubang untuk kamera hadapan. Jika benar, ia mungkin menggunakan modul kamera bermotor seperti Vivo NEX, atau skrin gelungsur seperti Mi MIX 3.

Setakat ini, belum kedengaran lagi sebarang berita tentang Zenfone 6. Mungkin tidak lama lagi, akan mula tersebar kisah-kisah tersembunyi Zenfone 6 ini. Kita tunggu apa langkah ASUS seterusnya.

BACA  Kerajaan China Dikesan Pasang Malware Dalam Telefon Pelancong