Pasukan bola sepak terulung, FC Barcelona telah memperbaharui kontrak kerjasama mereka dengan pengeluar telefon pintar dari China, Oppo. Kerjasama terbaharu ini akan menempatkan jenama Oppo di pelbagai sudut kelab terkemuka dunia ini seperti di stadium, padang latihan, bengkel bersama peminat, aktiviti peminat dalam dan luar talian serta banyak lagi.
Oppo merupakan jenama pengeluar telefon pintar kelima terbesar di dunia, beroperasi di lebih 40 pasaran di seluruh dunia. Oppo merancang untuk menembusi pasaran Eropah dengan lebih mendalam melalui kerjasama dengan FC Barcelona, yang memiliki lebih 200 juta penyokong di seluruh dunia.
Kontrak kerjasama baharu FC Barcelona dan Oppo ini melahirkan satu lagi telefon pintar edisi terhad, seperti mana yang telah dibuat oleh mereka sebelum ini. Kali ini, mereka memilih untuk memperkenalkan Oppo Reno 10x Zoom Edisi FC Barcelona.
Seperti biasa, telefon edisi khas ini memiliki warna tema FC Barcelona merah dan biru. Menurut Oppo, badan telefon ini menggunakan teknik tekanan haba pertama seumpamanya, untuk memberikan kesan gradien unik yang serba baru. Logo FC Barcelona berwarna emas juga terpampang mewah di belakangnya.
Di dalam, tema khas FC Barcelona menghiasi paparan skrin telefon ini. Dari kunci skrin, sehingga ke wallpaper dan ikon aplikasi. Ia turut memiliki ringtone khas seperti lagu rasmi FC Barcelona serta laungan peminat di stadium.
Aksesori bertemakan warna merah dan biru turut terdapat di dalam kotak telefon ini seperti casing, kabel VOOC dan fon kepala.
Lain-lain perkara di dalam telefon ini adalah sama seperti Reno 10x Zoom biasa. Ia dikuasakan pemproses Snadpragon 855, bersama RAM 8GB dan storan dalaman 256GB. Skrinnya berukuran 6.6-inci FHD+ dari jenis AMOLED, tanpa takuk dan lubang. Pengimbas capjari terdapat di dalam skrin.
Telefon ini memiliki modul kamera sirip jerung yang boleh disembunyikan, di mana ia menempatkan kamera hadapan 16MP padanya. Modul kamera boleh sembunyi ini memberikan paparan penuh yang kemas, tanpa sebarang takuk dan lubang.
Kamera belakangnya merupakan antara yang terhebat di pasaran sekarang. Ia menggandingkan tiga kamera iaitu kamera utama 48MP dengan penstabil imej optikal (OIS), kamera ultra lebar 8MP dan kamera periskop telefoto 13MP dengan keupayaan zum hibrid 10x.
Reno 10x Zoom menerima tenaga dari bateri sebesar 4,065mAh dan ia menyokong pengecasan pantas VOOC 3.0 melalui sambungan USB-C.
Telefon pintar Oppo Reno 10x Zoom Edisi FC Barcelona akan dijual dalam unit terhad, di beberapa pasaran seluruh dunia seawal 26 Julai 2019. Masih belum ada berita tentang kedatangannya di Malaysia, tetapi kita sering terpilih untuk menerima jualan edisi khas ini. Jadi nantikan kedatangannya.
Ini ialah telefon kelima edisi khas FC Barcelona yang dihasilkan Oppo. Model yang terpilih sebelum ini ialah R7 Plus (2015), R9 (2016), F3 (2017) dan R11 Plus (2017).
Sumber: Oppo