Huawei Mate 30 telah dilancarkan di Malaysia, di mana ia adalah pasaran pertama penjualan Mate 30 di luar China. Tempahan awalnya turut diumumkan bersama hadiah percuma bernilai RM1,155.
Bagaimanapun, Huawei membuka tempahan awal ini eksklusif untuk pengguna yang pernah memiliki mana-mana siri Mate sebelum ini. Bukan satu, tetapi dua model Mate. Orang ramai yang berminat, boleh cuba menyemak kelayakan mereka untuk tempahan awal ini menerusi laman web www.mate30proeoc.3ex.com.my.
Menariknya, kepada yang layak membuat tempahan awal Mate 30 Pro, mereka akan menerima hadiah percuma bernilai RM1,155 iaitu:
- Huawei Wireless In-Car SuperCharge charger (bernilai RM289)
- DJI Osmo Mobile 3 (bernilai RM499)
- Huawei back casing (bernilai RM68)
- Huawei Care (jaminan tambahan 1 tahun dan perlindungan keretakan skrin 6 bulan) bernilai RM299
Tetapi untuk layak menjadi yang terawal menempah Mate 30 Pro ni tak mudah. Malah, anda juga harus teliti dengan syarat-syarat yang dikenakan.
Ia bermula dengan membuka laman tempahan awal Huawei Mate 30 Pro di www.mate30proeoc.3ex.com.my. Langkah pertama ialah memilih warna yang diingini, antara Hitam dan Perak. Seterusnya anda boleh melihat hadiah percuma yang diberikan kepada mereka yang layak membuat tempahan awal.
Di bahagian bawah laman tersebut, ia menerangkan tentang apa itu Huawei Mobile Services. Anda perlu MENGAKUI bahawa anda telah faham bahawa Mate 30 Pro dioperasikan oleh Huawei Mobile Services (HMS). Dalam kata lain, tiada Google Mobile Services seperti Playstore, Chrome, YouTube dan sewaktu dengannya di dalam Mate 30 Pro, sebaliknya ia digantikan dengan perkhidmatan HMS seperti AppGallery, Huawei Browser, Huawei Video dan lain-lain.
Ingat, tiada Google di dalam Mate 30 Pro dan anda perlu mengakuinya sebelum boleh pergi ke langkah seterusnya.
Selepas itu, anda perlu memuat naik gambar yang membuktikan anda memiliki 2 model siri Mate sebelum ini. Gambar tersebut sama ada tangkapan gambar dengan watermark model telefon tersebut, bukti pembelian atau gambar telefon tersebut.
Selesai memuat naik gambar, anda perlu memilih warna telefon, negeri dan lokasi untuk mengambil tempahan apabila tersedia. Kemudian isi maklumat peribadi.
Seterusnya, terdapat ruangan Referral Program. Di sini, ia meminta alamat untuk menghantar hadiah berupa Huawei Watch GT (bernilai RM799). Kepada yang membuat tempahan awal, mereka berpeluang mendapat jam pintar ini percuma jika berjaya merujuk 5 orang kawan untuk membeli siri Mate 30 antara 26 Oktober hingga 7 November 2019.
Nombor rujukan akan diberikan selepas selesai membuat bayaran tempahan semasa mengambil telefon pintar kelak.
Di bawah laman web ini, pembeli perlu mengesahkan semula tempahan dan membuat bayaran deposit sebanyak RM300 secara dalam talian. Dengan menandakan semua kotak bersetuju dan butang Click to Checkout, pembeli akan dibawa ke laman pembayaran.
Apabila bayaran deposit berjaya, laman web pengesahan akan dibuka dan memberitahu tarikh untuk mengambil tempahan ini di antara 25 Oktober hingga 7 November 2019, di lokasi yang telah dipilih.
Menerusi tempahan awal ini, Huawei mengesahkan bahawa Mate 30 Pro akan hadir dengan Huawei Mobile Services. Dalam kata lain, tiada Google Mobile Services di dalamnya. Jika diteliti, ia mungkin bukan satu masalah besar kerana fungsi telefon pintar masih tidak berkurangan. Cuma kemudahan yang disediakan Google yang selalu kita gunakan, tidak lagi terdapat di dalam Mate 30 Pro. Sama seperti telefon pintar yang dijual di China.
Jika anda pemilik Huawei Mate sebelum ini, adakah anda akan membuat tempahan awal Mate 30 Pro untuk mendapatkan hadiah percuma bernilai RM1,150 ini? Atau ketiadaan Google membuatkan anda berpatah hati?