Siri Galaxy S yang merupakan siri flagship bagi telefon pintar Samsung sering dilancarkan pada awal tahun. Walaupun belum disahkan secara rasmi oleh Samsung, ramai menantikan ketibaan pengganti siri Galaxy S10 pada awal tahun 2020. Tetapi ia dikhabarkan tidak akan menggunakan nama Galaxy S11, tetapi nama yang agak jauh berbeza.
Pembocor berita popular, Ice Universe telah memberi petunjuk bahawa siri Galaxy S akan datang, akan dipanggil sebagai Galaxy S20. Nama ini digunakan bersempena ketibaan tahun baru 2020 dan menandakan permulaan sesuatu yang baru untuk Samsung. Cara ini sama seperti yang digunakan oleh Huawei dan Honor, yang melompat dari Huawei P10 dan Honor 10 kepada Huawei P20 dan Honor 20.
Perkara ini sebenarnya tidaklah mengejutkan kerana awal tahun ini, Samsung telah merubah siri Galaxy J dan Galaxy A mereka, kepada siri Galaxy A dengan dua nombor (seperti Galaxy A10, A20, A70, A80). Malah sebelum ini, Samsung pernah melompat satu nombor untuk Galaxy Note, mengabaikan nombor 6 dari Galaxy Note 5 ke Galaxy Note 7.
Persoalan seterusnya ialah, bagaimana Samsung akan menamakan siri Galaxy S selepas itu? Adakah ia akan menjadi Galaxy S21 atau Galaxy S30? Samsung ada masa lebih dari setahun untuk memikirkan perkara ini. Dengan perubahan nombor siri Galaxy S, dijangka ia akan memberi kesan kepada nombor siri Galaxy Note juga, menjadi Galaxy Note 20 tahun hadapan.
Perkara melompat nombor ini juga pernah dibuat oleh Apple di mana mereka mengabaikan nombor 9 ketika melancarkan iPhone 8 dan iPhone X. Selepas itu, mereka kembali menggunakan nombor 11 di iPhone 11. Tetapi perkara ini terhad kepada iPhone sahaja di mana untuk iPad dan MacBook, ia tidak membawa sebarang nombor sebaliknya dikenali melalui saiz skrin sahaja. Untuk membezakannya, perlu melihat nombor siri model yang tidak ditulis besar, sebaliknya perlu dilihat dengan teliti di kotak atau semasa tempahan dibuat.
Jadi, nama manakah yang anda rasa Samsung patut gunakan tahun hadapan. Anda sokong Galaxy S11 atau sokong Galaxy S20 sebab tahun 2020? Kongsikan pendapat anda di bawah ini.