Keluarga Samsung Galaxy S20 selamat dilancarkan di San Francisco. Lantas Samsung Malaysia mengumumkan program tempahan untuk milikinya bermula hari ini. Samsung Galaxy S20 akan dijual bermula 6 Mac 2020 pada harga seperti berikut:
- Galaxy S20 (RAM 8GB + Storan 128GB, LTE) – RM3,599
- Galaxy S20+ (RAM 8GB + Storan 128GB, LTE) – RM3,999
- Galaxy S20 Ultra (RAM 12GB + Storan 128GB, 5G) – RM4,999
Tapi sebelum itu, tahukah anda kelebihan Galaxy S20 yang bakal anda beli?
1. Pertama Kali Ada Paparan Lebih Besar Daripada Galaxy Note
Secara tradisionalnya, Galaxy Note adalah siri telefon Samsung yang ada paparan besar. Contoh terbaru ialah Galaxy Note 10+. Telefon berkelas phablet ini ada paparan sebesar 6.8”. Ia sedikti lebih besar berbanding saudara segenerasinya iaitu Galaxy S10+ yang ada paparan 6.4”.
Perbandingan saiz paparan antara Galaxy S dan Galaxy Note merentasi generasi
Jadi adakah anda rasa yang pengganti Note 10 akan miliki paparan yang lebih besar daripada 6.9”.
2. Miliki bateri terbesar dalam sejarah Galaxy S
Menurut spesifikasi teknikal, S20 Ultra dibekalkan bateri sebesar 5,000mAh. Dalam generasi sebelumnya, S10 5G ada 4,500mAh. Ia menjadikan telefon ini ialah Galaxy S berbateri terbesar setakat ini.
Untuk mengisi bateri besar tersebut, ia menyokong pengecasan pantas Super Fast Charge 45W ataupun secara wayarles.
3. Kamera 108MP Dengan Keupayaan Mengezum 100×
Samsung tidak mengumumkan jenis sensor 108MP yang mereka gunakan. Tapi setakat ini, hanya Samsung menghasilkan sensor pengimejan setinggi itu iaitu ISOCELL Bright HMX S5KHMX. Sensor ini boleh ditemui pada telefon seperti Mi Note 10.
Selain miliki bilangan piksel ultratinggi, saiz fizikalnya agak besar. Pada 1/1.33”, ia cuma 25% lebih kecil daripada sensor yang boleh anda temui pada kamera point-and-shoot seperti Sony RX dan nyata lebih besar daripada sensor dalam kamera aksi.
Samsung turut memperkenalkan fungsi Space Zoom yang merujuk pada ciri mengezum sehingga 100×. Menurut spesifikasi, kamera utama S20 Ultra ada jarak fokal 26mm dan 100 kali zum masuk diterjemah pada 2600mm yang bermakna sangat jauh.
Jauh adalah satu perkara, perkara yang lebih penting adalah kebolehgunaan gambar yang diambil. Daripada demonstrasi, ia lebih kepada gimik semata-mata kerana hasilnya sangat hingar kerana pengezuman dilakukan secara digital.
4. Penggunaan Modul RAM LPDDR5 Yang Lebih Pantas
Samsung mengumumkan penghasilan pukal modul RAM LPDDR5 dalam bulan Julai 2019. Modul ini dibangunkan menggunakan litografi 10nm yang dikatakan akan jadikan RAM lebih cekap tenaga.
Beberapa angka yang dikongsikan pihak Samsung menunjukkan yang LPDDR5 dianggarkan 1.3 kali lebih pantas daripada LPDDR4X (5,500 Mb/s vs. 4,266Mb/s). Kemudian, penggunaan tenaganya boleh disuaikan mengikut keadaan tak seperti LPDDR4X yang menyedut tenaga pada kadar malar.
Di belah pengguna, anda boleh jangkakan hayat bateri yang lebih panjang serta prestasi telefon yang lebih mantap lebih-lebih lagi bila ia digandingkan dengan storan jenis UFS3.1.
5. Flagship yang masih ada slot mikro-SD
Cuba anda senaraikan telefon berkelas flagship yang masih sediakan slot untuk kad memori tambahan. Mate 30 Pro? Ia gunakan kad proprietary NM Card yang entah di mana boleh didapatkan dan kalau ada pun, harganya mahal.
Di kedai Xiaomi, Mi 9 tidak didatangkan dengan slot kad begitu juga dengan produk-produk OPPO, Realme, dan Vivo.
Spesis seperti S20 ini sangat sukar dicari sekarang. Jadi jika anda perlu luaskan storan untuk apa sebab sekalipun, Samsung adalah jawapannya.
6. Paparan Ber-Refresh Rate 120Hz
Ini adalah yang pertama pada produk Samsung dan ia adalah tambah baik yang sangat dialu-alukan. Manfaat yang diperoleh daripada paparan dengan kadar segar semula yang tinggi adalah ia meminimumkan kesan motion blur pada paparan.
Hasilnya, segala animasi pada antara muka pengguna akan jadi lebih lancar dan enak dipandang, terutamanya semasa gaming.
Berkaitan paparan juga, kadar bacaan input sentuhan pada keluarga S20 ini juga tinggi. Pada 240Hz ataupun 240 bacaan sesaat, gerak balas antara inpu jari dengan paparan berlaku sungguh pantas.
Ia diterjemahkan kepada sela masa input yang rendah dan ia juga menyumbang pada pengalaman gaming yang lebih baik.