Selepas lama menantikan telefon pertama Huawei dengan skrin boleh lipat yang tidak kunjung tiba, akhirnya Huawei Malaysia mengumumkan model keduanya akan dijual di Malaysia. Telefon dengan skrin boleh lipat 5G pertama di Malaysia, Huawei Mate Xs akan boleh dibeli bermula Jumaat ini, 20 Mac 2020.
Buat yang belum tahu, Huawei Mate Xs akan dijual di Malaysia pada harga RM11,111, harga paling mahal untuk sebuah telefon pintar keluaran Huawei. Harga ini juga jauh lebih mahal dari telefon boleh lipat Samsung Galaxy Fold 4G, yang dilancarkan dengan tanda harga RM8,388 sahaja.
Sebagai sebuah telefon pintar yang sangat mahal, Huawei turut memberikan ganjaran bersama pembeliannya. Hadiah percuma berupa fon kepala Huawei Freebuds 3 dan pelindung kulit Mate Xs bernilai RM978 diberikan kepada pembeli Mate Xs.
Selain itu, Huawei turut mengadakan promos khas Mate Xs bersama beberapa rakan niaga yang lain, dari 20 Mac hingga 19 Mei 2020. Bagi pengguna kad kredit CIMB, mereka berpeluang menerima hadiah percuma tambahan berupa jam pintar Huawei GT2 bernilai RM799 serta mata bonus CIMB digandakan sebanyak 10x. Promosi ini terhad kepada 20 pembeli terawal di laman web 3ex sahaja.
Untuk pembelian di kedai fizikal, pembelian Huawei Mate Xs di Senheng dan Harvey Norman, turut menerima hadiah tambahan percuma berupa jam pintar Huawei GT 2.
Khas bersama jenama fesyen Bonia, mereka menyediakan 20 unit eksklusif Huawei Mate Xs x Bonia, khas di Stor Bonia di Pavilion Mall, Kuala Lumpur. Ia datang bersama 1 unit bespoke pouch dan 1 unit bespoke earphone case. Selain itu, pembeli juga menerima baucer tunai bernilai RM6,000. Bagi pembelian Huawei Mate Xs di cawangan Bonia yang lain, pembeli akan menerima baucer tunai 20% dan hadiah misteri.
Ganjaran lain untuk pembeli Mate Xs adalah seperti naik taraf percuma 1x tiket ke kelas penerbangan di Malaysia Airlines. Ia diberikan untuk pembelian tiket “Economy Flex” dari Kuala Lumpur ke China/Jepun/Korea/Taiwan/Hong Kong sahaja. Ia terpakai untuk pembelian tiket “Economy Flex” sepanjang tempoh promosi kempen.
Bagi pengguna yang mahu mendapatkan lebih penjimatan, Maxis dan Celcom turut menawarkan Huawei Mate Xs bersama kontrak pelan. Pelan Maxis Zerolution menyediakan pembelian Huawei Mate Xs secara ansuran sebanyak RM430 sebulan bersama pelan MaxisOne 188. Manakala Celcom menawarkan subsidi dengan menjual Mate Xs pada harga RM7,888 sahaja bersama kontrak pelan Celcom Mega.
Bagi yang belum kenal, Huawei Mate Xs adalah telefon pintar yang serupa luarannya dengan Huawei Mate X. Ia ada skrin seluas 8-inci apabila dibuka sepenuhnya dan dua skrin apabila dilipat, 6.6-inci di hadapan dan 6.38-inci di belakang.
Di dalam, ia dikuasakan cip terbaru Huawei, Kirin 990 5G yang sama terdapat di Huawei Mate 30 Pro 5G. Ia bergandingan dengan RAM 8GB dan storan 512GB. Telefon boleh lipat ini juga menyokong rangkaian 5G dwi-mod, SA dan NSA.
Di bahagian pengimejan, ia ada 4 kamera di belakang skrin iaitu kamera utama 40MP F1.8, kamera telefoto 8MP dengan 3x zum optikal, kamera ultra lebar 16MP dan sensor pengesan kedalaman ToF 3D. Untuk swafoto, pengguna boleh menggunakan 4 kamera tadi bersama skrin belakang dilipat untuk previu gambar.
Bateri di dalamnya sebesar 4,500mAh dan ia mengecas melalui USB-C serta menyokong pengecasan pantas 55W. Agak menyedihkan apabila telefon ini tiada pengecasan wayarles serta tiada pembesar suara stereo.
Satu lagi perkara penting ialah Huawei Mate Xs tidak memiliki Google Mobile Store. Ia menjalankan Huawei Mobile Store bermakan aplikasi boleh dimuat turun secara rasmi menggunakan Huawei AppGallery, tiada Google Playstore bersamanya. Adakah ini pilihan pertama anda untuk telefon dengan skrin boleh lipat?
Kenali Huawei Mate Xs lebih dekat menerusi video kami di bawah ini.