Kita sudah memasuki hari ke-7, Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) yang dilaksanakan untuk mencegah penyebaran coronavirus (COVID-19) di Malaysia. Jika kita ingin mendapatkan hasil yang terbaik, PKP harus dimanfaatkan dengan sebaiknya. Kita perlu mendengar pandangan golongan pakar antarabangsa dan negara luar yang telah berupaya mengawal wabak ini.
Terdapat tiga strategi utama yang penting untuk membendung wabak ini:
- Kepimpinan yang tegas dan telus
- Penjarakkan sosial
- Ujian saringan
Kita cuba menguatkuasakan penjarakan sosial menerusi PKP dan penglibatan anggota tentera dalam penguatkuasaannya. Diharap semua rakyat Malaysia dapat memainkan peranan mereka dalam mematuhi arahan ini dan tidak meneruskan sikap tidak percaya, penafian dan tidak menghiraukan kepentingan melakukan perkara ini.
Kepimpinan merupakan masalah serius bagi negara kita dan krisis ini telah mendedahkan sepenuhnya kelemahan itu. Ramai di antara kita akan iri hati apabila menonton wawancara BBC dengan Menteri Luar Korea Selatan, Kang Kyung-wha. Kepimpinannya yang proaktif menjadi sebab utama wabak koronavirus dapat dikawal di Korea Selatan. Beliau menerangkan asas strategi mereka: “Prinsip asas adalah keterbukaan, ketelusan dan sentiasa memberikan maklumat kepada orang awam .” Beliau juga menyatakan bahawa ujian saringan secara meluas telah menjadi kunci kepada kadar kematian wabak COVID-19 yang rendah di Korea Selatan’. Kita perlukan ini di negara kita.
Dalam artikel ini, saya ingin memberi tumpuan kepada ujian saringan – siapa yang disaring, keupayaan ujian saringan dan bagaimana untuk memperbaikinya. Amalan ujian saringan di negara kita amat kritikal kerana ia tidak bertujuan untuk membendung COVID-19 . Kita lebih menumpukan untuk mengenalpasti bagaimana kita boleh meletakkan strategi optimum yang akan memberikan hasil terbaik. KKM sedang melakukan usaha meluas dalam keadaan yang sangat sukar. Matlamat kita adalah untuk menyokong dan memperbaiki usaha ini.
Dr Mike Ryan, pakar kecemasan Pertubuhan Kesihatan Sedunia (WHO) menyatakan dengan jelas bahawa perintah berkurung di sebuah negara sahaja tidak mencukupi untuk mengekang penyebaran COVID-19. Beliau berkata, “Apa yang kita perlu tumpukan ialah mencari orang yang sakit, mereka yang menghidap virus, dan mengasingkan mereka, cari kenalan mereka dan mengasingkan mereka …” dan “Bahayanya perintah berkurung … jika kita tidak meletakkan langkah kesihatan awam yang kuat sekarang, apabila sekatan pergerakan dan perintah berkurung sudah tamat, penyakit itu akan merebak kembali. “
Tedros Adhanom Ghebreyesus, Ketua Pengarah WHO, berkata: “Kami tidak melihat peningkatan yang mendesak dalam ujian saringan, pengasingan dan pengesanan hubungan, yang merupakan tulang belakang kepada hasil usaha ini”. “Kami mempunyai mesej mudah untuk semua negara: Ujian saringan, ujian saringan, ujian saringan. Uji setiap kes yang disyaki. Jika mereka positif, asingkan mereka dan cari dengan siapa mereka pernah berjumpa dalam tempoh dua hari sebelum mereka mengalami gejala dan lakukan ujian saringan terhadap mereka juga … “
Kita sebenarnya mempunyai keupayaan dalam ujian saringan tetapi perlaksanaan dalam mengenalpasti mereka yang dijangkiti amat membimbangkan. Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) menyatakan dalam sidang akhbar semalam bahawa mereka melakukan 3,500 ujian saringan sehari dan berharap untuk meningkatkannya kepada 16,000 sehari pada bulan April. Sesetengah pihak menyatakan bahawa PKP yang dilaksanakan di Malaysia telah menunjukkan hasil dengan merujuk kepada grafik perbandingan jangkitan negara kita dengan Itali. Ia menunjukkan bahawa Malaysia mempunyai peningkatan yang kurang daripada negara Eropah itu. Tetapi anda harus ingat bahawa dalam wabak ini, data jangkitan COVID-19 diperoleh daripada hasil ujian saringan. Jadi adakah kita membuat ujian saringan secukupnya? Satu pangkalan data antarabangsa menunjukkan kita telah melakukan ujian saringan terhadap kira-kira 13,000 orang sahaja pada 20 Mac 2020.
Dengan penularan virus yang semakin meluas di kalangan masyarakat, penting bagi kita untuk melakukan ujian sarinagan ke atas sekurang-kurangnya tiga jenis kumpulan:
1. Semua kenalan yang didapati mempunyai virus (positif) atau berisiko
Ini bermakna ujian saringan bukan hanya kenalan yang kelihatan sakit tetapi juga mereka yang kelihatan sihat (kenalan tanpa gejala). Di samping itu, kita perlu menguji semua orang yang kembali dari negara / lokasi berisiko tinggi. Dasar KKM adalah untuk menguji hanya kenalan yang menunjukkan gejala penyakit atau pelancong simptomatik yang berisiko sahaja (lihat garis panduan KKM). Ini adalah membimbangkan kerana pengalaman dari Wuhan, Itali dan lokasi lain menunjukkan bahawa kira-kira 30-40% daripada yang dijangkiti, sebahagian besarnya kelihatan sihat (atau lewat menunjukkan gejala penyakit), terutama mereka yang lebih muda. Walau bagaimanapun individu ini mungkin berisiko dalam penyebaran virus kepada orang lain dan menyumbang antara 10 hingga 40% terhadap penularan wabak COVID-19. Kita tidak akan dapat mengawal wabak ini jika semua kenalan (sakit atau sihat) orang yang dijangkiti atau pelancong dari lokasi berisiko tinggi tidak menjalankan ujian saringan.
2. Menguji semua ahli profesional penjagaan kesihatan, siapa yang tidak sihat
Ahli profesional penjagaan kesihatan adalah barisan hadapan dalam menentang wabak ini. Sekiranya jumlah mereka menurun, kita kehilangan peluang untuk menyelamatkan nyawa. Banyak barisan hadapan ahli profesional penjagaan kesihatan telah menyatakan bahawa mereka tidak dapat melakukan ujian saringan apabila merasa tidak sihat (demam atau gangguan pernafasan). Pada masa ini, kita hanya menguji mereka yang telah bersentuhan dengan kes positif, tetapi ini tidak mencukupi pada peringkat epidemik ini kerana kita tidak dapat mengesan di mana sesetengah orang mendapat jangkitan mereka. Pengawasan influenza nasional (ILI/SARI) menunjukkan sekurang-kurangnya 1% pesakit positif COVID-19 di negara ini. Kita perlu menganggap bahawa virus itu tersebar di dalam komuniti. Di samping itu, kita memiliki individu yang tidak bertanggungjawab yang berbohong mengenai sejarah hubungan mereka. Lebih membimbangkan ialah kekurangan bekalan peralatan perlindungan peribadi (PPE) di seluruh negara untuk ahli profesional penjagaan kesihatan. Saya amat bimbang kerana ramai yang terpaksa menggunakan PPE buatan sendiri yang tidak boleh dikatakan selamat dan berkesan untuk melindungi mereka. Sebaik sahaja seorang ahli profesional penjagaan kesihatan dijangkiti, risiko kepada orang lain di kemudahan itu adalah besar dan ia akan menjejaskan operasi kemudahan kesihatan selama beberapa hari. Kita tidak dapat mengawal wabak ini jika semua ahli profesional penjagaan kesihatan yang kurang sihat, tidak menjalani ujian saringan dengan segera, tidak kira hubungan mereka dengan kes-kes yang telah dijangkiti.
3. Uji semua pengidap pneumonia
Dalam menghadapi penyebaran dalam komuniti, kita perlu menguji semua pesakit yang menunjukkan jangkitan virus yang teruk (seperti influenza) atau radang paru-paru. Kita perlu membuat anggapan bahawa semua individu tersebut mempunyai COVID-19 sehingga terbukti sebaliknya. Kita tidak boleh membenarkan orang-orang ini ditempatkan di wad biasa atau dirawat sebagai pesakit luar bersama orang lain (apatah lagi risiko kepada ahli profesional penjagaan kesihatan). Kita tidak boleh bergantung pada sejarah perjalanan atau hubungan dengan kes positif. Pada masa ini, kita TIDAK melakukan ini. Kita tidak dapat mengawal wabak ini jika kita tidak menguji semua jangkitan virus yang teruk (seperti influenza) atau pneumonia yang datang ke klinik atau hospital.
Mesej penting untuk diingati mengenai ujian saringan adalah, satu keputusan negatif tidak bermakna anda tidak dijangkiti. Terdapat banyak individu yang menyatakan mereka telah diuji dan bebas daripada virus itu. Dari pengalaman di Wuhan, China, beberapa orang hanya didapati positif selepas ujian kali ke 2 atau 3, kerana virus itu mungkin dalam tempoh inkubasi dan ujian itu hanya positif kemudian. Oleh itu, persoalan yang perlu ditanya ialah, adakah kita telah menguji semula mereka yang negatif sekali lagi dan lagi?
Saya ingin mengakhiri dengan bercakap sedikit tentang potensi pertumbuhan dan kesan wabak ini. Apabila bilangan ujian saringan adalah terhad, seperti di Malaysia, kita boleh mendapatkan gambaran yang lebih baik mengenai wabak tersebut dengan melihat kematian dan kemasukan ICU. Saya telah mencatat dua graf (dilampirkan) – satu yang menunjukkan penularan wabak kita berbanding dengan negara jiran yang dipilih dan satu lagi yang mengesan kemasukan ICU dan kematian kita. Peningkatan pesat kematian dan kemasukan ICU menunjukkan wabak kita semakin cepat merebak.
Saya baru-baru ini dipersalahkan oleh sesetengah pihak dalam media sosial selepas wawancara dengan Astro Awani, mungkin kerana mereka tidak mendengar temu bual secara penuh. Izinkan saya merumuskan keadaan kita dengan cara yang lebih mudah. Ingat angka-angka ini kerana kita bekerja sebagai sebuah negara untuk menangani ancaman ini terhadap keluarga, ekonomi dan masyarakat kita: 80%, 15%, 5%, 1%
Bagi setiap 100 orang yang dijangkiti:
- 80% akan berjaya
- 15% akan mempunyai masalah kesihatan (masalah pernafasan) dan perlu ditahan di wad dengan bantuan oksigen
- 5% akan memerlukan penjagaan dan bantuan pernafasan di ICU (sokongan mesin)
- 1% akan mati
1% adalah kadar konservatif dengan kemudahan kelas dunia dan persediaan rawatan ICU untuk 5% daripada mereka yang sakit. Adakah kita mempunyai skop kemudahan ini apabila ramai yang sakit? JIKA 60% daripada populasi kita dijangkiti maka kita boleh menjangkakan sekurang-kurangnya 200,000 kematian. Ini adalah nombor yang sangat konservatif kerana kita tidak dapat memberikan penjagaan ICU untuk jumlah yang ramai, bahkan dari masa ke semasa. Ini semua bergantung kepada sejauh mana kita mengawal dan menghadkan wabak ini. Di samping itu, jangan lupa semua kemasukan biasa dan pesakit yang perlu kita hadapi. Sesetengah mungkin mati kerana kita menguruskan wabak COVID-19.
Bagi penyelesaian untuk meningkatkan respons, saya ingin menawarkan tiga cadangan.
Pertama, saya ingin mengingatkan kata-kata Ketua Pengarah WHO, berhubung “Ujian saringan, Ujian saringan, Ujian saringan”. Marilah kita bekerjasama untuk meningkatkan kapasiti ujian saringan sekarang, bukan esok. Janganlah kita malu untuk membeli kit ujian dari negara-negara lain (Korea Selatan, Taiwan, China). Individu dan syarikat kita yang sangat kaya memainkan peranan penting untuk memastikan ia berjaya. Saya sedar mereka enggan menderma wang kerana mereka takut ia akan disalahgunakan, tetapi kita boleh mencadangkan apa yang boleh mereka beli dan disumbangkan kepada KKM. Makmal swasta juga boleh memainkan peranan penting di sini. Sedikit sahaja yang mampu membayar RM 700-900 untuk menjalani ujian saringan. Pertimbangkan untuk mengurangkan harga ke kadar minimum RM30-50. Anda telah meneerima pendapatan daripada orang ramai selama bertahun-tahun, inilah masanya untuk memberi kembali kepada negara dalam masa yang sangat memerlukan.
Kedua, kita perlu memanfaatkan semua orang bijak pandai dan baik di negara kita, kebanyakan mereka mempunyai banyak masa terluang, untuk menyokong kita semasa penularan wabak ini. Pertubuhan masyarakat awam (CSO) telah menganjurkan sokongan praktikal bagi golongan miskin, kurang upaya dan pendatang. Yang lain telah digerakkan untuk menyokong ahli profesional penjagaan kesihatan. Ada yang kreatif dalam pemetaan epidemik ini, lihat satu contoh yang baik di sini. Orang lain, seperti ‘Think City’ sedang berusaha untuk memetakan populasi yang mudah terjejas dan menawarkan maklumat kepada kerajaan untuk membuat keputusan. Terdapat ramai lagi yang sedia dan sanggup menyokong inisiatif kerajaan untuk menamatkan wabak ini. Kita hanya perlu meminta pertolongan. Kita tidak perlu melalui situasi ini sendirian.
Ketiga, kita perlu memanjangkan PKP selama 4 ke 8 minggu lagi, bunyinya memang menyakitkan. Peningkatan mendadak seminggu yang lalu, kelewatan dalam mencari orang-orang dari kelompok tabligh dan pergerakan mereka, kekurangan mencari pautan kepada beberapa kes, semua memberitahu kita bahawa kita akan mempunyai gelombang besar kes yang akan datang dalam 2 ke 4 minggu akan datang (dengan kes serius 2 ke 3 minggu selepas itu).
Dalam minggu dan bulan yang akan datang, semua orang mungkin akan mengenali salah seorang yang dijangkiti, jika bukan ahli keluarga atau diri kita sendiri. Saya berdoa agar kita tidak mencapai tahap di mana setiap rakyat Malaysia mengetahui satu ahli keluarga atau kawan yang mati akibat wabak ini. Kita mempunyai keupayaan untuk menghentikan wabak COVID-19, tetapi jika KITA memilih untuk bekerja bersama.
Tulisan ini diterjemah dari artikel asal yang disumbang oleh Dato’ Dr Amar-Singh HSS, Pakar Perunding Pedeatrik Kanan. Jika anda mempunyai artikel atau pendapat yang anda ingin sumbangkan untuk manfaat semua, kongsikan dengan kami di sini.