KEMASKINI 6 Julai 2020
Pelanggan akan menerima satu Notis Makluman mengenai Bantuan Prihatin Elektrik pada bulan Julai 2020 selepas meter dibaca.
Dalam tempoh tujuh hari berikutnya, pelanggan akan menerima bil bulan Julai 2020 berserta penyata terperinci* Bantuan Prihatin Elektrik tambahan. Bil dan penyata tersebut akan dihantar melalui pos ke premis pelanggan.
Pelanggan juga boleh mendapatkan bil dan penyata tersebut melalui aplikasi atau portal myTNB, 48 jam selepas Notis Makluman diterima.
* Hanya tertakluk sekiranya anda menerima bil sebenar bagi bulan Jun 2020
Tenaga Nasional Berhad (TNB) telah menerima banyak aduan dari pengguna, kerana bil elektrik yang dikatakan lebih tinggi dari biasa. Bil yang diterima itu bukan sahaja lebih tinggi dua kali ganda, malah ada yang menerima sehingga tiga kali ganda lebih dari biasa.
Adakah terdapat kesilapan pada bacaan bil elektrik rumah anda semasa PKP?
Bil Anggaran
Sebenarnya tiada kesilapan. Sebaliknya, bacaan dibuat secara anggaran sahaja setiap bulan berdasarkan penggunaan bil bulan sebelumnya iaitu Februari. Bacaan meter di rumah pengguna dihentikan sementara apabila Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) bermula dari 18 Mac.
Selepas kelonggaran dibuka sewaktu PKP Bersyarat (PKPB) diumumkan, barulah pihak TNB boleh membuat bacaan meter sebenar di premis pengguna iaitu bermula dari 15 Mei.
Bil 3x Ganda?
Jumlah yang diterima pengguna adalah jumlah bil sebenar untuk penggunaan tiga bulan yang lalu iaitu Mac, April dan Mei.
Kalau bil anggaran sepanjang PKP adalah lebih rendah daripada penggunaan sebenar, penggunaan tambahan akan dicaj di bil sebenar.
Kalau bil anggaran sepanjang PKP lebih tinggi daripada penggunaan sebenar, lebihan penggunaan yang telah dicaj dalam bil anggaran akan dikreditkan semula di bil sebenar.
Pelarasan Bil
Bacaan sebenar akan dibahagikan secara sama rata mengikut kadar prorata. 1 bulan = 30 hari = 1 prorata. Kalau bacaan meter diambil selepas 90 hari, maka kadar prorata adalah 3.
Katakanlah bacaan meter sebenar berbanding bacaan pada 90 hari lepas adalah 900kWh, maka bacaan bil bulan dibahagikan mengikut kadar prorata iaitu 3. Bermakna, penggunaan sebulan untuk Mac, April dan Mei akan dikira 300kWh setiap bulan.
Ia kemudiannya dibahagikan mengikut blok tarif iaitu 200kWh pertama RM0.218 dan 100kWh kemudian RM0.334:
((200kWh x 0.218) + (100kWh x 0.334)) x 3) = RM77 sebulan
Bil Sebenar
Dari contoh di atas, bil pada bulan Mei akan mencatatkan caj sebanyak RM77 x3 = RM231. Tetapi ia bukan caj yang perlu anda bayar, sebaliknya ia akan ditolak dari bil anggaran yang anda telah bayar sebelum ini. Katakan bil anggaran pada Mac dan April ialah RM50 dan RM50 serta telah dibayar, maka bulan Mei bayarannya ditolak dari Mac dan April, iaitu:
Mac + April – Mei = RM50 + RM50 – RM231 = RM131
Kenapa Bil Sebenar Lebih Tinggi Dari Bil Anggaran?
Anda masih terkejut melihat bil bulan Mei yang dibaca dari meter lebih tinggi dari bil anggaran pada Mac dan April? Ini sebenarnya mudah difahami kerana sepanjang PKP, semua orang hanya duduk di rumah dan tidak keluar ke pejabat atau bekerja. Sudah pasti penggunaan elektrik juga lebih tinggi kerana lebih banyak masa diluangkan di rumah.
Tetapi jika anda masih ada pertanyaan lanjut berkenaan perkara ini, anda boleh menghubungi TNB melalui talian 1300 88 5454 / emel ke [email protected] atau kunjungi Kedai Tenaga berhampiran.
(Artikel ini dibawakan kepada anda oleh TNB)