Realme akan membawa telefon pintar 5G mereka ke Malaysia tidak lama lagi. Hari ini mereka memaklumkan di Facebook, pelancaran telefon pintar Realme X50 Pro 5G di Malaysia pada hari Isnin akan datang, 6 Julai 2020.
Orang ramai boleh menonton majlis pelancaran ini menerusi siaran langsung di Facebook Live. Ia akan bermula pada pukul 11 pagi.
Realme X50 Pro 5G telah dilancarkan di pasaran Eropah pada bulan Februari lepas. Pelan awal mereka ialah untuk melancarkannya di pameran MWC 2020 di Barcelona. Bagaimanapun, akibat wabak COVID-19 yang merebak ke seluruh dunia, pameran tersebut dibatalkan sekaligus memaksa Realme melancarkannya dalam talian sahaja.
Telefon ini dikuasakan oleh cip terhebat Qualcomm masakini, Snapdragon 865 yang memiliki 5G terbina di dalam. Prestasi tingginya disumbang lagi oleh LPDDR5 sehingga 12GB dan storan terpantas UFS3.0 sehingga 256GB.
Skrinnya seluas 6.44-inci dengan lubang di atas. Skrin ini dari jenis Super AMOLED dengan Refresh Rate setinggi 90Hz dan Sampling Rate mencecah 180Hz. Ia turut memiliki pengimbas capjari tertanam di dalam skrin.
Bateri di dalamnya sebesar 4,200mAh dengan sokongan pengecasan pantas SuperDart 65W melalui USB-C. Menariknya, Realme memberikan kepala pengecas GaN yang memiliki saiz jauh lebih kecil dari kepala pengecas biasa.
Kamera di belakang telefon ini ada empat. Kamera utamanya ialah kamera 64MP F1.8, bersama kamera ultra lebar 8MP F2.3, kamera telefoto 12MP F2.5 dengan keupayaan zum optikal 2x dan kamera hitam putih 2MP F2.4 yang turut bertindak sebagai kamera bokeh.
Kamera hadapan pula ada dua, terletak di dalam lubang di atas skrin. Kamera utamanya ialah kamera 32MP F2.5 dari sensor Sony IMX616 bersama kamera ultra lebar 8MP F2.2. Kamera depan ini juga dilengkapi penstabil video UIS dan boleh merakam video sehingga 1080p.
Sistem bunyi Dolby Atmos dan speaker stereo menggerakkan bunyi telefon ini. Tetapi ia tidak lagi memiliki jek audio 3.5mm serta tidak kalis air dan debu, juga tiada pengecasan wayarles. Telefon baru ini menjalankan sistem operasi Android 10 menggunakan antaramuka Realme UI.
Terdapat dua warna diperkenalkan untuk Realme X50 Pro: merah karat dan hijau kulat. Ia menggunakan kemasan kaca matte di belakang, untuk memberikan rasa genggaman yang tidak licin dan lebih mesra dipegang.
Realme X50 Pro dijual di Eropah dalam tiga varian, pada harga berikut:
- Realme X50 Pro (RAM 8GB + Storan 128GB) – EUR599 (~RM2,757)
- Realme X50 Pro (RAM 8GB + Storan 256GB) – EUR669 (~RM3,079)
- Realme X50 Pro (RAM 12GB + Storan 256GB) – EUR749 (~RM3,447)
Adakah Realme Malaysia boleh menetapkan harga X50 Pro 5G bermula di bawah RM2,500? Jika ya, ia adalah peranti yang boleh menyaingi Poco F2 Pro. Kita nantikan pengumuman Realme minggu hadapan.