Tesco Malaysia telah menjalinkan kerjasama dengan NE Suria Satu (NESS), sebuah syarikat usahasama Petronas dan NEFIN Group, menerusi Perjanjian Pembelian Kuasa (PPA) jangka panjang terbesar (Tesco-NESS PPA) untuk tenaga solar di Malaysia. Perjanjian ini akan berjalan selama 20 tahun, dari tahun 2020 hingga 2040.
Fasa pertama perjanjian ini menyaksikan pemasangan panel fotovoltaik solar (PV) di ruang atas bumbung 15 cawangan Tesco di seluruh negara. Setelah pemasangan selesai pada Oktober 2020, panel-panel solar PV ini akan menghasilkan berjumlah sekitar 18 jam gigawatt (GWh) tenaga bersih setiap tahun, sehingga mengurangkan sekitar 13,624 tan pelepasan karbon ke atmosfera.
15 cawangan Tesco yang terlibat dalam projek ini ialah:
- Tesco Mergong
- Tesco Sungai Petani Selatan
- Tesco Bukit Mertajam
- Tesco Rawang
- Tesco Ipoh
- Tesco Station 18
- Tesco Klang
- Tesco Puchong
- Tesco Bukit Puchong
- Tesco Extra Seremban Jaya
- Tesco Kulim
- Tesco Stargate
- Tesco Seberang Jaya
- Tesco Jitra
- Tesco Kampar
NESS akan melabur sepenuhnya dalam projek panel solar PV di kesemua 15 cawangan Tesco, termasuk reka bentuk, pemasangan, operasi dan penyelenggaraan sistem. NESS telah melantik Solarvest sebagai kontraktor Kejuruteraan Perolehan Pembinaan (EPC) tempatan untuk projek ini.
“Pemasangan panel-panel solar PV di 15 dari 62 cawangan kami adalah fasa pertama dalam usaha tenaga boleh diperbaharui Tesco. Dengan ini, kami akan dapat menjana tenaga yang bersih dan boleh diperbaharui di kebanyakan cawangan kami, dan di dalam proses yang sama, mengurangkan pelepasan karbon kami. Ini adalah antara usaha berterusan kami untuk kelestarian alam sekitar, yang sudah pun termasuk mengukur dan menerbitkan data sisa makanan kami dan pengurangan penggunaan beg plastik sekali pakai di cawangan kami,” kata Ketua Pegawai Eksekutif Tesco, Paul Ritchie.
“Kami gembira kerana dapat bekerjasama dengan NESS dalam usaha pertama kami untuk mendapatkan tenaga boleh diperbaharui kerana konsortium yang membentuk NESS telah membuktikan rekod prestasi individu dalam menyampaikan dan menyelenggara projek-projek besar seperti ini. Kami mengharapkan perkongsian yang panjang dan bermanfaat dengan mereka,” tambahnya.
Pengarah NESS, Dr Jay Mariyappan, yang juga Ketua PETRONAS New Energy, berkata: “Kami berbesar hati dianugerahkan projek solar pertama Tesco di Malaysia. Dengan kemampuan kolektif PETRONAS dan NEFIN, kami yakin bahawa kami akan dapat menyokong Tesco dalam merealisasikan matlamat kelestarian yang akhirnya akan memberi manfaat kepada kita semua. Ini juga sejajar dengan hasrat kami untuk menjadi penyedia penyelesaian tenaga bersih yang terkemuka. “