Philips kini menambah dua lagi fon kepala TWS (True Wireless Stereo), TAT2205 dan TAT3255 ke pasaran Malaysia. Fon kepala ini sesuai untuk pengguna yang aktif bersukan kerana ia kalis percikan air dan peluh, dalam bekas kompak yang boleh muat disimpan di dalam poket seluar jeans yang ketat.
Philips TAT2205
Fon kepala ini diiktiraf kalis peluh dan percikan IPx4, jadi pengguna tidak perlu risau menggunakannya di bawah hujan renyai serta aktiviti sukan. Rekaannya yang sangat kecil, boleh memainkan lagu sehingga 4 jam, dengan tambahan 8 jam lagi dari bekas pengecas, menjadikan masa keseluruhannya 12 jam.
Bekas pengecas ini menggunakan USB-C untuk mengecas dan boleh memberikan masa bermain muzik selama 1 jam, dengan mengecas selama 15 minit. Pengecasan penuh dari 0% ke 100% mengambil masa 2 jam.
Menggunakan pemandu audio neodymium 6mm, ia menyalurkan lagu secara wayarles menggunakan Bluetooth 5.1 sehingga 10m jauh dari peranti. Terdapat butang pada setiap sebelah fon kepala ini untuk menjalankan arahan seperti mengawal lagu, serta tahap bunyi. Ia juga serasi digunakan bersama pembantu maya seperti Apple Siri dan Google Assitant.
Philips TAT2205 memiliki empat warna pilihan iaitu putih, merah, hitam dan biru. Ia dijual di Malaysia pada harga RM 399 dan turut boleh dibeli di Stor Rasmi Philip di Lazada.
Philips TAT3225
Fon kepala ini sedikit lebih besar dari TAT2205 dan ia memiliki tenaga yang lebih panjang. Mendengar lagu boleh digunakan sehingga 6 jam lamanya, ditambah dengan 18 jam lagi dari bekas pengecas, memberikan masa keseluruhan mendengar lagu kepada 24 jam. Ia turut diiktiraf kalis peluh dan percikan IPx4.
Bekas pengecas ini menggunakan USB-C untuk mengecas dan boleh memberikan masa bermain muzik selama 1 jam, dengan mengecas selama 15 minit. Pengecasan penuh dari 0% ke 100% mengambil masa 2 jam.
Sistem bunyi dipacu oleh pemandu audio neodymium 6mm dan dengan mikrofon yang terbina di dalam, ia boleh membatalkan gema agar suara dan bunyi yang didengari lebih jelas. Fon kepala ini juga serasi digunakan bersama pembantu maya seperti Apple Siri dan Google Assitant.
Butang pada kedua belah fon kepala ini menyokong teknologi pelbagai sentuhan. Tetapan arahan boleh dilaksanakan dengan satu sentuhan pendek atau sentuhan yang lebih lama untuk arahan lain.
Terdapat dua warna ditawarkan untuk Philips TAT3225 di Malaysia, iaitu putih dan hitam. Harga jualannya ialah RM 599 dan ia turut dijual di di Stor Rasmi Philip di Lazada.