Walaupun jualan 11.11 telah lepas, trend membeli-belah dalam talian tidak akan menurun, malah ia menjadi pilihan ramai sewaktu Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) berkuatkuasa. Banyak peniaga telah beralih ke dalam talian dan ini menambah pilihan untuk membeli dalam talian, kerana wabak COVID-19 masih belum reda.
Dua platform e-dagang terkemuka di Malaysia ialah Lazada dan Shopee. Kedua-dua platform ini kerap bersaing membuat jualan dan promosi, bagi menarik lebih ramai bukan sahaja pembeli, tetapi juga peniaga untuk membuka kedai maya dalam talian.
Lazada dan Shopee telah menyediakan pelbagai langkah keselamatan bagi melindungi pembeli, tetapi ia masih tidak menghalang beberapa penjual yang tidak bermoral, membuka kedai palsu dalam talian untuk memerangkap pembeli yang kurang peka.
Anda mungkin pernah mendengar tentang pembeli yang menerima produk tidak asli. Lebih teruk lagi, ada pembeli tidak sedar bahawa produk yang dibeli mereka adalah tiruan.
Di sini, kami ingin membantu pembeli agar lebih celik terhadap penipuan dalam talian, dengan menyenaraikan beberapa langkah untuk diikuti, sebelum membeli barang dalam talian.
1. Harga terendah bukan bermakna ia pilihan terbaik
Sebagai pembeli, kita akan mencari harga paling rendah untuk dibeli. Kebanyakan masa, membeli dalam talian lebih murah dari kedai biasa. Tetapi jaga-jaga kalau harganya terlampau murah.
Pasti anda pernah mendengar, “jika sesuatu perkara itu dilihat terlampau bagus, pasti ada yang tak kena”. Ia juga boleh digunakan ketika membeli dalam talian. Ini adalah taktik yang sering digunakan penjual barangan tiruan.
Contohnya, jika harga sebuah telefon yang baru dilancarkan adalah RM3,000, adalah mustahil untuk penjual meletakkan harga di bawah RM500. Ini adalah petunjuk awal penipuan. Apa yang bahaya adalah, sekali imbas dari senarai jualan dan kedai tersebut, ia kelihatan seperti biasa kerana menggunakan gambar rasmi, serta nama sebenar dan sepesifikasi tepat model telefon pintar tersebut.
Dari pengalaman kami, ada tawaran yang asli memberikan diskaun beberapa ratus ringgit untuk produk baru. Kadang-kadang, ada jenama yang memberi diskaun sehingga 50% tetapi untuk model telefon pintar lama dengan kuantiti sangat terhad.
2. Kenalpasti kedai palsu
Sebelum membeli, kami mencadangkan agar anda membuat kajian terlebih dahulu produk yang mahu dibeli dari stor rasmi jenama tersebut, bagi mengetahui harga rasminya. Selain tiruan, ada juga peniaga yang menjual set import telefon pintar dengan harga beberapa ratus lebih murah dari set rasmi. Ia adalah produk asli tetapi tidak menikmati jaminan tempatan seperti set rasmi Malaysia. Anda boleh menyemak di ruangan jaminan (warranty) untuk mengetahui sama ada ia dilindungi “Local Manufacturer Warranty” iaitu dijamin pengeluar tempatan.
3. Reputasi kedai dan ulasan pembeli
Satu lagi perkara yang perlu diambil perhatian adalah reputasi kedai dalam talian tersebut. Adakah ia kedai yang dikenali ramai dengan penilaian dan ulasan pembeli yang baik? Kebanyakan kedai palsu biasanya baru dibangunkan dan hampir tiada penilaian dan ulasan pembeli. Walaupun ada peniaga asli yang baru membuka kedai di Lazada dan Shopee, adalah amalan yang baik untuk memeriksa ruangan ulasan, Q&A dan maklumat lanjut kedai.
Kebanyakan masa, pembeli sebelum ini akan meninggalkan komen dan ulasan, bersama gambar atau video tentang produk sebenar yang mereka terima. Dari sini, anda boleh pastikan sama ada produk itu asli atau palsu, dengan melihat gambar sebenar berbanding gambar yang dimuat naik peniaga.
Untuk lebih meyakinkan, beli dari peniaga yang telah lama membuka kedai, sekurang-kurangnya 1 tahun telah ada di platform e-dagang terlibat, serta memiliki banyak ulasan yang positif. Tetapi ingat, ruangan ulasan masih boleh dimanipulasi peniaga untuk menambah ulasan positif, di samping menaikkan jumlah jualan produk mereka.
4. Borak dengan peniaga
Jika masih ragu-ragu, anda boleh sentiasa menghubungi penjual untuk mendapatkan maklumat lanjut tentang produk yang mahu dibeli. Kebanyakan peniaga bagus yang kami temui, sangat membantu dan membalas pertanyaan dengan segera. Selain itu, semak juga ruangan Q&A jika ada. Jaga-jaga apabila penjual menjawab dengan mengatakan, produk mereka adalah OEM atau pelbagai alasan lain, untuk mengelak dari mengesahkan bahawa ia bukan produk asli.
5. Beli dari kedai rasmi atau penjual ‘preferred’
Cara lebih mudah untuk mengelakkan dari ditipu adalah membeli dari kedai rasmi jenama tersebut. Di Lazada, mereka melabel kedai rasmi sebegini di bawah nama LazMall. Manakala di Shopee dipanggil Shopee Mall.
Menurut Lazada, LazMall adalah pusat setempat untuk pembeli yang mahu memastikan produk yang dibeli adalah 100% tulen. Lazada menawarkan pulangan wang sebanyak 5x ganda jika produk yang ditemui di LazMall adalah tidak tulen. Selain itu, LazMall juga menyediakan polisi pemulangan tanpa soal selama 15-hari, serta jaminan penghantaran tepat pada masanya.
Shopee pula menyatakan semua produk di Shopee Mall adalah 100% tulen untuk memastikan pembeli boleh membeli-belah dengan tenang dan aman. Ia juga pusat setempat untuk pelbagai produk berkualiti dari lebih 1,200 jenama dan peniaga. Selain itu, mereka menawarkan jaminan 2x pemulangan wang jika produk yang dibeli di Shopee Mall adalah tidak tulen.
Langkah tambahan untuk mengelakkan senarai produk palsu
A. Lazada
Menurut Lazada, mereka telah melabur banyak dalam melindungi integriti platform e-dagang Lazada untuk pembeli, jenama dan penjual. Mereka memiliki sistem yang menyeluruh, untuk menyemak dan mengawal menerusi polisi dan langkah-langkah yang ketat untuk mengekang perdagangan barang palsu dan haram di platform mereka.
Lazada menyatakan, mereka menggunakan pendekatan ‘sedar, siasat dan turun‘ dengan polisi yang jelas ditetapkan dan membina saluran komunikasi antara pembeli dan penjual untuk melaporkan sebarang salah laku. Program perlindungan Lazada IPR (Hak Harta Intelek) telah digabungkan dengan platform IPP Alibaba, sebuah portal di mana jenama boleh mendaftar dan memaklumkan permohonan untuk menurunkan senarai yang menyalahgunakan harta intelek jenama.
Dengan proses yang disediakan, Lazada menjelaskan bahawa mereka akan mengeluarkan produk tiruan sebaik sahaja mengesan dan akan menggantung atau melarang penjual yang melanggar undang-undang. Lazada juga bekerjasama dengan pihak berkuasa tempatan untuk memastikan tindakan diambil ke atas penjual yang tidak memberi kerjasama dan Lazada memastikan mereka kekal komited untuk memastikan platform e-dagang Lazada selamat dan dipercayai.
Lazada menggalakkan pelanggan yang menemui sebarang produk palsu, tiruan atau tidak dibenarkan, untuk melapor kepada mereka agar bleh disiasat dan diambil tindakan secepat mungkin. Jika pembeli menerima produk tiruan, mereka boleh memulangkan semula dengan menekan butang “Return/Refund” di bahagian “Order Details“, dan pilih “Counterfeit” sebagai alasan pemulangan. Ini akan memberi amaran kepada Pusat Sokongan Pelanggan Lazada dan mereka akan melancarkan siasatan terhadap produk tersebut.
B. Shopee
Di Shopee, mereka tidak membenarkan penjualan sebarang produk terlarang di platform mereka berpandukan polisi, undang-undang dan larangan tempatan, yang telah ditetapkan oleh agensi kerajaan dan pihak berkuasa. Untuk mengelakkan dari senarai yang menipu, Shopee memiliki pengkalan data yang mengandungi kata kunci senarai hitam yang sentiasa dikemaskini, untuk memastikan mereka sentiasa selangkah di hadapan untuk mengatasi trend baru penipuan.
Menurut Shopee, senarai yang mengandungi kata kunci khusus akan terus dialihkan kepada pasukan untuk dinilai sebelum disiarkan kepada pengguna. Bagaimanapun, dalam kes tertentu, senarai penipuan ini terlepas dari pemantauan sistem dan pengguna disaran untuk membuat laporan terhadap penjual dan senarainya untuk diambil tindakan lanjut. Pengguna boleh membuat laporan menerusi fungsi “Report this Product”.
Tambahan lagi, Shopee menawarkan Polisi Jaminan Shopee atau “Shopee Guarantee Policy” yang meliputi semua transaksi di platform Shopee. Ini membolehkan Shopee menyekat pembayaran kepada penjual, sehinggalah pembeli mengesahkan mereka menerima produk yang tulen dan asli, di dalam kualiti yang baik, sebelum pembayaran dilepaskan kepada penjual.
Shopee menyatakan, dengan sekatan pembayaran ini, penjual diberi insentif untuk memastikan produk dihantar dalam keadaan baik secepat mungkin, dan pembeli tidak perlu risau membeli produk tiruan atau tidak mendapat wang kembali jika ada masalah dalam pembelian.
Proses pelepasan wang dilakukan sepantas 15 minit selepas disahkan, jika bayaran dibuat menggunakan ShopeePay. Shopee juga memberi amaran bahawa semua transaksi mestilah dibuat di dalam platform, untuk memastikan ia dilindungi oleh Polisi Jaminan Shopee.
Jika pelanggan menerima produk palsu atau tiruan dari penjual Shopee, mereka boleh memohon pemulangan wang secara terus di dalam aplikasi, dengan mengikuti arahan di dalam bahagian “My Purchases“. Jika ada pertikaian antara penjual dan pembeli, kes ini akan dibawa ke perhatian Shopee untuk mencapai penyelesaian yang dipersetujui oleh kedua belah pihak.
Boleh ikuti perbincangan tentang kedai palsu dalam talian bersama Amin dan Alex dari SoyaCincau, menerusi video di bawah. Ia juga boleh didengari dari mana-mana platform podcast kegemaran anda, di sini.
Artikel asal dari SoyaCincau: PSA How to avoid buying fake products on Lazada and Shopee