Xiaomi hari ini melancarkan telefon pintar flagship terbaru mereka, Mi 11 di Malaysia dan Singapura. Ia menampilkan prestasi tertinggi boleh ditemui di pasaran masakini, diperkasa cip Snapdragon 888 5nm, RAM LPDDR5 dan storan UFS 3.1.
Mi 11 yang dilancarkan di Malaysia memiliki spesifikasi yang sama seperti model global yang dilancarkan di Eropah sebelum ini, bersama kepala pengecas di dalam kotak. Terdapat dua varian storan yang akan dijual di Malaysia dengan harga seperti berikut:
- Mi 11 (RAM 8GB + Storan 128GB) – RM 2,799
- Mi 11 (RAM 8GB + Storan 256GB) – RM 2,999
Bagaimanapun, hanya tarikh jualan untuk varian 256GB diumum hari ini. Mi 11 256GB akan mula dijual di Malaysia pada 13 Mac 2021 di semua pengedar Xiaomi dan Mi Stores di Malaysia serta stor rasmi Xiaomi di Lazada. Mi 11 128GB pula akan dijual di kemudian hari, pada tarikh yang belum diberitahu.
Terdapat tiga warna ditawarkan untuk Mi 11 di Malaysia iaitu Kelabu dan Biru semasa tempahan awal, dan warna Putih di masa akan datang. Mi 11 diberikan jaminan selama 24 bulan, bersama perlindungan skrin 1 kali selama 12 bulan.
Hadiah percuma bernilai sehingga RM1,925
Xiaomi menawarkan hadiah percuma untuk tempahan awal sebelum 11 Mac. Dari 25 Februari hingga 10 Mac 2021, tempahan awal Mi 11 di Stor Rasmi Xiaomi di Lazada dan laman web laman web pra-pesanan Xiaomi Malaysia, akan menerima Pembersih Udara Mi Air Purifier 3C percuma (bernilai RM 569). Bagaimanapun, hadiah percuma ini terhad kepada 1,500 tempahan pertama sahaja.
Selepas itu, untuk 100 pelanggan pertama yang mendaftarkan resit pembelian Mi 11 di http://mi11firstsales.cloudapp.net/, akan menerima pek premium Mi AIoT eksklusif bernilai RM 1,356. Kempen penjualan hari pertama khas ini hanya sah untuk satu hari pada 13 Mac, sementara stok masih ada.
Hadiah percuma ini untuk 100 orang pertama yang muat naik resit pembelian Mi 11 sahaja. Jadi, cepat-cepat daftar Mi 11 anda pada 13 Mac kelak.
Untuk jualan hari pertama pada 13 Mac 2021, pembeli Mi 11 akan menerima hadiah percuma berupa Mi True Wireless Earphones 2 basic (bernilai RM139). Pembeli juga berpeluang untuk mendapatkan hadiah percuma, pek premium Mi AIoT eksklusif bernilai RM 1,356. Dengan syarat, menjadi 100 pertama memuat naik resit pembelian Mi 11.
Spesifikasi
Xiaomi mempromosi Mi 11 sebagai peranti pakar filem. Menurut Xiaomi, Mi 11 adalah studio filem bersaiz poket, menjadikan pengguna amatur dan peminat video sebagai pengarah filem, menggunakan kehebatan kamera Mi 11.
Terdapat tiga kamera belakang di Mi 11. Ia gabungan kamera utama 108MP F1.85 dengan penstabil imej optikal, kamera ultra lebar 13MP F2.4 dan kamera telemakro 5MP F2.4 untuk fokus seperti mikroskop. Kamera hadapannya 20MP F2.4, terletak di dalam lubang di sudut atas skrin.
Mi 11 adalah telefon pintar pertama Xiaomi dengan kuasa Snapdragon 888 5nm. Ia dibekalkan bersama RAM LPDDR5 3200Mhz 8GB dan storan dalaman UFS 3.1 sehingga 256GB. Skrinnya dari jenis AMOLED, seluas 6.81-inci dengan resolusi tinggi 2K WQHD. Kadar penyegaran pula setinggi 120Hz dan kadar sentuhan 480Hz.
Baterinya berkapasiti 4,600mAh dan menyokong pengecasan pantas berwayar 55W, dan tanpa wayar 50W. Di samping itu, ia juga boleh mengecas tanpa wayar terbalik sehingga 10W. Untuk set rasmi Malaysia, Xiaomi menyertakan kepala pengecas GaN 55W di dalam kotak.