Negara kita menerima kumpulan pertama vaksin Sinovac daripada China pada 27 Februari 2021. Ada kelainan vaksin Sinovac ini berbanding vaksin Corminaty keluaran Pfizer-BioNTech. Saya ibaratkan sebagai vaksin “CKD” kerana bila sampai, ia perlu dibotolkan sebelum boleh diedarkan dalam pasaran tempatan.
Pihak yang akan mengambil alih tugas pembotolan itu adalah Pharmaniaga. Menurut mereka, ia adalah satu titik bersejarah dalam industri farmaseutikal negara kerana vaksin ini adalah yang pertama dibotolkan di kilang tempatan.
Proses kearah pembotolan akan mula berjalan seawal 1 Mac 2021 dan dijangka selesai pada 12 Mac 2021. Tapi, mereka telebih dahulu telah menghantar satu sampel bebuli Sinovac kepada pihak Bahagian Regulatori Farmasi Negara (NPRA) untuk memohon kelulusan penggunaan vaksin di Malaysia. Setakat 28 Februari 2021, hanya Comirnaty sahaja yang diluluskan NPRA untuk disuntik ke dalam badan penduduk Malaysia.
Sebanyak 200 liter vaksin Sinovac yang diterjemah kepada 315 ribu dos diterima pada penghantaran pertama itu. Ia adalah sebahagian daripada 12 juta dos Sinovac yang ditempah daripada China tapi menurut sidang media DG Noor Hisham bertarikh 26 Februari 2021, sebanyak 2 juta vaksin telah ditambah ke tempahan sedia ada untuk diedarkan kepada hospital swasta.
Maklumat tentang vaksin Sinovac
Walaupun vaksin mempunya objektif yang sama iaitu untuk membanteras penyakit, tapi mekanisme yang boleh digunakan vaksin adalah pebagai. Misalnya, Corminaty menggunakan kaedah mRNA untuk cetuskan gerak balas imunisasi badan manakala Sinovac menggunakan kaedah lebih tradisional iaitu virus nyahaktif.
Penggunaan vaskin berasaskan virus yang dinyahaktif adalah sangat berkesan berbanding yang lain kerana ia sudahpun diguna pakai sejak hampir setengah abad yang lalu. Contoh penyakit hasilan virus yang dihindari menggunakan vaksin jenis ini adalah seperti:
- Polio
- Hepatitis A
- Rabis
- Kebanyakkan influenza
- Taun
Dalam kes Sinovac, virus Coronavirus terlebih dahulu direncatkan keupayaannya untuk membiak tapi dalam pada masa yang sama, fizikaliti virus itu masih dikekalkan. Jadi, bila ia disuntik masuk ke dalam badan manusia, ia tidak akan menyebabkan penerima menerima sakit seserius penghidap COVID-19 tanpa vaksin tapi cukup untuk mencetuskan tindak balas imunisasi dalam badan.
Cabaran dalam penghasilan vaksin jenis virus nyahaktif adalah untuk mencari sejauh manakah tahap nyahaktif diperlukan tanpa memberikan kesan terhadap penerima.
Maklumat tentang vaksin Sinovac dalam kalangan negara jiran Malaysia
Vaksin Sinovac tiba di Singapura walaupun negara itu masih belum terima lampu hijau daripada pihak berkuasa negara tersebut. Menurut pemerhati, perkara ini berbahaya kepada Singapura kerana dos vaksin yang tiba di negara itu berdepan dengan risiko rosak sementara menunggu pengesahan daripada pihak berkuasa tempatan.
Namun begitu, laporan menunjukkan yang dalam keadaan penyimpanan yang betul, ia boleh disimpan sehingga 3 tahun lamanya.
Thailand juga menerima penghantaran vaksin pada 25 Februari 2021 apabila 200 ribu dos pertama memasuki negara tersebut. Mereka juga bersiap sedia untuk menyuntik rakyatnya dengan Coronavac namun, Menteri Kesihatannya ingin menunggu vaksin AstraZeneca yang katanya tiba di negara itu pada 3 Mac 2021.
Di Fillipina, pihak berkuasa negara itu telah meluluskan kelulusan untuk emergency use keatas Sinovac. Selain Sinovac, 2 lagi vaksin yang diluluskan untuk penggunaan adalah daripada pengeluar Pfizer-BioNTech dan University of Oxford/AstraZeneca.
Walau bagaimanapun, untuk kes Sinovac, vaksin tersebut tidak akan diberikan kepada petugas barisan hadapan disebabkan tahap keberkesanan yagn tidak konsisten ditunjukkan semasa ujian klinikal fasa akhir. Makanya, di Fillipina, hanya individu sihat berumur antara 18-59 tahun sahaja akan menerima suntikan Sinovac.
Lain ceritanya di negara jiran Indonesia, pada hari Singapura dan Thailand menerima penghantaran, Indonesia sudahpun mulakan proses pemvaksinan rakyatnya menggunakan vaksin yang sama.