Robot vakum boleh menjadi penyelesaian untuk membersihkan rumah, jika seseorang itu sibuk dengan aktiviti harian tetapi mahu lantai sentiasa bersih. Namun, robot vakum apakah yang berbaloi untuk dibeli agar ia boleh menyelesaikan tugasan membersih walaupun anda tiada di sisi?
Saya ada menerima Realme Techlife Robot Vacuum dan saya telah menggunakannya selama sebulan. Robot ini mempunyai 4 tahap sedutan, mempunyai ciri jadual pembersihan, serta ia boleh ubah suai secara automatik sedutannya apabila lalui permukaan tertentu. Ciri hebat seperti ini amat diperlukan pada sesebuah robot vakum. Oleh itu, saya telah cubanya sendiri untuk ketahui sejauh mana prestasinya.
1. Buka kotak
Di dalam kotak Realme Techlife Robot Vacuum, saya ada terima satu robot vakum berwarna hitam, dok pengecas dengan plug 2 pin, penapis dan alat untuk membersihkan berus. Dalam kotak berlainan, saya terima bekas air mop digandingkan bersama bekas sampah dan lapik mop.
2. Rekaan Realme Techlife Robot Vacuum
Robot ini berwarna hitam dan lebarnya 10cm. Kelihatan seperti robot vakum biasa yang berbentuk bulat. Dari bahagian atas, ada dua butang disediakan. Pertama butang kuasa dan kedua butang dengan simbol rumah ia berfungsi untuk arahkan robot pulang ke dok pengecas secara manual.
Kemudian ada sensor navigasi Lidar. Menariknya, badan sensor ini berwarna kuning dan ia merupakan trademark Realme.
Pada bahagian sisi di bawah butang kuasa, robot ini dilengkapi bumper bergetah.
Seterusnya, pada bahagian belakangnya, ada satu bekas sampah 600ml disediakan.
Bekas ini boleh dibuka dan digantikan dengan bekas air seluas 300ml. Bekas air ini digunakan untuk mop dan boleh juga untuk vakum serentak, tetapi ia tidak disertakan sekali, jadi perlu dibeli berasingan.
Pada bahagian bawah, ia mempunyai dua berus lembut di bahagian sisi hadapan kiri dan kanan, satu berus rolling, dua roda utama di bahagian belakang dan satu roda hadapan 360 darjah.
3. Pengalaman vakum rumah & kawal guna aplikasi
Sebelum mula menggunakan robot ini, saya perlu muat turun aplikasi Realme Link dahulu. Melaluinya saya boleh kawal robot dari telefon. Saya namakan robot saya ini Nancy.
Jadi, pertama sekali, saya nak kongsikan pengalaman saya gunakan robot vakum untuk bersihkan habuk, sambil kawalnya melalui aplikasi. Untuk sambungkan robot dengan aplikasi ianya amat mudah. Saya hanya perlukan wifi dan ikut sahaja arahan yang diberikan.
Dengan menggunakan aplikasi, saya boleh lihat secara langsung lokasi robot bekerja serta larangnya pergi ke tempat tertentu melalui peta. Dengan menggunakan ciri Edit Restricted Zone, saya boleh sediakan kotak pada peta sebagai halangan untuk robot supaya dia tidak masuk ke sesebuah kawasan. Contohnya ketika sedang solat di ruang tamu, saya boleh tetapkan untuk halang robot masuk ke kawasan saya solat. Jika tidak lakukan halangan, robot akan lalu sahaja ke kawasan itu.
Selain itu, boleh juga aktifkan Virtual Wall untuk halang robot melintasi sesebuah ruang di dalam rumah. Contohnya, ruang tamu saya ada ramai tetamu dan saya tidak mahu mengganggu mereka, maka saya bolehlah aktifkan Virtual Wall pada peta untuk halang robot masuk ke ruang tamu.
Seterusnya, di dalam aplikasi ada 4 tahap sedutan. Pertama quiet 500pa, kedua normal 1200pa, ketiga turbo 2500pa dan keempat max 3000pa. Tahap quiet dan normal, sesuai digunakan pada permukaan licin, manakala turbo dan max sesuai dilaraskan jika vakum berada di atas permukaan yang susah dibersihkan, contohnya karpet dan tikar.
Melalui tahap quiet, vakum robot bekerja dengan bunyi yang sangat perlahan. Manakala max lakukan sedutan dan menghasilkan bunyi yang sangat kuat. Jadi, saya boleh sesuaikan ia mengikut masa dan keadaan. Contohnya, kalau vakum pada hari ahad dan waktu tengah hari, saya akan guna tahap normal sahaja sebab takut mengganggu jiran.
Namun masalahnya, robot tidak boleh membersihkan permukaan karpet dengan baik apabila guna tahap sedutan yang perlahan. Jika waktu bekerja saya berani untuk biarkan ia berada pada tahap turbo atau max, namun bateri pula cepat habis apabila gunakan kuasa maksimum.
Saya perhatikan, apabila saya gunakan kuasa Normal dengan bateri vakum 100%, ia boleh vakum keseluruhan rumah dan ada baki bateri tidak kurang 40%. Tetapi dengan kuasa Max, rumah tidak selesai dibersihkan dan robot pulang ke dok pengecas kerana bateri hampir habis. Robot ini dikatakan mempunyai kapasiti bateri 5200mAH.
Di aplikasi ada juga mod Auto Boost untuk vakum, saya suka hidupkannya sebab robot boleh laraskan sendiri kekuatan mengikut permukaan. Contohnya, apabila robot lalu pada permukaan karpet, ia akan sedut dengan kuat sambil hasilkan bunyi bising, manakala permukaan lantai licin ia sedut dengan perlahan sambil hasilkan bunyi yang tenang sahaja. Walaupun guna auto, robot masih boleh bersihkan lantai rumah dengan baik dan sedut pelbagai jenis sampah kecil. Contohnya sisa makanan, serpihan tisu kecil dan habuk.
Kemudian, aktiviti pembersihan juga boleh dijadualkan melalui aplikasi. Ia tidaklah mengikut masa yang saya jadualkan dengan tepat, ada ralat dalam 10 ke 30 saat dari masa yang saya telah tetapkan. Tetapi, ia tidak memberi kesan besar pada ciri Schedules ini.
Ketika jadualkan waktu permbersihan, saya boleh tetapkan masa, hari, kuasa sedutan dan kawasan yang perlu dibersihkan. Walaupun saya berada di pejabat, saya masih boleh akses vakum dan pergerakannya selagi ia masih disambungkan kepada wifi rumah.
4. Ciri pengesan pada robot
Selama sebulan saya gunakan robot ni, yang saya perasan dia memang banyak langgar perabot saya. Contohnya kerusi dan meja makan, rak TV, kaki sofa dan kaki katil. Tapi robot ini kan ada bumper bergetah pada badan dia jadi dia mungkin tak akan rosak, perabot rumah saya pun ok tak terkesan. Cuma saya dapat simpulkan pengesan dia tak berfungsi dengan baik.
5. Mop ala kadar sahaja
Fungsi mop ini boleh digunakan serentak dengan vakum dan ia boleh juga ditetapkan untuk mop sahaja. Tangki mop boleh diisi cecair pembersih sehingga 300ml. Bagi saya, jumlah itu cukup untuk mop kawasan rumah dengan keluasan 800sqft. Robot ini boleh membersihkan lantai dengan baik di kawasan ruang tamu dan bilik. Antara kotoran yang telah berjaya dibersihkan ialah air jus cair dan bedak.
Penggunaan air mop ini boleh dilaraskan seperti vakum. Ada 4 pilihan disertakan iaitu dry, minimum, normal dan maximum. Ia tiada fungsi auto boost di vakum yang boleh mengesan permukaan dan laraskan kekuatan berdasarkan permukaan. Jadi, saya perlu gunakan aplikasi untuk laraskan penggunaan air mop.
Namun, saya dapati apabila saya laraskan ia kepada 3 tahap berbeza, air mop yang dikeluarkan seperti sama. Permukaan tak basah seolah-olah saya gunakan mod minimum sahaja.
Kemudian, apabila saya gunakan robot di kawasan dapur untuk bersihkan kekotoran seperti minyak serta kicap di atas lantai, ia tidak dapat bersihkan permukaan dengan baik. Masih ada kotoran yang tertinggal, malah robot bertindak sebarkan kotoran ke tempat lain. Maka, saya perlu bersihkannya secara manual. Ia juga tidak dapat bezakan permukaan lantai dan karpet, maka karpet saya akan lembab setiap kali saya gunakan fungsi mop.
6. Rumusan
Sepanjang saya gunakan Realme Techlife Robot Vacuum ini, saya lihat ia boleh bekerja menyedut sampah di semua tempat di rumah saya, termasuklah kawasan yang sukar dicapai seperti di bawah sofa, bawah meja TV dan bawah katil.
Tetapi, sebagai perempuan, perkara yang saya sangat utamakan adalah kekuatannya untuk menyedut rambut di atas lantai. Namun, saya dapati perkara tersebut adalah kelemahannya. Berusnya tidak dapat menggulung rambut atau benang di atas lantai dengan baik, mengakibatkan sampah itu tersangkut lalu robot berhenti bekerja.
Selain itu, saya dapati sampah di tepi dinding juga tidak dibersihkan dengan baik. Mungkin kerana tekstur berus di bahagian tepinya itu terlalu lembut dan sukar untuk menarik habuk atau sampah kecil.
Namun, perkara yang membuatkan saya tertarik dengan robot ini ialah, waktu kerjanya boleh dijadualkan. Maka saya tak perlu fikir untuk buka aplikasi dan hidupkan robot pada setiap masa.
Bagi fungsi mop pula, ia boleh bersihkan lantai jika kekotoran pada permukaan tidak terlalu pekat seperti susu kotak dan air jus botol. Tetapi, jika kekotoran itu pekat dan melekat seperti kicap dan minyak, ia tidak dapat membantu. Mop ini tidak beroperasi seperti yang saya jangkakan, lebih-lebih lagi apabila tahap airnya itu umpama tidak boleh dilaraskan. Kebasahan lantai seperti sama sahaja walaupun saya laraskan kepada 3 tahap yang berbeza.
Dibandingkan dengan vakum Deebot T9 yang saya pernah reviu dahulu, harganya asalnya agak mahal iaitu RM3999 tetapi ia boleh bekerja dengan baik pada permukaan licin, karpet dan tikar. Mop juga bagus sebab boleh hilangkan kotoran yang pekat macam kicap dan sos.
Manakala dibandingkan dengan Ecovacs Deebot Ozmo T8 pula, harganya lebih murah iaitu RM1699. Tetapi ia mempunyai kapasiti bateri sama dengan Realme Robot Vacum iaitu 5200 mAh. Ia turut tersedia dengan fungsi mop, maka jimat kerana tidak perlu beli bekas mop berasingan.
Selain itu, Roborock S6 juga boleh lakukan kerja vakum dan mop serentak, harganya juga lebih murah berbanding Realme Robot Vacum iaitu RM1799. Dikatakan bunyinya bekerja tidak bising, tetapi tangki air mop yang disediakan adalah 140ml sahaja.
Jika anda berminat untuk dapatkan Realme TechLife Robot Vacuum, ia dijual pada harga RM1,999 di Lazada.