Pernah tak anda terima SMS meragukan dari nombor yang tak dikenali dan hampir terperdaya dengannya? Contohnya SMS yang menyatakan anda memenangi hadiah dari satu aplikasi lalu ia disertakan dengan pautan yang perlu ditekan untuk mengesahkan bahawa anda ingin menerimanya. Jika pernah, ini merupakan salah satu taktik penjenayah siber untuk mendapatkan data anda. Penipuan melalui SMS ini digelar smishing.
Jika tidak berjaga-jaga, mangsa boleh mengalami kerugian mencecah sehingga ratusan ribu ringgit. Oleh itu, berikut merupakan 4 ciri-ciri SMS scam yang perlu anda tahu dan cara untuk elak dari di tipu.
1. Mesej seperti mahu berkenalan
Sesetengah penggodam bertindak menghantar mesej yang kelihatan seperti mahu memikat mangsa dengan mesra. Mesej tersebut juga kelihatan seolah-olah telah mengenali mangsa. Turut disertakan satu pautan yang mencurigakan. Tentunya mesej seperti ini menggunakan nombor yang tidak dikenali maka abaikannya.
2. Mesej mempunyai pakej penghantaran
Mendapat mesej mengatakan ada pakej yang belum selesai penghantarannya, adakalnya akan membuatkan individu rasa teruja untuk menerima pakej tersebut. Mungkin nampak SMS itu seperti dihantar oleh perkhidmatan pos, tetapi jika ia sertakan pautan yang mencurigakan dan anda tidak membuat sebarang pembelian dalam talian, maka anda perlu berjaga-jaga. Perkhidmatan pos sebenar memang ada menghantar SMS untuk pelanggan jejak penghantaran, tetapi mereka menggunakan pautan dengan nama kurier sendiri.
3. SMS menang hadiah
SMS seperti ini seringkali diterima dari nombor yang tak dikenali. Ia akan menyatakan bahawa anda memenangi baucar atau hadiah daripada sebarang pertandingan atau aplikasi yang anda gunakan. Jangan klik pada pautan yang disertakan. Jika tidak, anda akan dibawa ke satu pautan lain dan secara tidak sengaja memuat turun kod hasad ke telefon anda.
4. Menyamar jadi pihak bank
Penggodam siber sering menghantar SMS dan menyamar sebagai institusi yang dipercayai seperti bank atau syarikat utiliti untuk mempengaruhi mangsa supaya menyerahkan kata laluan, PIN serta maklumat peribadi yang lain. Kebanyakan SMS akan cuba menakutkan mangsa, contohnya mereka akan menyatakan bahawa bank sedang dalam proses menutup akaun mangsa, maka mangsa dikehendaki membuat pengesahan akaun di pautan yang disertakan untuk memastikan akaun kekal aktif.
Mesej seperti ini juga adakalanya mengandungi arahan mendesak seperti, “Jika anda tidak membalas mesej dalam masa 24 jam, akaun anda akan ditutup.” Sekiranya perkara ini berlaku, anda perlu hubungi bank yang berkaitan untuk dapatkan pengesahan.
Untuk mengelak daripada menjadi mangsa scam melalui SMS, pastikan anda ingat 3 perkara berikut:
1. Jangan klik pautan dalam SMS
Kebiasaannya penggodam akan menggunakan pautan pendek bit.ly. Maka anda tidak akan tahu ke mana pautan ini akan membawa anda. Ia akan jadi berbahaya apabila pautan ini membawa individu ke laman web penyamaran, memuat turun virus atau perisian hasad.
2. Jangan hantar maklumat peribadi guna SMS
Penggodam akan menghantar SMS menyerupai sesebuah perkhidmatan contohnya dari bank, bagi memperdaya mangsa supaya menyerahkan maklumat peribadi seperti nama dan kata laluan akaun perbankan Internet. Anda perlu ingat bahawa perkhidmatan kerajaan dan perbankan tidak menggunakan SMS untuk dapatkan maklumat peribadi pengguna.
3. Jangan kongsi nombor TAC/OTP dengan orang lain
Jangan sesekali menyerahkan nombor TAC/OTP yang anda terima kepada pihak lain kerana ia merupakan milik peribadi. Jika ada yang hubungi anda untuk dapatkannya, bermaksud individu itu cuba akses ke akaun anda. Taktik meminta nombor TAC/OTP, dengan alasan nombor telefon mangsa telah didaftarkan secara tidak sengaja di dalam aplikasi tertentu adalah salah satu bentuk penipuan jenayah siber.
Pastikan anda ambil langkah berjaga-jaga bagi mengelak dari menjadi mangsa penipuan. Apabila anda tahu ciri-ciri sesebuah mesej scam, maka anda akan lebih mudah untuk menghindarinya.
[Sumber: Reader’s Digest]