Xiaomi bakal melancarkan telefon pintar berkuasa tinggi, Redmi K50 tidak lama lagi bagi menggantikan siri Redmi K40. Sebelum majlis pelancaran berlangsung, Xiaomi mengumumkan bahawa mereka akan berkerjasama dengan satu nama besar di industri permotoran dalam penghasilan telefon pintar ini, iaitu Mercedes-AMG Petronas F1.
Laman GizmoChina telah berkongsi beberapa gambar edisi khas peranti tersebut. Ia menampilkan kemasan belakang kelabu, bersama jalur hijau Petronas yang membentuk rupa seperti jam pasir. Terdapat juga logo AMG Petronas F1 kelihatan di belakang. Modul kamera belakang juga dilihat hadir dengan cahaya RGB seperti model sebelumnya.
Di dalam status di weibo, Redmi menyatakan mereka bekerjasama rapat dengan pasukan F1 tersebut untuk mencipta teknologi baru yang pastinya menarik perhatian peminat, dengan prestasi yang tidak pernah dirasai sebelum ini.
Dari segi spesifikasi, Redmi K50 gaming edition dijangka hadir dengan skrin AMOLED 6.67-inci dengan kadar penyegaran 120Hz dan kadar sentuhan 480Hz. Untuk ketahanan lebih lasak, ia dipasang kaca Corning Gorilla Glass Victus di hadapan. Prestasi tinggi akan digerakkan oleh cip terbaru Qualcomm, Snapdragon 8 Gen 1 sama seperti siri Xiaomi 12.
Dari petunjuk yang diberikan, peranti ini akan memiliki bateri 4,700mAh dan menyokong pengecasan pantas 120W melalui USB-C. Paling penting, ia masih ada butang bahu mekanikal yang boleh disimpan untuk pengalaman bermain game lebih baik. Kamera belakangnya ada tiga, termasuk kamera utama 64MP menggunakan sensor Sony IMX686. Kamera hadapan pula 20MP dengan sensor Sony IMX596.
Xiaomi akan melancarkan telefon pintar Redmi K50 gaming edition pada 16 Februari 2022, pukul 7 malam di China. Masih tidak pasti lagi sama ada ia akan dilancarkan di peringkat antarabangsa, memandangkan Redmi K40 gaming edition tidak membuat kemunculan di pentas global. Jika ada, ia mungkin akan dijenamakan kepada telefon pintar Xiaomi atau Poco.
Kerjasam Xiaomi sebegini bukanlah yang pertama, kerana mereka pernah bersama-sama menghasilkan Mi Electric Scooter Pro 2 edisi Mercedes AMG F1 Team. Ia adalah skuter yang sama dengan edisi biasa, tetapi tampil dengan warna tema pasukan F1 tersebut iaitu hitam, perak dan hijau.
[Sumber: GizmoChina]