Akibat terperdaya dengan tawaran pelaburan mata wang asing yang boleh datangkan keuntungan tinggi, seorang pegawai sains mengalami kerugian RM20,600 selepas menjadi mangsa penipuan tawaran itu melalui aplikasi Telegram.
Terperdaya untung RM55,000 dalam masa 6 jam
Pada mulanya, mangsa menerima mesej berkaitan pelaburan di Telegram. Suspek memaklumkan mangsa mampu memperoleh keuntungan sehingga RM55,000 dalam masa enam jam selepas menyertai skim pelaburan itu. Mangsa lalu memindahkan RM3,000 ke dalam akaun diberikan suspek sebagai wang permulaan pelaburan berkenaan.
Beberapa jam kemudian, mangsa diminta membuat pembayaran sebanyak RM17,600, kononnya bagi tujuan mengeluarkan keuntungan pelaburan. Selepas itu, suspek meminta lagi mangsa membayar sebanyak RM15,000 sebagai caj perkhidmatan bank.
Namun, permintaan itu menimbulkan rasa curiga dan menyebabkan mangsa membuat laporan di Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Kuantan. Siasatan dijalankan mengikut Seksyen 420 Kanun Keseksaan dan polis sedang mengesan pemilik akaun bank digunakan suspek untuk transaksi pelaburan berkenaan.
Individu seharusnya berasa curiga apabila menerima mesej berkaitan pelaburan di mana-mana platform media sosial. Jika benar mahu melabur, ada banyak pelaburan selamat lain yang boleh disertai. Contohnya Amanah Saham Nasional Berhad (ASNB) dan Pelaburan Tabung Haji. Pelabur juga seharusnya tidak memindahkan wang ke dalam akaun bank peribadi seseorang.
47 aduan pelaburan haram di Telegram diterima sejak Januari
Penipuan pelaburan di Telegram sebenarnya bukanlah satu isu baharu. Sejak Januari lalu, Suruhanjaya Sekuriti Malaysia (SC) telah terima 47 aduan dan pertanyaan mengenai skim pelaburan haram yang dipromosikan melalui Telegram. Skim penipuan ini menawarkan peluang pelaburan tidak wujud dan menjanjikan pulangan menarik dalam jangka masa singkat.
Selain itu, ada juga yang mewujudkan kumpulan awam di Telegram untuk promosikan pakej pelaburan palsu. Ia disertakan dengan testimoni palsu dan diiklankan sebagai patuh Syariah. Bagi mendapatkan kepercayaan, pelaku akan mendakwa bahawa skim pelaburan mereka telah diluluskan oleh pihak berkuasa kewangan.
Bagi mengelak lebih ramai dari menjadi mangsa, SC mengingatkan pelabur supaya sentiasa berhati-hati dalam menilai peluang pelaburan. Terutamanya apabila ia melibatkan kumpulan pelabur yang menjanjikan pulangan tinggi tidak realistik, dengan risiko yang sedikit. Orang ramai juga digesa untuk merujuk kepada Senarai Peringatan Pelabur SC sebelum melabur. Senarai tersebut mengandungi laman sesawang, produk pelaburan, syarikat dan individu yang beroperasi tanpa kebenaran.
Dalam masa yang sama, SC turut meminta orang ramai membuat laporan kepada Jabatan Pengguna dan Pelabur SC di talian 03-6204 8999 atau e-mel di [email protected], sekiranya mereka mengesyaki telah dihubungi oleh firma atau individu yang menawarkan skim pelaburan dengan pulangan tidak realistik.