Bagi orang yang sibuk seharian bekerja, kemudian pulang rumah dan sambung pula masak, mesti akan datang rasa penat kan? Seronoknya kalau balik dan nasi panas sudah tersedia. Jadi wujudkah periuk nasi yang boleh selesaikan masalah tersebut? Saya berpeluang menggunakan Joyami Smart Rice Cooker S1 dari Joyami by Tokit hampir tiga minggu. Ini merupakan periuk nasi pintar sebab ada wifi dan boleh dikawal menggunakan aplikasi Mi Home dalam telefon.
Jadi, untuk reviu ini saya nak kongsikan sejauh mana pintarnya Joyami Smart Rice Cooker S1 membantu saya uruskan masakan, keunikannya dan kelemahan yang saya jumpa. Boleh ke dia bantu saya masak nasi ketika saya tengah tidur?
Buka kotak
Untuk setiap pembelian periuk nasi Joyami Smart Rice Cooker S1, ia akan disertakan juga dengan aksesori lain seperti senduk nasi, cawan penyukat dan wayar kuasa plug 3 pin.
Fizikal periuk nasi Joyami Smart Rice Cooker S1
Kapasiti periuk nasi ini ialah 0.8L. Pada bahagian hadapan, ia mempunyai satu skrin panel kawalan berbentuk segi empat tepat. Pengguna boleh kawal periuk nasi secara manual di sini. Ada 3 butang disediakan, iaitu butang Timer, Start dan Select/Cancel.
Di bahagian atas ada butang untuk membuka periuk nasi.
Dalamnya pula ada Detachable Inner Lid (satu lapisan boleh tanggal).
Akhir sekali periuk. Padanya ada dinyatakan paras sukatan air masing-masing pada bahagian dalam kiri dan kanan.
Pengalaman gunakan Joyami Smart Rice Cooker S1
Perkara pertama saya lakukan pada periuk nasi pintar ini ialah sambungkan ia kepada WiFi dan aplikasi. Muat turun sahaja aplikasi Mi Home, kemudian ikut arahan pada skrin, sangat mudah. Ada banyak mod memasak disediakan dalam aplikasi ini, antaranya Quick (masak cepat), Warm (kekalkan nasi suam), Yogurt dan yang paling mengejutkan ialah juadah melayu pun tersenarai contohnya Nasi Kerabu serta Nasi Lemak.
Pilih sahaja mana-mana mod melalui aplikasi untuk mulakan masakan, kemudian maklumat tersebut akan dipaparkan pada skrin periuk nasi.
1. Masak nasi putih
Menu pertama yang saya masak gunakan periuk ini ialah nasi. Setelah basuh beras, saya letakkan beras itu di dalam periuk beserta air yang cukup. Kemudian, saya tetapkan mod memasak melalui aplikasi. Saya pilih mod Regular. Cara masak nasi seperti rumit sedikit, sebab saya perlu pilih jenis beras. Ada banyak jenis beras yang disediakan, saya pilih Thai Rice.
Kemudian, boleh pilih pula tekstur nasi (Taste Curve). Saya pilih Moderate sahaja. Selepas itu, dipaparkan pula masa anggaran masakan iaitu sekitar 1 jam. Lama kan? Seterusnya, saya tekan Start untuk mula masak.
Yang menariknya, waktu tengah masak, aplikasi ada paparkan suhu beras menyerap air dalam periuk nasi. Jadi, saya boleh nampak kalau suhu itu sudah menaik atau masih sama. Tapi paparan suhu ini hanya disediakan untuk masak nasi sahaja.
Setelah selesai masak, telefon saya akan paparkan notifikasi dan periuk nasi akan kekal dalam mod warm.
Bagi saya, tekstur nasi yang dimasak ini sama seperti gunakan periuk nasi biasa. Cuma, kelebihannya ialah ia boleh dikawal gunakan aplikasi.
2. Masak bubur
Menu kedua pula ialah bubur. Saya cuba guna ciri Appointment untuk masak bubur ini. Ciri ini umpama menjadualkan masakan. Periuk nasi akan masak bahan di dalamnya mengikut waktu yang saya tetapkan.
Pertama, saya sediakan bahan dalam periuk sekitar jam 5 petang. Kemudian, saya buka aplikasi dan pilih mod memasak Congee. Seterusnya, saya tetapkan pula masa masakan itu dijangka siap masak. Saya pilih 7 malam sebab saya nak makan dalam jam 7:30 malam. Dinyatakan bahawa bubur akan mula dimasak pada 6:20 petang. Setelah selesai tetapkan masa, saya tekan OK. Jadi saya biarkan sahaja bahan di dalam periuk. Saya pastikan juga periuk dihidupkan.
Dalam 6.30 petang, saya nampak periuk nasi ini sudah mula masak. Hasilnya, tekstur bubur ini sama seperti yang saya masak gunakan periuk nasi biasa dan juga dapur gas. Bezanya, jika di periuk nasi biasa, masakan tidak boleh dikawal melalui aplikasi. Jika di dapur gas pula, saya perlu berdiri di sisi masakan untuk pastikan ia tidak kering dan api tidak terpadam.
3. Masak kek
Selain itu, saya ada juga cuba masak kek menggunakan periuk nasi ini. Setelah sediakan bahan dalam periuk, saya pilih mod Cake di aplikasi dan masak menggunakan tempoh yang dicadangkan iaitu 55 minit. Tempoh maksimum untuk mod ini ialah 1 jam.
Selepas 55 minit, saya dapati kek tidak masak sepenuhnya. Ia hanya lembut pada bahagian tepi, tetapi ditengahnya masih cair.
Bagi selesaikan masalah ini, saya sambung masak kek guna periuk nasi yang sama tapi kawalnya semula menggunakan skrin yang disediakan. Saya pilih mod Quick dan tetapkan masa 20 minit. Hasilnya, kek masak dengan baik sehingga ke bahagian dalam. Jumlah masa yang saya gunakan untuk masak kek ialah 75 minit! Di sini saya dapati bahawa, tempoh masa masakan yang dipaparkan melalui aplikasi itu adalah cadangan sahaja. Jadi, pengguna harus tukarnya mengikut keperluan.
Rumusan
Fungsi kawal menggunakan aplikasi pada periuk nasi ini memang sangat membantu. Lebih-lebih lagi dengan fungsi Appointment. Saya hanya perlu siapkan bahan masakan dalam periuk, kemudian tetapkan bila saya nak ianya masak. Nampak kecil kan periuk nasi ini? Namun, jika nasi dimasak penuh di dalamnya, hasil masakan cukup untuk dihidangkan kepada 6 orang. Tapi, seorang boleh makan satu pinggan sahajalah.
Kelemahan masak nasi guna periuk ini ialah, saya perlu tunggu lama untuk nasi selesai masak. Jika guna mod Quick, masa yang paling singkat ialah 40 minit, tidak boleh dikurangkan lagi. Berbanding periuk nasi biasa, nasi boleh siap masak sekitar 20 minit sahaja.
Ini merupakan kali pertama saya guna periuk nasi pintar, jadi saya tak dapat nak bandingkan pengalaman menggunakannya dengan jenama lain. Jika anda berminat untuk dapatkan periuk nasi ini, anda boleh belinya melalui Shopee dengan harga asal RM299.