Sepanjang bulan Ramadan ini, ada tak gadget penting yang telah banyak membantu anda ketika sahur dan berbuka? Saya jumpa 5 gadget dapur yang nampak menarik dan murah di Shopee, kemudian saya cubanya untuk lihat sama ada mampu tak gadget tersebut memudahkan urusan sahur dan berbuka puasa saya. Jadi berikut saya kongsikan perincian 5 gadget ini dan berbaloi tak dapatkannya.
1. Cup Warmer
Cup Warmer ini ialah alat untuk kekalkan suhu panas air. Kalau ada air panas dalam cawan yang anda tak nak dia sejuk, anda boleh letakkannya atas coaster cup warmer. Anda perlu tahu bahawa Cup Warmer ni bukan cooktop, jadi anda tak boleh masak di atasnya. Apa yang saya fikirkan tentang gadget ini ialah, ia mampu kekalkan air yang bersuhu panas di dalam cawan, sepanjang masa sewaktu saya berbuka.
Untuk gunakannya, saya hanya perlu masukkan wayar dua pin ke dalam soket di dinding. Kemudian letakkan cawan di atas perkataan “Caution Hot”. Ketika saya gunakan Cup Warmer ini, saya ada cuba mengujinya dengan pelbagai perkara, iaitu cairkan santan kotak yang beku, kekalkan kepanasan air dalam cawan kaca dan kekalkan kepanasan air dalam bekas aluminum.
Apabila saya letakkan santan kotak yang beku di atas Cup Warmer, ia seperti tidak dapat mengesan kotak tersebut. Saya cuba pula cawan kaca berisi air kopi suam. Cup Warmer nampaknya mengesan cawan tersebut apabila lampu berwarna biru di hadapannya menyala. Saya biarkan selama 30 minit untuk lihat sama ada air kekal suam atau boleh menjadi semakin panas.
Setelah 30 minit, saya dapati air di dalam cawan kaca menjadi semakin sejuk. Saya cuba pula letakkan bekas aluminium berisi air panas. Malangnya Cup Warmer tidak dapat mengesan bekas tersebut. Maka saya dapat simpulkan yang Cup Warmer ini hanya boleh digunakan bersama cawan kaca. Tapi, ia tidak berbaloi untuk didapatkan kerana ia tidak membantu untuk mengekalkan suhu kepanasan air.
Saya dapatkan Cup Warmer ini di Shopee pada harga RM10.90. Anda boleh belinya di sana jika ingin mencuba.
2. Self Stirring Coffee Mug
Cawan ini mempunyai pemutar kecil di dalamnya. Dengan pemutar itu ia boleh bantu saya kacau air tanpa perlu gunakan sudu. Untuk pusingkannya, saya perlu tekan satu butang kecil ditempat pemegang ini.
Cawan ini perlukan 2 bateri jenis AAA untuk berfungsi. Bateri tersebut perlu diletakkan di bahagian bawah.
Saya gunakan cawan ini ketika sahur. Apabila saya kacau air menggunakan butang yang tersedia, air dapat dikacau dengan sangat baik. Sama seperti menggunakan sudu.
Tapi, saya terkejut apabila nampak ada air yang meleleh keluar pada bahagian bawah di tempat bateri. Apabila saya buka bahagian tersebut, saya dapati kesemua bateri sudah basah. Akhirnya saya perlu tukarkan air ke dalam cawan lain dan minum gunakan cawan yang baru. Kualiti cawan ini nampaknya tak terjaga, mungkin nasib saya tak baik, saya dapat cawan yang bocor. Jadi saya akan menghubungi semula penjual untuk minta tukar cawan baru atau minta wang dipulangkan.
Saya beli Self Stirring Coffee Mug ini di Shopee dengan harga RM7.86.
3. Fast Defrosting Tray
Di dalam fizik (termodinamik) dinyatakan bahawa apabila dua objek berbeza bersentuhan mereka akan cuba hasilkan suhu yang sama. Jadi, jika anda letakkan daging beku atas pan panas, daging tersebut akan bertukar panas tapi pan menjadi sejuk. Jadi sebab itulah bahan sejuk perlu dinyahbekukan sebelum masak. Maka, Fast Defrosting Tray ini mungkin boleh digunakan untuk nyahbekukan makanan.
Dulang ini jenis aluminium. Daripada iklan penjualan, dikatakan dulang ini diperbuat daripada aloi istimewa yang memiliki kekonduksian haba lebih tinggi daripada biasa. Dikatakan, dengan menggunakan dulang ini, daging yang beku akan lebih cepat cair, berbanding menggunakan cara semula jadi seperti ditinggalkan sahaja luar peti beku atau menggunakan ketuhar gelombang mikro.
Saya telah lakukan perbandingan untuk pastikan sama ada dulang ini membantu ataupun tidak. Saya keluarkan daging beku dari peti sejuk beku, kemudian letakkan separuh di atas dulang dan separuh lagi di atas plastik biasa untuk dinyahbekukan. Saya biarkanya dalam 10 minit.
Selepas 10 minit, daging di atas dulang telah nyahbeku lebih banyak berbanding daging di atas plastik biasa. Seperti gambar di bawah, sebelah kiri merupakan daging di atas dulang. Dapat dilihat, tiada lagi ais di atasnya, permukaannya juga sudah lembut. Manakala daging di sebelah kanan masih ada ais, hanya lembut di tepi tetapi di tengah masih keras.
Dulang ini memang membantu jika anda perlu nyahbekukan bahan masakan. Anda boleh juga nyahbekukan bahan lain contohnya ikan dan ayam. Jika sudah kesuntukan masa untuk masak juadah berbuka dan anda perlu gunakan bahan beku, anda bolehlah gunakan dulang ini, pasti ia akan nyahbekukan bahan tersebut dengan cepat. Selain itu, anda juga boleh jimat elektrik berbanding nyahbekukan makanan melalui ketuhar gelombang mikro.
Saya beli fast defrosting tray ini di Shopee dengan harga RM14.97. Ianya saiz L.
4. 2 in 1 Electric Food Chopper & Mixer
Seterusnya saya cuba pula 2 in 1 Electric Food Chopper & Mixer. Setiap pembelian akan disertakan dengan mesin utama, 1 batang mixer kecil, 1 batang mixer bersaiz besar, satu penyambung putih kecil, kabel USB untuk cas mesin utama, bekas 250ml dan bilah 3 lapis.
Untuk mesin utama, ada satu butang kuasa di sediakan pada bahagian atas tempat pemegang. Apabila tekan butang tersebut, mesin akan hidup dan melalui butang itu juga saya boleh laraskan mesin sehingga 3 tahap kelajuan. Atas butang kuasa pula ada satu tempat pengecas.
Seterusnya pada bahagian hadapan mesin ada satu lubang untuk sambungkannya dengan mana-mana muncung, sama ada batang mixer kecil untuk putar krim, batang mixer bersaiz besar untuk putar telur atau penyambung putih kecil untuk gunakan mesin pengisar.
Apabila mahu gunakan pengisar, saya perlu sambungkan mesin dengan muncung putih terlebih dahulu, kemudian masukkan pula muncung tadi ke atas bekas pengisar.
Sejujurnya, saya sangat suka gunakan peralatan ini, lebih-lebih lagi apabila kisar bahan tumisan. Kebiasaannya, apabila kisar menggunakan pengisar elektrik, persiapannya memakan sedikit masa kerana saya perlu pasang wayar pada suis di dinding, hidupkan suis elektrik, kemudian tekan butang kuasa pada pengisar. Tapi, dengan alat ini, cara gunakannya tak rumit. Saya hanya perlu masukkan bahan yang ingin dikisar, sambungkan mesin dengan bekas pengisar kemudian tekan butang kuasa.
Hasilnya juga memuaskan. Saya telah cuba kisar bawang pada tahap kelajuan maksimum dan saya dapati hasilnya seperti hampir sama dengan hasil menggunakan mesin pengisar elektrik. Saya juga telah putarkan 3 biji telur menggunakan mesin ini, hasilnya cepat siap tak perlu guna garpu.
Set Electric food chopper and mixer ini memang membantu saya mempercepatkan persiapan bahan masakan untuk berbuka. Contohnya, apabila suis elektrik sedang digunakan untuk masak nasi, saya tak perlu cari suis lain atau matikan suis tersebut untuk gunakan pengisar elektrik. Sebaliknya saya guna sahaja Electric food chopper ini, lebih senang sebab wayerless. Cuma bekas pengisar itu kecil, saya hanya boleh kisar sedikit bahan dalam satu masa.
Saya dapatkan Electric food chopper di Shopee pada harga RM26.20.
5. Portable Electric Lunch Box
Dengan menggunakan Portable Electric Lunch Box, saya boleh masak dua jenis makanan di dalamnya sekali gus. Ia boleh juga digunakan untuk panaskan semula makanan. Dalam Lunch Box ini ada 2 bekas aluminum untuk isi makanan ia disertakan juga satu bekas penyukat air dan satu kertas manual. Pada bahagian hadapan Lunch Box ini ada satu butang kuasa berbentuk empat segi sama.
Saya gunakanan Lunch Box untuk masak nasi putih dan telur kukus sekaligus. Cara gunakannya ialah, pertama air perlu dimasukkan di dalam Lunch Box. Sukatan air ada dinyatakan di dalam kertas manual. Berikut merupakan sukatan air yang diperlukan:
- Panaskan makanan – 50ml, masa yang diperlukan untuk panaskan makanan ialah 20-30 minit.
- Nasi kukus – 160ml, masa yang diperlukan untuk masak nasi ialah 32-36 minit
- Telur kukus – 25ml, masa yang diperlukan untuk masak telur ialah 10-15 minit
- Kastard kukus – 80ml, masa yang diperlukan untuk masak kastard ialah 10-15 minit
Air yang saya masukkan di dalam Lunch Box ini ialah 160ml. Kemudian, saya masukkan pula bekas aluminium berisi beras dan telur. Dalam bekas berisi beras, saya turut masukkan air. Sukatan airnya sama seperti masak nasi di periuk nasi. Saya tutup Lunch Box dan kemudian saya tekan butang kuasa untuk mula masak. Saya biarkannya selama 10 minit.
Selepas 10 minit, saya lihat beras sudah kembang manakala telur sudah masak sedikit di bahagian tepi. Saya biarkan lagi 20 minit. Hasilnya, nasi dimasak dengan baik sama seperti gunakan periuk nasi. Telur juga dimasak dengan baik, cuma ia terlebih masak dibahagian tepi.
Bagi saya, Lunch Box ini perlu ada satu dirumah kerana ia boleh digunakan pada waktu kecemasan. Contohnya, ketika sedang masak makanan berbuka di dapur, kemudian gas tiba-tiba habis. Maka, bolehlah gunakan Lunch Box ini untuk masak lauk atau panaskan makanan. Masak pun tidak lama, 2 juadah boleh siap serentak. Tapi, kelemahan pada Lunch Box ini ialah ia tiada timer. Jadi saya perlu set masa sendiri di telefon.
Saya belinya di Shopee pada harga RM36.50, anda boleh dapatkannya di sana.
Gadget yang paling saya suka!
Antara kelima-lima gadget ini, mana satu yang anda minat? Selepas saya cuba kesemuanya, gadget yang saya dapati berbaloi dan membantu saya untuk lakukan persiapan sahur serta berbuka hanya 3 sahaja, iaitu Fast Defrosting Tray, 2 in 1 Electric Food Chopper & Mixer dan Portable Electric Lunch Box. Anda boleh cuba semua gadget ini untuk masak dengan mudah lebih-lebih lagi pada waktu Ramadan.