Perlu hantar perabot yang besar ke Negeri lain, tapi tiada kenderaan? Anda boleh gunakan platform penghantaran barangan pukal iaitu Tumpang untuk menyelesaikannya. Perkhidmatan dalam talian ini boleh hantarkan barangan anda ke mana-mana sahaja destinasi di Semenanjung Malaysia.
Ia menyediakan perkhidmatan penghantaran berdasarkan pelbagai pilihan harga daripada pengangkutan yang berbeza. Antara pilihan pengangkutan yang tersedia ialah lori, trak, van dan kenderaan 4×4. Tumpang menyatakan bahawa perkhidmatan mereka adalah termurah di pasaran dengan kos sehingga 70% lebih rendah setakat ini.
Perkhidmatan Tumpang ini seperti Grab, tapi ia untuk syarikat penghantar barangan. Ia tiada kenderaan sendiri, jadi ia menumpang kenderaan penghantar barangan lain jika ada ruang. Contoh kenderaan penghantar barangan ialah lori dari syarikat kurier. Dari situ, anda bolehlah nikmati harga penghantaran yang rendah.
Cuma masalahnya, anda perlu tunggu syarikat penghantar mesej dahulu kekosongan kenderaan, barulah anda boleh dapatkan sebut harga caj penghantaran. Hal ini sudah tentu memakan masa. Tapi, mungkin apabila ada banyak rakan penghantar, anda boleh dapat sebut harga perkhidmatan dengan lebih cepat.
Cara guna Tumpang
Untuk gunakannya anda boleh ikut cara di bawah:
- Muat turun aplikasi Tumpang di App Store atau Play Store
- Daftar akaun anda
- Tekan Create New Enquiry di tab Enquiries
- Isi maklumat seperti lokasi ambil dan hantar barang, gambar barang serta bajet
- Tekan Submit dan tunggu sebut harga diberikan
- Dalam masa beberapa jam, anda akan terima sebut harga daripada penyedia pengangkutan
Tumpang bukan sahaja memberi manfaat kepada pelanggan, tetapi juga kepada pemilik pengangkutan kerana membenarkan menggunakan sepenuhnya ruang kargo dan memperoleh pendapatan daripada platform ini.
Tawaran diskaun
Pelancaran awal aplikasi Tumpang sebenarnya telah dilangsungkan pada Mei 2021, tapi sempena dengan pelancaran rasmi platform ini, Tumpang tawarkan diskaun caj penghantaran RM12 kepada semua pelanggan tanpa perbelanjaan minimum. Promosi ini berlangsung dari 1 Jun 2022 hingga 31 Disember 2022. Anda boleh tebusnya dengan menggunakan kod promosi ‘TUMPANGNOW’. Kod ini hanya terpakai untuk satu penebusan saja bagi setiap pengguna.
Platform dijangka akan dikembangkan ke Malaysia Timur tidak lama lagi dan sedang merancang untuk berkembang ke Singapura dan Thailand menjelang akhir tahun 2023.
Perbandingan Tumpang & Lalamove
Platform dalam talian yang saya rasakan hampir serupa dengan Tumpang ialah Lalamove. Untuk perbandingan, di Tumpang, pengguna boleh bandingkan harga perkhidmatan penghantaran daripada syarikat pengangkutan sebelum lakukan tempahan. Jadi, anda bolehlah dapatkan perkhidmatan dengan kos yang paling murah. Manakala di Lalamove, harganya satu sahaja dan tidak boleh di pilih.
Selain itu, di Tumpang juga saya berpeluang berbual dengan wakil perkhidmatan untuk bercerita lanjut mengenai barang yang ingin dikirimkan. Sementara di Lalamove, saya hanya berpeluang untuk berkomunikasi dengan pemandu selepas barang di ambil.
Setakat ini, saya tak pasti siapa yang menyediakan penghantaran dengan harga lebih murah, sebab saya belum dapat sebut harga daripada mana-mana syarikat penghantar di Tumpang selepas sekitar 30 minit menunggu. Pada masa yang sama, hanya satu sahaja syarikat pengangkutan yang berinteraksi dengan saya buat masa ini.
Jika anda berminat untuk tumpangkan barang anda di Tumpang, anda boleh muat turun aplikasinya di App Store atau Google Play Store. Untuk mengetahui maklumat lanjut mengenai platform ini, anda boleh bacanya melalui laman web rasmi yang disediakan.