Dengan adanya Internet dan perbankan mudah alih, banyak perkara kita boleh selesaikan dengan mudah pada bila-bila masa sahaja. Contohnya memindahkan wang, bayar kad kredit, bayar bil dan banyak lagi.
Tapi, walaupun ia mempunyai banyak faedah, ada juga risiko yang anda perlu berjaga-jaga, iaitu serangan dari penjenayah siber. Jika tiada kawalan keselamatan yang ketat, mereka ini boleh mencuri wang anda dengan mudah. Oleh itu, ikut tips keselamatan yang disediakan oleh Public Bank di bawah ini untuk memastikan anda dapat menikmati kemudahan perbankan Internet dengan selamat.
1. Kata laluan yang selamat
Kata laluan adalah lapisan keselamatan pertama yang perlu anda berikan sebelum dibenarkan masuk ke dalam akaun bank. Maka, wujudkan kata laluan yang tidak mudah di agak oleh orang lain. Anda perlu sediakan kata laluan yang mempunyai campuran huruf besar, huruf kecil, nombor dan simbol. Rujuk di sini untuk ketahui cara mencipta kata laluan paling selamat.
2. Kerap tukar kata laluan
Ada individu yang tidak pernah tukar kata laluan bank dalam talian mereka. Malah ada juga yang kemaskini kata laluan dengan mengguna semula kata laluan yang lama. Ini adalah amalan berbahaya. Untuk mengelakkan akaun bank anda digodam, anda dinasihatkan untuk tukar kata laluan setiap 3 bulan.
3. Jangan klik pautan mencurigakan
Jangan klik pada pautan atau buka lampiran e-mel daripada sumber yang tidak diketahui. Pautan ini biasanya akan membawa kepada laman web yang mengintip informasi peribadi anda. E-mel dari bank akan selalu berakhir dengan nama bank itu. Contohnya jika Public Bank, emel mereka akan berakhir dengan publicbank.com.my, manakala CIMB pula akan berakhir dengan @cimb.com. Selain itu, jangan akses laman web bank melalui sebarang pautan yang disediakan dalam SMS atau e-mel daripada pihak yang tidak dikenali.
4. Pastikan Personal Login Phrase (PLP) betul
Ketika log masuk ke akaun bank, anda akan dipaparkan dengan Personal Login Phrase (PLP) atau SecureWord. Pastikan ianya tepat sebelum anda log masuk. Jika ia tidak wujud atau salah, jangan teruskan urusan anda kerana laman web palsu tidak akan memaparkan perkataan keselamatan pilihan anda.
5. Pastikan ada dua faktor pengesahan
Pastikan terdapat dua faktor pengesahan bagi memastikan keselamatan akaun anda tidak terjejas. Contohnya seperti kod pengesahan transaksi (TAC) melalui SMS. Jadi, individu lain tidak boleh lakukan transaksi sewenang-wenangnya kerana nombor TAC ada pada anda.
6. Guna Internet yang selamat
Sentiasa akses akaun bank anda melalui sambungan Internet yang selamat. Jangan guna WiFi di kawasan awam untuk lakukan sebarang urusan melaluinya. Menggunakan Wi-Fi awam memang seronok, sebab percuma. Tapi kebanyakan WiFi ini tidak melindungi data yang dihantar melaluinya, jadi ia mudah dipintas oleh penggodam.
7. Guna antivirus yang dipercayai
Pastikan perisian antivirus berlesen ada dipasang pada peranti anda. Sentiasa kemaskininya atau gunakan versi terbaharu pada setiap masa, supaya ia dapat memastikan peranti anda tidak terdedah kepada virus baharu, perisian hasad dan perisian pengintip yang merbahaya. Antara antivirus yang dipercayai ialah McAfee, Kaspersky dan Norton 360.
8. Pantau akaun bank sekerap mungkin
Sentiasa patau akaun bank anda untuk memeriksa sebarang pencanggahan. Semak aktiviti transaksi pada penyata anda atau perhatikan notifikasi transaksi melalui aplikasi bank dengan kerap. Sekiranya terdapat sebarang aktiviti luar biasa, hubungi bank yang anda gunakan dengan segera.
9. Kemaskini perisian kepada versi terkini
Sentiasa ingat untuk kemaskini sistem perisian peranti. Anda boleh juga tetapkan ia dikemaskini secara automatik. Kemas kini terbaru akan disertakan dengan patches terkini yang boleh mempertingkatkan kawalan keselamatan peranti. Elak menggunakan komputer awam untuk transaksi perbankan internet, kerana komputer itu mungkin tiada perisian keselamatan terbaru.
10. Muat turun aplikasi dari gedung aplikasi rasmi
Pastikan anda muat turun aplikasi perbankan dari gedung aplikasi rasmi dan bukannya melalui pautan yang disediakan oleh pihak ketiga. Ada penjenayah siber yang mencipta aplikasi palsu untuk mengaburi mata anda seterusnya mencuri wang simpanan anda. Contoh kejadian adalah seperti yang dilalui oleh mangsa ini.
Dengan lakukan langkah di atas, anda bolehlah gunakan platform perbankan dalam talian dengan selamat tanpa ada gangguan daripada penjenayah siber. Tapi, jika masih ada perkara yang pelik berlaku pada akaun bank anda, hubungi pihak bank segera untuk mereka lakukan siasatan lanjut.
[Sumber gambar: Investopedia]