Dari tahun lepas lagi, Fatin akan guna MacBook Air dengan cip M1 untuk siapkan suntingan video. Termasuklah untuk edit video segmen Sorotan Berita Mingguan (SBM). Jadi, ada banyak cabaran yang saya perlu lalui untuk siapkan video menggunakan MacBook Air itu.
Cabaran edit video guna MacBook Air dengan cip M1
Antara cabarannya ialah, bila edit video 4K kemudian bubuh banyak effect, Mac akan lag. Kemudian, apabila saya nak render video, export, tambah background music dan tulis text untuk video, Mac akan jadi lag sangat. Lebih mencabar apabila saya terikat dengan masa untuk siapkan video itu. Solusinya, saya edit video dengan format 1080 supaya ia cepat siap.
Tapi, baru-baru ni, saya berpeluang edit video SBM dan satu video pendek berdurasi 4 minit menggunakan Premiere Pro di Mac Studio M1 Ultra bersama Studio display. Dua-dua video ni format 4K. Jadi saya nak kongsikan pengalaman dan perbandingan siapkan video menggunakannya berbanding MacBook Air M1.
Reviu & perbandingan
1. Paparan & audio
Pertama kali saya gunakan Mac Studio, memang rasa lain sebab skrinnya besar. Jadi saya lebih senang untuk susun frame atau potong klip video di timeline Premiere Pro berbanding di MacBook Air M1.
Seterusnya, untuk audio. Saya lebih suka dengar audio di Studio Display. Sebab bunyinya lebih kuat dan jelas berbanding di MacBook Air.
2. Edit video format 4K
Kebiasaannya, Macbook Air saya akan lag apabila saya edit video format 4K. Tapi, masa pertama kali saya gunakan Mac Studio & Studio display untuk siapkan video SBM dengan format 4K, saya boleh editnya dengan cepat. Tiada langsung lag walaupun saya tambah banyak effects dan text.
Tapi, semasa saya edit video kali kedua, untuk siapkan video Genting SkyWorlds berdurasi 4 minit, Premiere pro sudah mula lag. Sedangkan video ini juga adalah format 4K. Selain itu, masalah yang sama juga saya perlu hadapi ketika saya siapkan video SBM untuk episod yang seterusnya.
3. Papan kekunci
Untuk papan kekunci, di Studio Display, saya gunakan Magic Keyboard with Touch ID. Butang huruf di papan kekunci ini nipis. Tapi saya tetap selesa gunakannya, tiada masalah saya hadapi. Untuk tulis text di dalam video juga baik, tiada tersangkut-sangkut. Cuma saya lebih suka keyboard yang ada butang tebal sikit seperti di MacBook Air.
4. Tetikus
Untuk tetikus, saya sudah biasa gunakan tetikus yang ada scroll wheel. Tapi, semasa di Mac Studio, saya gunakan Magic Mouse. Pertama kali gunakannya untuk siapkan video, memang ada rasa lain sikit sebab permukaan Magic Mouse ini rata. Namun, saya masih boleh gunakannya dengan baik sebab ia tidak banyak beza dengan tetikus biasa melainkan taida ciri scroll wheel. Hal ini tidak mengganggu saya sebab saya tidak selalu gunakan fungsi scroll semasa siapkan video.
5. Trackpad
Saya sangat perlukan trackpad untuk edit video di Premiere pro. Jadi, bersama Studio Display ini saya telah gunakan Magic Trackpad. Saya suka gunakannya dan tiada masalah saya hadapi. Saya boleh navigasi anah panah di skrin dengan baik melalui Magic Trackpad ini. Perbezaan Magic Trackpad dengan trackpad di MacBook Air adalah, apabila saya tekannya, saya dapat rasa yang saya tekan sesuatu. Jika trackpad di MacBook Air, dia seperti rata sahaja. Ketika tekan, saya tidak dapat rasa sangat butang di trackpad itu.
6. Eksport video
Untuk eksport video, saya boleh eksport dan render video 4K dengan cepat di Mac Studio, walaupun video itu berdurasi lebih dari 8 minit. Lagi seronok, saya boleh buat kerja lain dahulu sementara tunggu video siap di eksport. Contohnya, edit thumbnail di Photoshop. Jika di MacBook Air, saya perlu tutup semua perisian dan biarkan Premiere pro sahaja yang buka supaya video dengan format 1080 boleh di eksport dengan cepat. Sekiranya saya buka photoshop sambil tunggu video siap di eksport, maka video itu akan lambat tersedia.
Untuk export video SBM 8 minit format 1080 di MacBook Air, ia pernah memakan masa sehingga 20 minit untuk siap. Tapi di Mac Studio & Studio Display, sekitar 3-4 minit sahaja, video dengan format 4K siap di eksport.
Spesifikasi dan harga
Untuk spesifikasi, Studio Display yang saya guna ini mempunyai paparan Retina display 5K 27-inci, resolusi 5120×2880. Kecerahan 600 nits. Ia ada enam pembesar suara stereo dan menyokong Spatial Audio. Harganya ialah RM6,999. Bagi Mac Studio, saya gunakan Mac Studio dengan cip Apple M1 Ultra bersama CPU 20-teras, GPU 64-teras, Enjin Neural 32-teras. Storan SSD 2TB beserta RAM 128GB jenis Unified Memory. Ia berharga RM25,599. Magic Mouse pula,harganya ialah RM379. Ia boleh berfungsi tanpa wayar dan boleh juga dicaj semula. Magic Keyboard with Touch ID juga wayarles dan mempunyai bateri yang boleh dicas semula, harganya ialah RM729. Untuk Magic Trackpad, harganya ialah RM569. Jumlah harga set Mac Studio yang saya guna ini adalah RM34,275.
Rumusan
Untuk naik taraf dari MacBook Air M1 kepada set Mac Studio & Studio Display semata-mata untuk buat suntingan, saya rasa tidak berbaloi. Bagi saya, prestasi peranti ini tidaklah hebat sangat, ia masih lag semasa saya siapkan suntingan video. Cuma, ia boleh eksport laju bila saya edit video format 4K. Jadi, untuk saya yang edit video SBM seminggu sekali, saya akan pilih MacBook Air sebab saya tak perlukan kuasa setinggi Mac Studio. Lagipun harganya melampau mahal.
Tapi, untuk naik taraf disebabkan audio dan paparan, ia memang saya galakkan. Paparan Studio Display ini memang lebih cerah dan audionya juga sangat kuat. Selain itu, jika anda merupakan penyunting video atau pekerjaan anda memerlukan anda edit banyak video 4K pada setiap hari, maka Mac Studio dan Studio Display ini sesuai untuk anda. Ia boleh bantu anda siapkan video dengan cepat dan menariknya anda boleh buat banyak kerja serentak dalam satu masa tanpa ada lag.