Pada bulan Mac lepas, Xiaomi telah melancarkan telefon pintar Redmi Note 11S 5G, Redmi Note 11 Pro+ 5G dan Redmi 10 5G. Tetapi hanya dua telefon mula dijual di Malaysia waktu itu, Redmi 10 5G masih belum sedia dibeli.
Kini Xiaomi Malaysia mengumumkan ketibaan Redmi 10 5G untuk pasaran Malaysia. Ia adalah telefon pintar yang lebih murah daripada dua model yang dilancarkan bersama-sama pada awal tahun ini. Tetapi kali ini, agak sukar mahu mencadangkan membeli telefon Redmi.
Harga rasmi untuk Redmi 10 5G di Malaysia adalah seperti berikut:
- Redmi 10 5G (RAM 6GB + Storan 128GB) – RM959
Bagaimanapun, telefon ini hanya terdapat di Maxis sahaja. Ia dijual bersama kontrak pelan 12-bulan atau 24-bulan dengan harga subsidi, serta menerusi program Zerolution iaitu ansuran selama 24-bulan.
Harga bersama pelan Maxis
Menerusi program Zerolution, pengguna Maxis Postpaid boleh memiliki Redmi 10 5G dari dengan ansuran serendah RM1 sahaja. Berikut adalah harga peranti bersama jenis pelan di dalam program Zerolution:
- Maxis Postpaid 188 – RM1/bulan
- Maxis Postpaid 158 – RM19/bulan
- Maxis Postpaid 128 – RM29/bulan
- Maxis Postpaid 98 – RM36/bulan
- Maxis Postpaid Share 48 – RM39/bulan
Kontrak pelan 12-bulan hanya ditawarkan untuk dua jenis pelan sahaja, dengan harga peranti berikut:
- Maxis Postpaid 128 – RM299
- Maxis Postpaid 98 – RM399
Kontrak 24-bulan pula disediakan untuk semua pelan, dengan harga berikut:
- Maxis Postpaid 188 – RM1
- Maxis Postpaid 158 – RM1
- Maxis Postpaid 128 – RM1
- Maxis Postpaid 98 – RM149
Spesifikasi Redmi 10 5G
Sekali lagi, ini adalah satu lagi telefon yang dilihat hanya disalin kulit oleh Xiaomi. Sebab, ia sangat mirip dengan telefon pintar Poco M3 Pro 5G dan Redmi Note 10 5G yang dilancar tahun lepas.
Persamaan utamanya adalah penggunaan cip 5G termurah Mediatek iaitu Dimensity 700. Di Redmi 10 5G, kuasa ini dipadankan dengan RAM LPDDR4x sehingga 6GB dan storan dalaman UFS2.2 sehingga 128GB. Kad mikroSD sedia diterima, sehingga 512GB.
Skrinnya mungkin sedikit berbeza dari segi saiz. Ia berukuran 6.58-inci tetapi persamaan adalah jenisnya LCD HD Penuh dan ada kadar penyegaran dinamik 90Hz. Di samping itu, ada kaca Corning Gorilla Glass 3 di atas skrin. Sudah pasti, tiada pengimbas capjari di dalam skrin sebaliknya terletak di sisi telefon.
Kuasa pengecas dan kapasiti bateri juga sama. Ia ada bateri 5,000mAh dan sokongan pengecasan pantas 18W melalui USB-C. Kepala pengecas berkuasa 22.5W dan kabel USB-C disertakan di dalam kotak, tawaran yang sama disediakan pada Poco M3 Pro 5G dan Redmi Note 10 5G.
Jika mahu dikatakan perbezaan, ia adalah pada rekaan badan dan spesifikasi kamera. Redmi 10 5G menggunakan rekaan badan yang rata di sisi, dipopularkan kembali oleh iPhone 12 tahun lepas. Pilihan warna badan ada tiga, antara Hijau, Kelabu dan Perak. Tetapi di Maxis, hanya dua warna ditawarkan iaitu Hijau dan Kelabu.
Kamera belakang pula ada dua sahaja, bukan tiga tetapi dilihat lebih baik. Dua kamera itu adalah kamera utama 50MP F1.8 dan kamera potret 2MP F2.4. Kamera hadapannya cuma 5MP F2.2, terletak di dalam takuk kecil di dahi skrin.
Satu perkara yang boleh dikatakan kelebihan pada Redmi 10 5G berbanding Poco M3 Pro 5G dan Redmi Note 10 5G adalah sistem operasi (OS). Ini kerana Redmi 10 5G datang bersama OS MIUI 13 yang lebih baharu, berasaskan Android 12. Bagi sistem bunyi, Redmi 10 5G hanya ada speaker mono tetapi masih terdapat jek audio 3.5mm. Cuma, pemancar infra merah seperti sudah tiada padanya.
Tambah RM40 untuk telefon Redmi lebih baik
Sukar untuk saya mencadangkan membeli Redmi 10 5G dengan harga rasmi RM959 ataupun dengan tawaran bersama pelan Maxis. Walaupun untuk pelan Maxis Share 48, membayar RM39 selama 24-bulan menjadikan jumlah harga RM936.
Sebenarnya, Xiaomi sendiri ada pilihan yang lebih baik iaitu Redmi Note 11S 5G. Telefon ini berharga RM999, RM40 lebih mahal daripada Redmi 10 5G tetapi memiliki spesifikasi lebih baik dan berbaloi. Ia dikuasakan cip Mediatek Dimensity 810 yang lebih hebat, RAM 8GB yang lebih besar, kamera ultralebar di belakang, pengecas 33W lebih berkuasa, pemancar inframerah, serta speaker stereo.
Hanya tambah RM40 dan terima semua naik taraf ini? Memang sangat berbaloi. Jelas, Redmi Note 11S 5G adalah telefon 5G Xiaomi terbaik di bawah RM1,000. Kenapa Xiaomi masih mahu menjual Redmi 10 5G ini sukar dijelaskan. Ia mungkin untuk membantu Maxis menyediakan peranti 5G yang kelihatan mampu milik, walaupun masih mahal.
Apa pun, tepuk dada tanya kemampuan poket anda.