Berita mengenai scam kerap kali disiarkan. Walaupun banyak amaran dan langkah keselamatan dicadangkan oleh pihak bank serta agensi lain untuk menghentikan hal ini, namun masih ada yang menjadi mangsa lalu kehilangan ribuan ringgit. Mungkin mangsa sudah cuba sebaiknya untuk halang diri dari terjerat, namun scammer tetap berjaya mencuri wang mangsa dengan pelbagai taktik baru.
Isu ini pastinya membimbangkan ramai orang, lebih-lebih lagi apabila tiada tindakan yang memuaskan hati diambil oleh pihak bank. Jadi sebenarnya, selain dari individu yang perlu ambil langkah berjaga-jaga, apa sebenarnya yang harus dilakukan pihak kerajaan dan juga bank untuk tangani isu ini?
7 cadangan, tindakan yang perlu dilakukan untuk basmi Scammer
Fahmi Fadzil iaitu Ketua Penerangan KEADILAN serta Pengarah Komunikasi Pakatan Harapan dan Ahli Parlimen Lembah Pantai, ada mencadangkan 7 tindakan segera yang perlu diambil pihak berkuasa bagi membantu mangsa, memperkemas sistem dan mengelak lebih ramai dari menjadi mangsa scammer. Berikut merupakan cadangannya:
1. Wujudkan pusat sehenti bantuan untuk mangsa
Setakat ini, orang ramai mempunyai pusat panggilan setempat CCID Scam Response Center untuk buat pertanyaan dan aduan berkaitan jenayah penipuan Macau Scam. Tapi, mereka ini hanya berfungsi sebagai penerima maklumat pertama kejadian penipuan serta bantu dapatkan pengesahan sama ada panggilan yang diterima benar-benar daripada jabatan kerajaan atau daripada kegiatan scam.
Maka, dicadangkan untuk wujudkan pusat sehenti bantuan mangsa scammer yg melibatkan agensi-agensi berkaitan termasuk SKMM, PDRM, BNM, ABM, AIBIM, Jabatan Peguam Negara dan lain-lain. Sekurang-kurangnya di tiga lokasi iaitu di Kuala Lumpur, Kota Kinabalu dan Kuching. Serta satu pusat koordinasi anti-scammer pelbagai agensi berpangkalan secara fizikal di Bank Negara Malaysia. Bank sering dilihat sukar memberi kerjasama mendapatkan maklumat jika berlaku penipuan, walaupun dengan laporan polis. Dengan wujudnya bahagian ini, mangsa pasti akan lebih senang lakukan aduan dan mudah untuk ikuti perkembangan kes masing-masing.
2. Ganti SMS TAC dengan sistem lebih ketat
Ubah sistem pengesahan perbankan dalam talian dari SMS TAC kepada sistem yang lebih selamat dan tepat identiti. Contohnya pengesahan berdasarkan hanya peranti-peranti yang didaftar pemilik akaun dengan bank. Selain itu, mengarah bank atau institusi kewangan untuk melakukan pengesahan secara panggilan bagi transaksi yang melibatkan jumlah besar dan/atau berulang serta transaksi diluar kebiasaan aktiviti akaun bank tersebut. Pengesahan secara panggilan sering dibuat untuk transaksi kad kredit dan cek, mengapa tidak digunakan sistem keselamatan yang sama untuk perbankan atas talian?
Dengan langkah ini, tentu aktiviti pengeluaran wang akan jadi lebih terkawal dan selamat. Pasti juga, tiada lagi masalah wang simpanan hilang secara tiba-tiba tanpa menerima nombor TAC.
3. Wujudkan mekanisme pampasan kepada mangsa
Di samping itu, wujudkan satu mekanisme pampasan seperti Dana Pemulihan (Recovery Fund) yang sedang diusahakan Monetary Authority of Singapore, agar mangsa scammer yang disahkan akan dapat bantuan pampasan sebaik mungkin. Selain itu, pinda akta-akta berkaitan contohnya Akta Perbadanan Insurans Deposit Malaysia (Akta 642) supaya PIDM dapat menjamin atau menyediakan insuran dan pampasan bagi simpanan yang terkesan dengan jenayah scammer.
4. Hebahan mengenai scam melalui panggilan telefon
Mungkin ada dalam kalangan masyarakat yang tidak peka dengan taktik scam dan tidak tahu mengenai kegiatan penipuan dalam talian. Maka, semua syarikat telekomunikasi melalui SKMM perlu diarahkan untuk membuat hebahan khidmat awam melalui panggilan telefon mirip skrip dan dialog scammer, dengan amaran untuk tidak mengendahkan panggilan scammer seperti itu. Ini pastinya akan bantu individu menjadi lebih peka dan boleh elakkan diri dari terperdaya dengan panggilan seperti itu.
5. Wajibkan bank dan syarikat e-wallet nyatakan kes scam melibatkan pengguna mereka
Takut keselamatan tidak ketat pada bank atau e-wallet yang anda gunakan? Maka, dicadangkan untuk mewajibkan bank serta mana-mana institusi kewangan yang terbabit dengan transaksi kewangan dalam talian, contohnya e-wallet untuk terbitkan di dalam laporan tahunan masing-masing jumlah kes scam serta jumlah yang dicuri berdasarkan laporan polis. Ini supaya pemegang saham dan orang ramai tahu keadaan sebenar bagi setiap bank atau e-wallet dan dapat membuat keputusan yang bijak berkaitan simpanan mereka.
6. Bincang dengan platform media sosial untuk ambil tindakan pada scammer
Mengadakan perbincangan segera dengan pengusaha platform media sosial yang paling kerap disalahguna oleh scammer untuk aktiviti jenayah. Ini bagi mengambil langkah pantas untuk menghalang platform-platform tersebut dari terus disalahguna untuk aktiviti scammer. Contohnya, seperti scammer menggunakan Facebook untuk iklankan penipuan mereka.
7. Tahan dan dakwa semua yang terlibat dengan kegiatan scam
Segera mengenalpasti, tahan dan dakwa di mahkamah mereka yang terlibat membuat panggilan penipuan, menempatkan atau melindungi penjenayah, serta merancang aktiviti scammer. Ia termasuklah dengan mendapatkan kerjasama ASEAN dan Interpol bagi menahan dan mengekstradisi penjenayah-penjenayah sekiranya pusat-pusat panggilan atau aktiviti jenayah scammer tersebut berpangkalan di luar negara.
Semua cadangan ini sangat berguna untuk atasi masalah scam di Negara ini. Selagi tiada undang-undang dan tindakan yang tegas dilakukan, selagi itulah penjenayah giat mencari mangsa. Tapi, anda rasa pihak yang terlibat akan guna tak cadangan ini?
[Sumber: Fahmi Fadzil]
[Sumber gambar: Malaysiakini]