[Artikel ini adalah sebuah pesanan khidmat masyarakat dibawakan oleh CIMB]
Isu scam semakin membimbangkan orang ramai berikutan banyak kes yang dikongsikan di media sosial dan halaman berita, hampir setiap minggu. Ada yang jadi mangsa melalui panggilan telefon, ada juga yang ditipu melalui taktik pautan palsu.
Sudah tentu ada dalam kalangan masyarakat yang bimbang jika mereka menjadi mangsa yang seterusnya, lalu kehilangan sejumlah besar wang simpanan. Oleh itu, berikut merupakan perkara yang perlu anda tahu mengenai penipuan dalam talian dan cara untuk elak dari menjadi mangsa.
Elak dari menjadi mangsa, lindungi maklumat peribadi
Untuk elak daripada menjadi mangsa scam, jangan kongsi maklumat peribadi anda pada orang lain. Ia termasuklah maklumat sensitif seperti nombor kad pengenalan, nombor PIN, kata laluan dan nombor TAC. Ingat, jangan tulis nombor PIN anda di tempat yang mudah diakses orang lain. Secara tidak sengaja, maklumat seperti ini akan membuatkan anda memberi akses akaun bank anda kepada penjenayah siber.
Janganlah menganggap nama organisasi yang anda lihat atau dengar adalah yang betul. Semak dahulu, sebelum berurusan.
Kemudian, sentiasa semak laman web dan pautan rasmi yang anda layari. Elakkan klik pada pautan atau buka lampiran e-mel daripada sumber yang tidak diketahui dengan kandungan yang menggunakan ejaan atau tatabahasa yang salah. Untuk lebih selamat, pastikan peranti mudah alih anda sentiasa dikemas kini dengan sistem operasi terkini.
Bagaimana untuk kenal pasti scammer?
Ada banyak cara suspek mendekati mangsa. Antaranya adalah melalui panggilan telefon. Suspek akan hubungi anda dan menyamar sebagai individu daripada organisasi yang anda kenali. Mereka akan cuba memperdaya anda dengan masalah ataupun hadiah. Contohnya, ada pegawai hubungi anda lalu mendakwa bahawa anda perlu membayar penalti. Mereka juga akan paksa anda bertindak segera untuk membayar wang dalam cara tertentu. Yang penting, anda jangan panik dan putuskan panggilan itu.
Selain itu, ada juga yang menggunakan platform email untuk menakutkan mangsa. Contohnya, mereka menyamar menjadi pihak bank dan menyatakan bahawa akaun bank anda dibekukan. Anda kemudian diminta untuk klik pada pautan yang disediakan untuk mengaktifkan semula akaun anda. Ini merupakan teknik phishing. Ia dilakukan untuk mencuri maklumat peribadi kewangan anda. Maka anda jangan panik dan periksa sama ada alamat email itu sah atau palsu. Sebaiknya, abaikan sahaja jika menerima email yang mencurigakan.
Penipuan melalui SMS juga kian meningkat dengan nombor-nombor yang menyamar sebagai pihak berkuasa atau institusi bank yang meminta anda untuk mengakses pautan untuk langkah seterusnya. Ingat, jangan sesekali menekan pautan tanpa membuat sebarang semakan. Hubungi organisasi berkenaan melalui talian rasmi untuk pengesahan.
Bukan itu sahaja, baru-baru ini juga ada yang menerima mesej scam melalui iMessage berkaitan pekerjaan mudah yang menawarkan komisyen besar di Tiktok. Jika anda ada terimanya, jangan balas dan abaikan. Ini merupakan cubaan suspek untuk perdaya anda sekaligus cuba mendapatkan sejumlah wang yang besar dari anda.
Apa perlu buat jika terjadi mangsa scam?
Jika anda sedar bahawa anda telah jadi mangsa scam, sila laporkannya pada bank secepat mungkin tentang kejadian itu. Minta bank nyahaktifkan atau bekukan kad anda untuk sementara waktu, sehinggalah anda dapat butiran kad atau log masuk baharu.
Scammer kini sangat sofistikated dan terlatih dalam memperdayakan mangsa. Pastikan anda sentiasa peka dengan taktik scam dan berhati-hati apabila berurusan dengan individu atau mesej yang mencurigakan.