Di pentas antarabangsa, Xiaomi telah melancarkan telefon pintar flagship mampu milik terbaru mereka, siri Xiaomi 12T. Ia menampilkan beberapa naik taraf besar berbanding model terdahulu, dari segi prestasi serta pengimejan.
Terdapat dua model diperkenal dalam siri ini iaitu Xiaomi 12T dan Xiaomi 12T Pro. Kedua-dua peranti menggunakan rekaan badan yang serupa, tetapi berbeza cip pemproses dan lensa kamera.
Spesifikasi Xiaomi 12T Pro
Versi lebih berkuasa ini menggunakan cip terbaik masakini, Snapdragon 8+ Gen 1 4nm. Prestasi ini dipertingkat lagi dengan padanan RAM LPDDR5 sehingga 12GB dan storan UFS 3.1 sehingga 256GB. Kaca Corning Gorilla Glass 5 dipasang di hadapan, manakala di belakang menggunakan kaca anti silau.
Xiaomi melengkapi telefon ini dengan paparan CrystalRes AMOLED DotDisplay. Ia dikatakan mampu menghasilkan gambar lebih tajam dan jelas. Skrin ini berukuran 6.67-inci, beresolusi tinggi sedikit dari HD Penuh (2712×1220), serta kadar penyegaran adaptif dari 30Hz sehingga 120Hz. Kini pengimbas capjari dipasang ke dalam skrin, tidak lagi di butang kuasa.
Bagaimanapun, kecerahan skrin ini dilihat lebih rendah daripada kebanyakan flagship lain. Hanya sehingga 500 nits kecerahan biasa dan 900 nits kecerahan maksima. Selain itu, ia turut menyokong Dolby Vision dan HDR10+ untuk warna paparan yang lebih bertenaga.
Perkara paling menarik untuk diperkatakan di Xiaomi 12T Pro adalah kamera. Ia dilengkapi kamera utama 200MP F1.69, antara pertama di telefon pintar. Kamera ini menggunakan sensor Samsung ISOCELL HP1 bersaiz 1/1.22-inci. Ia juga menyokong penstabil imej optikal OIS, serta berupaya menggabungkan piksel berdekatan sehingga 16-dalam-1 kepada piksel bersaiz 2.56-mikron. Xiaomi juga memperkenal teknologi pengimejan Xiaomi ProCut dan Xiaomi ProFocus.
Dua lagi kamera di belakang adalah kamera ultra lebar 8MP F2.2 dan kamera makro 2MP F2.4. Masih tiada kamera telefoto. Kamera hadapannya pula 20MP F2.24, diletakkan di dalam lubang kecil di dahi skrin.
Sistem bunyi pula diuruskan oleh dua pembesar suara stereo dan ditala oleh Harman Kardon. Ia juga menyokong sistem bunyi Dolby Atmos. Seperti biasa, jek audio tiada di telefon ini.
Sumber tenaga masih tidak berubah. Xiaomi 12T Pro dipasang bateri 5,000mAh di dalamnya dan menyokong pengecasan pantas 120W, mampu mengecas penuh dalam 19 minit sahaja. Masih belum dinaik taraf ke 200W. Nasib baik, kepala pengecas 120W dan kabelnya masih diberikan di dalam kotak.
Xiaomi 12T Pro disediakan dalam tiga pilihan warna iaitu hitam, perak dan biru. Sistem operasi MIUI 13 digunakan, berasaskan Android 12.
Spesifikasi Xiaomi 12T
Perbezaan pertama pada lebih rendah, Xiaomi 12T adalah kuasa pemprosesnya. Ia menggunakan cip Mediatek Dimensity 8100-Ultra 5nm, cip terbaik keluaran Mediatek. Padanan yang serupa diberikan iaitu RAM LPDDR5 sebanyak 8GB dan storan UFS 3.1 sehingga 256GB.
Skrin ada sedikit berbeza, masih dilengkapi paparan CrystalRes AMOLED DotDisplay berukuran 6.67-inci, resolusi 2712×1220 dan kadar penyegaran adaptif 30Hz sehingga 120Hz. Tahap kecerahan juga serupa, 500 nits biasa dan 900 nits maksima.
Tetapi tiada sokongan Dolby Vision di skrin Xiaomi 12T, hanya ada HDR10+. Pengimbas capjari juga terdapat di dalam skrin.
Seterusnya, Xiaomi 12T hanya menggunakan kamera 108MP F1.7 sebagai kamera utama. Kamera ini menggunakan sensor Samsung ISOCELL HM6 dengan saiz sensor 1/1.67-inci, dan ada OIS. Tiada teknologi Xiaomi ProCut dan Xiaomi ProFocus di kamera ini.
Kamera yang lain adalah serupa iaitu kamera ultra lebar 8MP F2.2 dan kamera makro 2MP F2.4 di belakang, serta kamerea 20MP di dalam lubang kecil skrin di hadapan.
Sistem bunyi stereo dua pembesar suara juga ada di Xiaomi 12T, menyokong Dolby Atmos tetapi tiada label Harman Kardon padanya.
Bateri 5,000mAh yang serupa terdapat di dalam, menyokong pengecasan pantas 120W yang serupa. Kepala pengecas dan kabel ada diberi di dalam kotak.
Pilihan warna di Xiaomi 12T juga tidak berubah iaitu hitam, perak dan biru. Sistem operasi MIUI 13 digunakan, berasaskan Android 12.
Harga lebih mahal
Sebelum ini dikenali sebagai peranti falgship lebih mampu milik, siri Xiaomi 12T nampak sudah melepas paras itu. Ini kerana Xiaomi mengumumkan harga rasmi Xiaomi 12T di Eropah bermula dari EUR749 untuk varian RAM 8GB dan storan 128GB. Manakala model Xiaomi 12T bermula dari EUR599 untuk RAM 8GB dan storan 128GB.
Harga ini lebih tinggi jika dibandingkan dengan siri Xiaomi 11T ketika dilancarkan setahun yang lalu, iaitu dari EUR649 bagi versi Pro dan dari EUR499 untuk bukan Pro. Dengan kenaikan EUR100 (~RM461) untuk setiap model, pastinya kenaikan harga yang serupa dikenakan di Malaysia.