Singapura bukan sahaja terkenal sebagai pusat perdagangan dunia, tetapi ia juga memiliki lapangan terbang terbaik di dunia. Baru-baru ini, Singapura telah membuka semula Terminal 4 Changi, selepas ditutup selama 2 tahun akibat pandemik.
Pembukaan terminal itu dimeriahkan lagi dengan acara penerbangan pertama oleh AirAsia. Kami turut dijemput oleh AirAsia untuk sama-sama melihat operasi mereka di Singapura, yang akan dijalankan sepenuhnya di Terminal 4 Changi selepas ini.
Apa yang menarik tentang Terminal 4 ini adalah ia boleh beroperasi sendiri sepenuhnya. Lapangan terbang ini direka supaya kurang interaksi bersama kakitangan dan penumpang boleh melakukan semua perkara sendiri. Benar, penumpang tak perlu berurusan dengan pegawai dari pintu masuk terminal sehingga pintu masuk pesawat, jika tidak berhadapan sebarang masalah.
Rekaan luas dan damai
Terminal 4 Changi telah memulakan operasi pertamanya pada 31 Oktober 2017, bagi menggantikan terminal tambang murah lama yang menguruskan beberapa penerbangan tambah murah termasuk penyedia perkhdimatan pesawat turbo kipas seperti Firefly Airlines. Walaupun keluasan Terminal 4 ini hanya sepertiga daripada Terminal 3, ia mampu mengendalikan 16 juta penumpang setahun, jumlah yang sama dengan dua pertiga jumlah yang mampu diuruskan Terminal 3.
Terminal 4 direka supaya memberi keselesaan kepada orang ramai. Untuk itu, ia menggunakan siling yang sangat tinggi dan tingkap kaca yang besar. Ia ditambah lagi dengan penggunaan warna yang redup dan sejuk di mata.
Untuk memberikan citarasa tempatan, Terminal 4 dihiasi dengan pelbagai rekaan bunga orkid iaitu bunga kebangsaan Singapura. Bentuk segitiga ibarat bunga orkid digunakan sebagai lampu di siling, tong sampah, permaidani lantai, dinding serta hiasan kinetik di langit terminal.
Orang kelainan upaya (OKU) boleh menggunakan Terminal 4 dengan mudah. Dari pintu masuk, ruang jalan kereta dan pejalan kaki dibina sama tinggi dan tiada pemisah supaya senang kerusi roda bergerak. Ini ditambah lagi dengan daftar masuk bagasi yang turut diletak sama paras dengan lantai, agar penumpang tidak perlu mengangkat bagasi yang berat ke atas tali sawat.
Di Terminal 4, ia tidak menyediakan keretapi untuk berpindah ke terminal lain. Tetapi ada bas perantara disediakan. Bas ini tiba setiap 6 minit ke Terminal 3, dan setiap 9 minit ke Terminal 1, yang turut menempatkan air terjun Jewel Changi. Di masa luar puncak, frekuensi ketibaan bas akan lebih lama sekitar 8 ke 31 minit.
Daftar masuk diri automasi
Perkara ini sebenarnya telah diguna pakai hampir kesemua syarikat penerbangan masakini, terutama sekali di AirAsia. Terminal 4 menyediakan mesin daftar masuk layan diri untuk penumpang mendaftar masuk serta mencetak pas masuk penerbangan.
Penumpang boleh menggunakan pasport atau nombor kod tempahan untuk mencetak pas. Di samping itu, tag daftar masuk bagasi juga boleh dicetak di mesin yang sama. Jika ada masalah, ada pegawai yang sedia membantu. Penumpang juga boleh pergi ke kaunter untuk bertanya sebarang persoalan jika perlu.
Daftar masuk bagasi automasi
Selepas mencetak tag bagasi, penumpang boleh mendaftar masuk bagasi sendiri. Tag ini perlu dilekat di pemegang kemudian dibawa ke kaunter daftar masuk bagasi.
Di sini, penumpang perlu mengimbas pas penerbangan dan pasport. Kemudian, letakkan bagasi di tali sawat. Mesin ini akan mengimbas bagasi dan tag menggunakan kamera 3D. Selepas tag dan pas penerbangan disahkan, tali sawat akan bergerak membawa bagasi menuju ke pesawat.
Semasa mencuba daftar masuk bagasi automasi, rakan saya Alex berhadapan masalah kerana sistem menyatakan nama di pasport tidak serupa dengan pas penerbangan. Ia mungkin akibat tempahan berkumpulan, kerana semasa daftar masuk dan mencetak pas bagasi, ia tidak mengesahkan nama penumpang yang mana untuk tag.
Kami bernasib baik kerana ada pegawai yang sentiasa bersedia berdekatan untuk membantu. Selepas mengesahkan identiti penumpang dan bagasi, pegawai tersebut mengoperasikan mesin tersebut agar menerima bagasi yang diletakkan untuk daftar masuk.
Semakan imigresen automasi
Perkara paling mengujakan dan menarik saya lihat di Terminal 4 ini adalah pemeriksaan imigresen. Ini kerana Singapura telah beralih kepada sistem imigresen digital.
Semasa tiba di Singapura dari Kuala Lumpur, saya masih perlu beratur di kaunter imigresen untuk pemeriksaan manual oleh pegawai imigresen. Bagaimanapun, selain semakan pasport, pengesahan biometrik turut diambil ketika ini iaitu imbasan muka dan capjari. Di sini, pasport tidak lagi dicop kemasukan kerana ia disimpan di dalam sistem digital.
Dengan adanya sistem digital imigresen, proses daftar masuk untuk penerbangan keluar Singapura menjadi lebih mudah dan pantas. Ini kerana semua penumpang tidak lagi perlu beratur di kaunter imigresen, sebaliknya menggunakan mesin masuk layan diri. Hanya letak pasport dan mesin akan mengimbas muka penumpang. Jika bertepatan dan tiada masalah, halangan akan dibuka dan penumpang sudah menerima cop keluar digital.
Sistem imigresen layan diri ini sebenarnya serupa dengan penumpang warganegara Malaysia di KLIA dan KLIA2. Rakyat Malaysia tidak perlu ke kaunter, sebaliknya hanya gunakan mesin layan diri dengan mengimbas pasport dan wajah. Tetapi Singapura mengambil selangkah tapak ke hadapan dengan menggunakannya untuk semua penumpang termasuk bukan warganegara.
Seperti biasa, ada kaunter bersama pegawai disediakan untuk semakan imigresen manual. Warganegara Singapura berusia 6 tahun dan ke bawah juga tidak dibenarkan berurusan di mesin layan diri, jadi perlu bertemu dengan pegawai imigresen di kaunter.
Semakan keselamatan automasi
Selepas selesai urusan imigresen, penumpang akan tiba di ruangan pemeriksaan keselamatan. Di sini, beg dan semua barangan di dalam poket harus dikeluarkan untuk diimbas di mesin bergerak. Tali pinggang, jam tangan serta sebarang barangan besi, termasuk kasut but perlu dibuka dan diimbas di mesin pengimbas. Bagusnya, laptop tidak perlu dikeluarkan dari beg. Tidak seperti lapangan terbang lain termasuk KLIA, yang perlukan laptop dikeluarkan.
Bagi penumpang, imbasan badan akan dibuat menggunakan mesin X-ray. Di sini, penumpang sebenarnya tidak perlu berurusan dengan pegawai, jika tiada masalah dengan barangan yang dibawa. Letak bagasi dan kosongkan poket, berlalu pergi di mesin X-ray dan ambil semula bagasi.
Antara perkara yang sering penumpang terlupa adalah cecair, terutama sekali air mineral. Jika dikesan dalam beg, penumpang perlu keluarkan dan memilih untuk membuang terus atau meminumnya. Selain itu, barangan tajam seperti pisau kecil dan pemutar skru, sering tidak dibenarkan dibawa ke dalam pesawat.
Pintu penerbangan automasi
Sesudah dipastikan selamat oleh mesin pengimbas dan mesin X-ray, penumpang boleh eprgi menunggu di pintu penerbangan. Semua pesawat perlu menggunakan jambatan atau aerobridge, jadi penumpang tidak perlu risau berjalan kaki jauh ke pesawat atau perlu menaiki bas.
Jarak ke pintu pesawat juga tidak terlalu jauh. Dimaklumkan, penumpang hanya perlu berjalan sekitar 7-11 minit untuk ke pintu terhujung. Ini jauh berbeza dengan KLIA2 di mana pintu tengah pun sudah terasa sangat jauh, apatah lagi pintu hujung. Ada yang mengambil masa 30 minit untuk sampai ke pintu penerbangan KLIA2.
Dekatnya pintu masuk ke pesawat di Terminal 4 Changi dapat dilihat dari pintu masuk terminal sendiri. Jika anda turun dari kenderaan seperti bas dan kereta di pintu masuk Terminal 4, anda boleh melihat terus pesawat parkir di hujung bangunan terminal. Bermakna, urusan daftar masuk diri, cetak pas dan tag, daftar masuk imigresen, pemeriksaan keselamatan dan pintu penerbangan tidak jauh, semuanya dalam jangkauan pandangan penumpang.
Apabila tiba masanya penumpang dibenarkan masuk ke pesawat, urusan layan diri sekali lagi perlu dibuat. Sama seperti urusan imigresen tadi, penumpang hanya perlu mengimbas pas penerbangan dan wajah. Jika tiada masalah, halangan dibuka dan boleh berjalan masuk ke pesawat.
Semua lapangan terbang harus sebegini
Terminal 4 Changi adalah contoh bagaimana lapangan terbang harus beroperasi. Dengan automasi sepenuhnya, ia boleh mengurangkan banyak kos pengurusan, di samping menjimatkan banyak masa dan tenaga. Ini perkara yang ditekankan oleh Tony Fernandes
semasa majlis AirAsia di Terminal 4 Changi yang lepas, lapangan terbang yang efisyen dan murah.
Walaupun begitu, ia tidak mengabaikan aspek kemanusiaan dengan menyediakan pegawai bantuan yang mudah didekati. Lebih penting lagi, ia mesra pengguna dengan rekaan yang luas, damai dan tidak terlalu jauh untuk berjalan.
Mungkin sudah terlambat untuk Malaysia menggunakan sistem serupa ini di KLIA dan KLIA2, tetapi banyak aspek lain yang boleh dipelajari dan diperbaiki. Malah, ia harus dijadikan inspirasi jika ada pembinaan baru atau mahu membuat pengubahsuaian kelak.
Singapura kini merancang untuk membina Terminal 5 Changi, sebuah terminal yang jauh lebih besar, dikatakan lebih besar daripada semua Terminal 1, 2, 3 dan 4 digabungkan. Terminal 5 akan mampu mengendalikan sekitar 50 juta penumpang setahun dan akan mula dibuka dan beroperasi sekitar tahun 2030.
Anda boleh menyaksikan pengalaman saya berada di Terminal 4 Changi sewaktu acara AirAsia, menerusi video di bawah ini: