Ada pengalaman akaun media sosial di godam? Jika ada, hal ini tentunya timbulkan rasa kecewa, lebih-lebih lagi apabila akaun tersebut kita sudah gunakan terlalu lama. Sekiranya anda tidak sedar mengenai hal ini, berikut merupakan antara tanda akaun media sosial anda sudah diambil alih orang lain:
- Gambar atau video yang tidak pernah anda rakam muncul sebagai perkongsian di Facebook, Instagram atau TikTok anda
- Rakan terima mesej palsu daripada anda di Facebook atau Twitter
- Peranti yang bukan milik anda dilog masuk menggunakan ID Apple/Google anda
- E-mel sah daripada media sosial mengatakan bahawa alamat e-mel anda telah ditukar
Jika perkara seperti ini berlaku, perkara pertama yang dinasihatkan syarikat teknologi untuk anda lakukan ialah log masuk dan tukar kata laluan. Jika kata laluan anda tidak lagi berfungsi, maka anda perlu ambil langkah lain untuk pulihkan akaun tersebut. Oleh itu, berikut merupakan cara untuk dilakukan mengikut platform masing-masing:
1. Apple ID
Apple ID ialah kunci kepada banyak maklumat peribadi. Ia termasuklah pembelian dan langganan dalam talian. Namun, jika anda gunakan iCloud secara meluas, penggodam mungkin dapat mengakses kenalan, kalendar, gambar, nota dan juga lokasi GPS anda. Jika hal ini berlaku atau untuk mengelaknya, anda perlu tukar kata laluan Apple ID anda kepada yang lebih selamat.
Untuk tukarnya melalui laman web, anda perlu lawati halaman Apple ID dan klik Log Masuk. Jika laman web ini tidak menerima Apple ID anda, maka anda perlu guna peranti Apple lain yang anda miliki, seperti Mac, iPhone atau iPad. Pada bahagian Sign-In and Security, pilih Password kemudian tukar kata laluan anda.
Menerusi Mac pula:
- Klik menu Apple pada bahagian atas di kiri skrin
- Klik System Preferences
- Pilih Apple ID
- Klik Password & Security, kemudian klik Change Password
Untuk di iPhone atau iPad:
- Pergi ke tetapan
- Tekan nama anda
- Kemudian klik Password & Security dan Change Password
Jika cara ini tidak berjaya, anda boleh hubungi Apple untuk dapatkan nasihat. Lihat halaman sokongan ini untuk maklumat lanjut.
2. Facebook
Akaun Facebook digodam? Ini cara untuk dapatkannya semula:
- Pergi ke laman web facebook.com/hacked
- Klik “My Account Is Compromised.”
- Pada halaman seterusnya, masukkan email atau nombor telefon anda
- Kemudian, anda akan diminta untuk log masuk menggunakan kata laluan terkini atau yang lama. Jadi, walaupun penggodam telah tukar kata laluan anda, kata laluan lama sepatutnya masih boleh membenarkan anda masuk dan mengawal semula akaun anda.
Jika atas sebab tertentu Facebook masih tidak menerima kata laluan yang anda masukkan, anda boleh hantar e-mel ke salah satu alamat yang ada dalam simpanan Facebook. Jika tidak berjaya, klik pada “No longer have access to these?”. Facebook kemudian akan periksa perkara lain untuk kenal pasti anda. Contohnya dengan periksa sama ada anda log masuk dari peranti atau lokasi yang pernah anda gunakan sebelum ini.
Jika gagal juga, anda akan diminta untuk memuat naik mana-mana daripada 13 jenis ID, ini termasuklah pasport, lesen memandu, sijil perkahwinan dan kad pengenalan anda. Facebook akan hantar e-mel kepada anda dengan arahan untuk meneruskannya.
Jika masih gagal, Facebook ada mengatakan bahawa ia sedang membina sokongan yang lebih baik tapi tidak mengatakan jika itu akan termasuk bantuan daripada manusia. Maka, anda boleh cipta akaun yang baru sementara menunggu bantuan lain dibangunkan Facebook.
3. Google
Hilang akses pada akaun Google boleh mengakibatkan masalah yang sangat besar, sebab ia boleh halang anda daripada membuka Gmail, YouTube, Google Drive dan perkhidmatan lain. Jika anda rasa, akaun Google anda telah digodam, cuba log masuk akaun Google anda untuk kemaskini kata laluan. Jika halaman itu tidak terima email atau kata laluan anda, pergi ke halaman pemulihan akaun Google dan klik pada Forgot email. Anda akan diminta untuk masukkan e-mel yang ingin anda pulihkan dan kata laluan terakhir yang anda ingat. Jika kata laluan yang anda masukkan salah, klik Try another way.
Jika ada e-mel sandaran (recovery email) dipautkan dengan akaun anda yang terjejas, maka anda boleh gunakan cara ini untuk akses kembali akaun anda. Anda akan terima mesej dengan kod pengesahan di e-mel itu untuk dimasukkan. Anda juga boleh dapatkan kod untuk masuk semula ke akaun anda melalui mesej atau panggilan pada nombor telefon yang ada pautkan. Jika anda dapat kod tersebut, masukkannya dan buat kata laluan baru.
Sekiranya semua ini tidak berjaya, klik pada Try another way to sign in. Bergantung pada informasi yang Google ada mengenai anda, ia mungkin akan tanya lebih banyak soalan untuk mewujudkan identiti anda semula. Tapi, jika sudah sampai ke fasa ini, ada kemungkinan nasib anda kurang baik. Lebih-lebih lagi apabila Google tidak menawarkan sokongan manusia untuk bantu anda melepasi halangan.
4. Instagram
Ini merupakan cara untuk anda dapatkan semula akses akaun Instagram menerusi laman web.
- Pergi ke instagram.com
- Jika Instagram tidak terima username dan kata laluan anda password, cuba log masuk gunakan Facebook dengan tekan pada Log in with Facebook
- Sekiranya tidak berjaya, klik pada Forgot password
- Pada skrin seterusnya, masukkan nama pengguna atau alamat e-mel berdaftar kemudian tekan Send Login Link untuk terima pautan log masuk.
- Pautan itu akan dihantar melalui e-mel atau nombor telefon yang telah anda daftarkan.
Sekiranya tidak berjaya:
- Masukkan maklumat log masuk yang terkini anda gunakan dan klik Can’t reset your password?
- Anda akan dipaparkan dengan halaman bantuan Instagram
- Klik pada I think my Instagram account has been hacked. Kemudian scroll pada bahagian Request a security code or support from Instagram
- Anda akan jumpa arahan untuk dapatkan bantuan khusus untuk aplikasi Instagram di Android dan iOS, anda boleh ikut arahan yang dinyatakan
Untuk maklumat lanjut, anda boleh lihat halaman bantuan Instagram di sini.
5. TikTok
Sekiranya nama pengguna dan kata laluan anda terjejas, TikTok ada tawarkan banyak cara untuk anda log masuk semula. Ini termasuklah melalui Facebook, Google, Twitter, Apple dan Instagram. Tapi, ini hanya boleh dilakukan jika anda pautkan akaun Tiktok dengan semua platform tersebut.
Namun, jika penggodam sudah tukar e-mel dan nombor telefon anda, maka anda perlu hubungi sokongan pengguna untuk dapatkan bantuan berikutan akaun anda tidak dapat di akses lagi. Anda boleh hantarkan permintaan sokongan melalui aplikasi, melalui borang dalam talian atau menerusi email [email protected]. Untuk maklumat lanjut, ketahui mengenainya di halaman ini.
6. Twitter
Akaun Twitter digodam? Pergi ke halaman tetapan semula kata laluan, kemudian masukkan nama pengguna, e-mel atau nombor telefon anda. Pilih sama ada anda nak dapatkan pautan log masuk melalui e-mel atau kod melalui mesej. Jika Twitter tidak terima maklumat anda, layari halaman pusat bantuan dan isikan maklumat yang diminta untuk dapatkan bantuan pada bahagian Account access.
Pastikan akaun anda selamat di masa hadapan
Untuk memastikan akaun anda tidak boleh digodam, anda perlulah cipta kata laluan yang kukuh, tidak serupa dengan mana-mana kata laluan lain yang pernah anda gunakan. Antara tips untuk hasilkannya ialah:
- Cipta kata laluan panjang, bukan rumit, contohnya nasilemaktelur2KACANG10
- Kekalkan kata laluan pelik
- Letak karakter istimewa di tengah
Selain itu, aktifkan juga pengesahan 2 peringkat (2FA) seperti e-mel dan sms bagi menguatkan lagi perlindungan keselamatan data anda. Pastikan anda masukkan e-mel yang boleh diakses untuk dihubungi jika ada sebarang masalah. Masukkan juga e-mel kedua jika diminta.
[Sumber: TheVerge]