Pengecas berbilang port USB adalah satu solusi yang menarik. Dengan satu gajet, anda boleh cas berbilang peranti elektronik pada satu-satu masa. Ia menjimatkan ruang kerana anda tak perlu bawa satu pengecas untuk setiap peranti. Kami pernah mengutuskan video “5 terbaik” berkaitan pengecas berbilang USB ini.
Di video tersebut, ada penonton kami yang menurunkan komen tentang dia tidak pasti tentang pengecas berspesifikasi apakah yang dia perlu dapatkan untuk mengecas 3 telefon miliknya serentak.
Menerusi artikel ini, saya akan cuba untuk merungkaikan soalan itu, bermula dengan definisi kuasa elektrik sebab ia bertanggungjawab terhadap segala apa yang menyala di peranti elektronik anda.
Definisi Kuasa Elektrik
Kuasa (P) adalah kadar melakukan kerja, itu untuk kuasa mekanikal. Dalam lapangan elektromagnet, kuasa elektrik merujuk kepada adalah berapa banyak tenaga elektrik yang dihamburkan oleh satu sistem dalam satu tempoh masa.
Kuasa diukur dalam unit W dan yang pernah ambil subjek fizik di sekolah, tentu biasa jumpa rumus ini. P = V x I yang bermakna kuasa adalah hasil darab voltan dengan arus. Kalau anda nak fahami artikel ini, anda kena ingat baik-baik rumus ini sebab ia akan digunakan di seluruh video ini.
Semua peranti elektronik perlukan tenaga elektrik, tapi berapa banyak?
Semua peranti elektronik memerlukan tenaga elektrik untuk beroperasi, tapi dalam tahap yang berbeza. Peranti kecil memerlukan sikit tenaga untuk beroperasi dan begitulah sebaliknya. Saya akan gunakan produk daripada Apple sebagai contoh kerana ramai yang mahir dengan produk-produk ini.
iPhone
iPhone zaman sebelum iPhone 8, mereka menggunakan USB power standard yang biasa. Blok pengecas yang diberikan di dalam kotak adalah yang ada nilai 5V dan 1A.
Kemudian bermula iPhone 8 mereka mengguna pakai piawaian USB Power Delivery (USB-PD) untuk mengecas.
Antara iPhone 8 dengan iPhone 12, siri-siri ini menyokong piawaian USB-PD sehingga 18W. Kemudian, bermula iPhone 12, iPhone SE (2022) yang lebih baharu, kuasa yang boleh diterima telefon daripada pengecas dipertingkat kepada lebih 20W berdasarkan laman rasmi Apple.
USB-PD adalah salah satu saja daripada banyak piawaian pengecasan pantas di luar sana. Yang biasa anda dengar di telefon adalah seperti Qualcomm QuickCharge, Oppo SuperVOOC, Realme DartCharge, OnePlus Warp Charge, Samsung Adaptive Fast Charge, Samsung Super Fast Charge, Xiaomi HyperCharge, dan banyak lagi.
Saya rasa, semua protokol proprietari ini dibangunkan berasaskan USB-PD juga. Nak bagi beza sikit supaya boleh jual banyak aksesori kot? Cumanya, USB-PD lebih meluas kerana ia meliputi benda selain telefon.
Peranti Wearable
Peranti boleh pakai daripada Apple agak tricky sebab maklumat tentang kuasa pengecas amat terhad. Contohnya Airpods Max.
Yang paling hampir saya temui adalah eksperimen yang dijalankan pihak ketiga dan diterbitkan di laman medium. Menurut Themaxstand, Apple Airpods Max menarik maksimum 3.2W tenaga daripada sumber dan angka itu menurun apabila kapasiti bateri hampir penuh.
Peranti boleh pakai biasanya menggunakan paras voltan 5V untuk mengecas. Mungkin disebabkan saiznya yang kecil, sistem pengecasan pantas dilihat tidak perlu sangat. Anda boleh lihat gajet-gajet boleh pakai disekeliling anda misalnya earbuds TWS, lihat pada bekas pengecasnya. Biasanya akan tercatat nota 5V, 1A sebagai panduan mengecas.
Macbook / Laptop
MacBook Air M2 (2022), apabila anda buka kotak, disertakan dengan kepala pengecas 35W. Ia cukup untuk lakukan tugasan biasa. Tapi untuk tugasan yang lebih berat, sistem akan memakan bateri lebih banyak berbanding pegecas mampu menyalurkan kuasa elektrik.
Berdasarkan laman rasmi, MacBook Air menyokong pengecas Apple tulen 140W, 96W, 85W, dan 67W melalui port USB-C yang dimilikinya.
Laptop kegunaan pejabat biasanya memerlukan kuasa sekitar 65W, kecualilah ia adalah laptop gaming. Contohnya Lenovo Legion 5 yang saya pernah reviu diberikan blok pengecas 300W yang ada voltan 20V pada 15A. Ia digunakan untuk mengecas pantas yang boleh isi daripada 0 hingga 80% dalam masa 30 minit sahaja.
Sekiranya tidak diperlukan, ia masih boleh dicas biasa menggunakan blok 65W tapi tempoh mengecas akan dipanjangkan lebih-lebih lagi sekiranya anda sedang main permainan video yang menyebabkan GPU menelan banyak tenaga.
Macam mana nak pilih pengecas yang sesuai?
Di takat ini, saya anggap anda sudahpun memahami tentang kuasa elektrik. Selain daripada itu, anda juga telah mempelajari tentang tahap keperluan kuasa untuk gajet-gajet disekitar anda. Sekarang, fasa terakhir adalah tentang pemilihan pengecas yang sesuai.
Objektif utama adalah untuk membekalkan kuasa elektrik yang bersesuaian dengan keperluan.
Paling selamat adalah dengan merujuk kepada blok pengecas yang didatangkan bersama peranti sewaktu anda dapatkannya. Ia sepatutnya tercetak di atas badan pengecas itu sendiri.
Untuk kes telefon yang tidak didatangkan dengan kepala pengecas, anda boleh rujuk pada laman web, seperti yang saya pamerkan di dalam bab sebelum ini.
Paling penting, pastikan pengecas itu menyokong piawaian pengecasan yang diperlukan peranti yang ingin dicas, terutamanya untuk pengecasan pantas. Untuk peranti boleh pakai, ia bukanlah satu isu kerana semua piawaian menyokongnya.
Misalnya, telefon anda menyokong USB-PD. Anda boleh pergi ke kedai dalam talian dan lakukan carian frasa yang berkaitan seperti “USB-PD” ataupun “USB Power Delivery”. Adalah mudah untuk cari pengecas yang cuma ada satu output.
Beli pengecas USB-PD di Lazada
Beli pengecas USB-PD di Shopee
Tapi ramai daripada pembaca SoyaCincau yang bertanyakan bagaimanakah pula dengan pengecas yang ada lebih daripada satu output?
Macam mana nak pilih pengecas multioutput yang sesuai?
Untuk produk mengecas multioutput, kaedah yang sama boleh anda gunakan seperti yang anda pelajari dalam bab sebelum ini. Tapi ada satu info tambahan yang perlu anda ketahui iaitu output maksimum untuk setiap port mungkin sama rata.
Maklumat tersebut biasanya akan dikongsikan pengeluar produk untuk sendiri. Saya ambil satu contoh Prolink 100W 4-port USB Charger (PDC410001).
Pengecas ini ada 2 USB-C dan 2 USB-A. Berdasarkan helaian spesifikasi, ia menyokong:
- USB-PD3.0
- Qualcomm QC3.0
- Samsung Adaptive Fast Charge
- Samsung Super Fast Charge
- Huawei Super Charge
Kemudian, Prolink juga mereka berkongsikan bagaimanakah kuasa elektrik dibahagian mengikut port dalam pelbagai situasi. Tujuan utamanya adalah untuk anda beroleh kelajuan mengecas yang paling optimum daripada produk mereka.
Untuk kes pengecas model ini, port USB-C peranti ini boleh memuntahkan sehingga 100W tenaga. Tapi kalau dua-dua USB-C digunakan, kuasa dibahagikan kepada 60W setiap satu. Makanya, anda boleh mengecas 2 unit MacBook Air pada kelajuan 60W setiap satu.
Sekiranya semua port digunakan, saya boleh mengecas 2 unit MacBook Air pada kelajuan 60W dan dua iPhone 7 pada kelajuan penuh.
Satu lagi contoh yang nak saya petik adalah Ugreen USB Charger 4-ports. Ia menyokong protokol sama seperti pengecas Prolink tadi.
Produk ini ada 3 USB-C dan 1 USB-C dan berikut adalah taburan kuasa untuk pelbagai situasi.
Dengan semua port dipakai, saya boleh mengecas:
- 2 unit iPad pada kelajuan maksimum dan 2 unit iPhone 7 dalam kelajuan maksimum, atau
- 2 unit MacBook Air pada kelajuan biasa dan 2 unit iPhone 7 dalam kelajuan maksimum