Warga Lembah Klang pagi ini dikejutkan dengan pengumuman RapidKL yang menutup operasi LRT Laluan Kelana Jaya, dari Stesen Ampang Park ke Stesen Kelana Jaya. Ia melibatkan 16 stesen penting dalam bandar, mengakibatkan gangguan besar terutamanya kepada pekerja-pekerja di tengah ibunegara.
Menurut RapidKL, punca gangguan ini masih disiasat dan apa yang diketahui adalah terdapat gangguan kepada komponen elektronik sistem kawalan tren automatik (ATC) yang menyebabkan kehilangan signal diantara pusat kawalan dan juga tren. Ini menyebabkan tren-tren tidak dapat beroperasi secara automatik di antara Stesen LRT Kelana Jaya dan Stesen LRT Ampang Park.
Sebenarnya, masalah ATC terutama di laluan Kelana Jaya bukanlah kali pertama atau kedua berlaku tahun ini, malah ia telah berulang kali terjadi hampir setiap bulan. Berikut beberapa isu LRT yang dapat kami temui:
9 November 2022: RapidKL umum penutupan LRT Laluan Kelana Jaya dari Stesen Ampang Park sehingga Stesen Kelana Jaya selama seminggu, sehingga 15 November 2022
8 November 2022: Gangguan ATC di antara Stesen KLCC dan Kelana Jaya diumum pukul 3.30 petang. Perkhidmatan tren dihentikan di antara kedua-dua stesen ini – sumber
7 November 2022: Sistem ATC terganggu pukul 10.38 pagi. LRT dihentikan pukul 1.10 petang untuk kerja baik pulih. Pukul 8.39 malam, LRT tergendala lagi akibat masalah yang sama – sumber
6 November 2022: Selepas tengah malam, perisian sistem ATC dikemaskini dan ujian dijalankan sebanyak 7 kali dan sistem didapati stabil.
5 November 2022: Sistem ATC dikesan mengalami gangguan pukul 10.34 pagi, Pusat Kawalan Operasi (OCC) telah menjalankan reset. Sistem pulih selepas itu.
21 September 2022: Masalah teknikal berlaku pada tren di Ampang Park pukul 5 petang dan baik pulih selesai pukul 6.30 petang. Jadual perjalanan terganggu – sumber
10 September 2022: Sistem penggera brek tren nombor 59 diaktifkan secara automatik berhampiran stesen Kampung Baru pukul 8.26 malam. Sekitar 500 penumpang dikeluarkan daripada tren. Hanya satu landasan dapat digunakan antara Stesen Bangsar dan Stesen KLCC, mengakibatkan kekerapan tren lebih panjang – sumber
2 September 2022: Tren nombor 82 mengalami masalah teknikal berhampiran Stesen Universiti menghala ke Putra Heights pukul 9.40 pagi. 54 penumpang dibawa keluar dari tren menuju ke stesen berjarak 10 meter. Operasi pulih pukul 10.30 pagi – sumber
25 Mei 2022: Menteri Pengangkutan, Wee Ka Siong bentang cadangan baik pulih perkhidmatan LRT. Antaranya mendapatkan khidmat perunding luar negara untuk mencari punca sebenar masalah. RM800 juta dibelanja untuk proses tambah baik – sumber
24 Mei 2022: Perkhidmatan LRT terhenti seketika ekoran masalah bekalan kuasa elektrik di dua ‘Traction Power Sub Station’ (TPSS) di Stesen Taman Jaya dan Stesen Universiti, antara pukul 8.36 pagi sehingga 8.48 pagi – sumber
20 Mei 2022: 22,100 penumpang LRT terjejas akibat angkup brek tidak berfungsi, dikesan pada tren 62 di Stesen LRT Pasar Seni pukul 4.36 petang. Tren dikeluarkan dan dipandu secara manual – sumber
10 Mei 2022: Brek tren gagal beroperasi dari Stesen Taman Jaya menghala ke Putra Heights. Satu platform ditutup, mengakibatkan hanya satu landasan boleh diguna dan seluruh tren Laluan Kelana Jaya bergerak perlahan – sumber
2 Mei 2022: LRT brek mengejut secara atuomatik dalam perjalanan dari Stesen LRT Dang Wangi menuju Stesen LRT Kg Baru pukul 11.20 malam. Penumpang dikeluarkan di Stesen KLCC – sumber
Apa Rapid KL buat sepanjang tahun ini?
Dalam kenyataan media Rapid KL yang dibuat hari ini, mereka masih mengkaji punca masalah ATC yang dikesan sejak 5 November. Selepas 3 hari, punca sebenar masih tidak dapat dikesan dan langkah keselamatan diambil dengan menutup perkhidmatan LRT selama seminggu. Pakar perkhidmatan daripada syarikat pengeluar, Thales dari Kanada akan datang esok, 10 November 2022 untuk membuat pemeriksaan lanjut.
Sebagai langkah sementara, sebanyak 73 bas perantara percuma akan disediakan dalam 5 laluan antara stesen LRT. Rapid KL juga bercadang untuk membayar ganti rugi kepada hampir 200,000 penumpang yang terlibat. Langkah jangka panjang pula, untuk menggantikan tren yang usang dan menaik taraf perisian.
Tambah mengecewakan apabila Menteri Pengangkutan sementara, Wee Ka Siong tidak mengeluarkan sebarang kenyataan tentang perkara ini. Facebook rasminya semalam menunjukkan berada di Raub, Pahang semalam untuk berkempen untuk pilihanraya.
Apakah masalah ini boleh diselesaikan dalam masa terdekat, atau pengguna di Lembah Klang terpaksa berhadapan ketiadaan LRT untuk satu jangka masa yang lama?