Walaupun hamil, golongan wanita masih boleh memandu kereta seperti biasa untuk ke mana-mana. Tapi, tentu ada dalam kalangan ibu yang risau jika mereka dan kandungan terkesan akibat aktiviti ini. Lebih-lebih lagi apabila perlu tempuhi perjalanan yang panjang. Oleh itu, berikut merupakan perkara yang perlu anda ambil serius ketika memandu sewaktu hamil:
- Jika anda berasa terlalu letih, loya atau pening, jangan memandu. Jika gejala ini tiba-tiba datang semasa memandu, berhenti sebentar dan rehat atau berjalan-jalan sedikit dahulu sehingga anda rasa pulih
- Pastikan sistem beg udara anda tidak dimatikan. National Highway Traffic Safety Administration (Pentadbiran Keselamatan Lalu Lintas Lebuhraya Kebangsaan) dan American College of Obstetricians and Gynecologists (Kolej Obstetrik dan Ginekologi Amerika) setuju bahawa beg udara yang diguna bersama dengan tali pinggang keselamatan membantu memastikan wanita hamil dan bayi lebih selamat
- Ibu mengandung mudah alami kekejangan otot kaki. Jadi, sentiasa berhati-hati ketika memandu, elak lalui selekoh tajam, jangan pandu dengan laju dan elak brek mengejut
- Duduk dalam jarak yang selamat dari stereng dan papan pemuka (dashboard). Tulang dada perlu sekurang-kurangnya jauh 10 inci dari stereng pada setiap masa. Ini supaya beg udara dapat beroperasi secara berkesan jika kemalangan berlaku. Tapi jangan terlalu jauh sehingga tangan diregangkan sepenuhnya, sebab ia akan menjejaskan kawalan anda
- Sekiranya perut anda terlalu besar sehingga sukarkan anda untuk berpusing dengan selesa dan memandu dengan selamat, maka baik anda jadi penumpang sahaja sehingga bayi dilahirkan.
- Apabila anda tidak memandu, duduk di tempat duduk belakang supaya boleh bergerak dengan lebih selesa
Selain itu, memakai tali pinggang keselamatan dengan cara yang betul juga penting untuk mengelakkan rasa lemas dan sakit pada wanita mengandung ketika memandu. Oleh itu, berikut merupakan cara memakai tali pinggang keselamatan yang perlu anda ikut supaya dapat memandu dengan selamat.
Cara pakai tali pinggang dalam kereta dengan betul
Memakai tali pinggang dengan betul adalah salah satu langkah keselamatan yang perlu diketahui. Pastikan anda ikut cara ini:
- Gunakan kereta yang mempunyai tali pinggang sekatan tiga mata (three-point restraints). Sistem ini terdiri daripada tali pinggang pada bahagian bahu dan riba
- Letakkan tali pinggang bahu di antara payudara ke sisi perut. Tali pinggang harus jauh dari leher
- Untuk tali pinggang di riba, letakkannya di bawah perut
- Laraskan kesesuaian tali pinggang supaya selesa
- Sekiranya anda masih rasa tekanan pada perut ketika mengenakan tali pinggang, anda boleh cuba dapatkan tali pinggang keselamatan kehamilan ini
Memandu ketika hamil memerlukan anda jadi lebih berhati-hati. Tapi, selagi anda rasa yakin dan selesa berada di tempat duduk pemandu, maka tiada masalah untuk memandu semasa hamil.
[Sumber: Statefarm]
[Sumber gambar: Today]