Telefon gaming keluaran Asus iaitu ROG Phone 6, merupakan salah satu peranti gaming mudah alih yang terbaik di pasaran. Malah, Asus turut menghasilkan beberapa varian dan edisi khas. Terkini, edisi Diablo Immortal yang baru diumumkan telah tiba di Malaysia.
Bermula dengan ROG Phone 6 dan ROG Phone 6 Pro yang dikuasakan cip Snapdragon 8+ Gen 1, Asus kemudiannya melancarkan ROG Phone 6 edisi Batman dan ROG Phone 6D menggunakan cip Mediatek Dimensity 9000+. Bagi edisi Diablo Immortal ini, ia dilengkapi dengan perkakas terbaik.
Harga dan tarikh jualan
Peminat boleh mendapatkan ROG Phone 6 Diablo Immortal Edition di Malaysia mulai sekarang, daripada pengedar sah Asus serta di Lazada dan Shopee. Semua pembelian akan turut menerima jaminan lanjutan tahun ke-2.
Hanya terdapat satu varian untuk edisi ini dan harga jualannya di Malaysia adalah:
- ROG Phone 6 Diablo Immortal Edition (RAM 16GB + Storan 512GB) – RM4,999
Untuk perbandingan, edisi Batman berharga RM200 lebih murah tetapi memiliki RAM 12GB dan storan 256GB sahaja. Tetapi harga ini sebenarnya serupa dengan ROG Phone 6 Pro dan ROG Phone 6D Ultimate, yang turut memiliki RAM dan storan serupa. Bezanya, ROG Phone 6D Ultimate datang bersama AeroActive Cooler 6 di dalam kotak.
Spesifikasi ROG Phone 6 Diablo Immortal Edition
Perkakas yang digunakan dalam edisi Diablo ini sebenarnya serupa dengan model ROG Phone 6 yang lain. Seperti skrin AMOLED seluas 6.78-inci, resolusi HD Penuh dan kadar penyegaran sehingga 165Hz. Skrin ini tiada takuk dan lubang dengan bingkai yang besar di atas dan bawah telefon, serta dilapisi kaca Corning Gorilla Glass Victus yang sangat tahan lasak. Pengimbas capjari ada di dalam skrin.
Kameranya 12MP di hadapan dan terletak dalam bingkai di atas skrin. Di belakang pula gabungan kamera 50MP F1.9 dengan sensor Sony IMX766, kamera ultra lebar 13MP dan kamera makro 5MP.
Bateri mega 6,000mAh dalam bentuk dwi-sel 3,000mAh digunakan di dalam dan ia menyokong pengecasan pantas 65W. Malah ada dua port USB-C untuk mengecas, di bawah telefon dan di sisi. Port di sisi memudahkan penggunaan telefon semasa mengecas. Butang bahu AirTrigger 6 terdapat di sisi telefon.
Untuk telefon, perbezaan terbesar daripada model biasa adalah di belakang. Tiada lagi skrin notifikasi ataupun LED Dot Matriks. Ia digantikan dengan hiasan watak Dibalo serta logo ROG dan Diablo Immortal.
Di dalam telefon pula, ia dibekalkan dengan pelbagai aset digital bertemakan Diablo seperti kertas dinding beranimasi, animasi panggilan masuk dan animasi mengecas.
Kejutan terbesar adalah pada aksesori dan kotak. Edisi Diablo datang dalam kotak ekslusif Diablo yang sangat besar. Apabila dibuka, terpampang dua bahagian. Di sebelah kanan adalah peta Diablo dalam rupa seperti kulit yang menyimpan kabel USB-C serta pengecas 65W. Peta ini mengandungi maklumat rahsia yang timbul jika dipancar cahaya UV.
Kotak menyimpan telefon pula direka seperti ‘Soulstone’ yang mengurung Diablo. Selain telefon, ia turut datang bersama jarum pembuka dulang emas bertemakan Diablo Immortality. Aksesori lain yang diberikan adalah sarung telefon bertemakan Diablo, lampu suluh UV “Fahir’s Light”. Tetapi kipas AeroActive Cooler 6 tidak diberikan, perlu dibeli berasingan. Ini sama seperti model Pro.
Berminat tak nak dapatkan ROG Phone 6 Diablo Immortal Edition? Sebagai peminat tegar, ini harus menjadi koleksi simpanan anda. Bukan sahaja boleh main Diablo Immortal dengan cemerlang, boleh buat hiasan menarik juga. Semoga ia akan dijual di Malaysia nanti.
Anda boleh dapatkan maklumat lanjut di laman produk ROG Phone 6 Diablo Immortal Edition.