Fair Usage Policy (FUP) asalnya, adalah satu polisi kesaksamaan penggunaan bertujuan mengekang salah guna talian telco seperti muat turun fail besar ataupun membolot lebar jalur sehingga menyebabkan pengalaman Internet pengguna lain jadi tidak seronok.
Namun kini ia adalah dokumen terma & syarat yang sering digunakan telco untuk berselindung disebalik perkataan “tanpa had” ataupun “unlimited” pada produk prabayar masing-masing.
Adakah telco anda yang ada FUP paling ketat?
Celcom
Untuk Celcom, mereka bahagikan FUP kepada dua jenis. Jenis yang pertama adalah untuk pas dengan tempoh sah 5 hari dan yanng kedua adalah pas dengan tempoh sah 30 hari.
Pas dengan tempoh sah 30 hari dikenakan kuota 60GB manakala pas 5 hari 20GB. Sekiranya pengguna melangkaui had yanng ditetapkan, kelajuan akan diturunkan kepad 512kbps sehinggalah kitaran bil yang berikutnya ataupun pengguna membeli pas yang baharu.
Digi
Digi kambus maklumat FUP mereka dengan agak dalam. Saya terpaksa klik 6 pautan sebelum bertemu dengan info tersebut.
Mereka kenakan FUP pada paras 300GB untuk mana-mana pelan yang berikan “kuota tanpa had”. Buat masa ini, mereka ada satu pelan prabayar tanpa had iaitu NEXT Unlimited 40.
Walaupun diterangkan secara jelas kuota FUP, kelajuan selepas melangkaui kuota FUP tidak pula dikongsikan. Maklumat yang paling hampir saya temukan adalah untuk pelan bulanan selain NEXT 40. Apabila melebihi had FUP, kelajuan diturunkan kepada 64kbps.
Tekan di sini untuk maklumat FUP Digi
Hotlink
Hotlink bahagikan kategori kuota FUP mereka kepada tiga bergantung kepada tempoh sah pas. Pas harian dikenakan FUP sebanyak 5GB, mingguan sebanyak 15GB, dan bulanan sebanyak 50GB.
Apabila pengguna melangkaui kuota FUP tersebut, kelajuan akan diturunkan kepada 512kbps dan tiada had kuota dikenakan setelah itu.
Tekan di sini untuk maklumat FUP Hotlink
U Mobile
Penawaran prabayar U Mobile masa ini adalah:
- Prepaid U25
- Prepaid U35
- Prepaid U40
Berdasarkan laman terma dan syarat telco ini, semua pelan data (termasuklah penggunaan hotspot) termaktub kepada FUP seperit yang berikut. Prabayar U25 memiliki kuota FUP sebanyak 30GB manakala Prabayar U35/U40 diberikan kuota FUP sebanyak 100GB.
Apabila kuota habis digunakan, kelajuan akan diturunkan kepada 512Kbps. Menurut mereka lagi, tiada had kuota untuk kelajuan tersebut.
Tekan sini untuk maklumat FUP U Mobile
Unifi Mobile
Unifi Mobile dulunya terkenal dengan pelan prabayar tanpa had tanpa FUP, kini sudahpun berubah. Selepas pengenalan prabayar terbaharu mereka, Uni5G, info FUP turut sekali disunting.
Sepertinya mereka belajar daripada Hotlink, FUP untuk Uni5G juga dikenakan berdasarkan tempoh sah langganan. Pas harian dikenakan 10GB, pas mingguan sebanyak 20GB, dan pas bulanan dikenakan 60GB.
Tekan sini untuk maklumat FUP Unifi Mobile
Yes 5G
Yes 5G adalah antara telco yang agak pemurah daripada segi kuota Internet prabayarnya. Mereka tidak mengenakan sebarang kuota FUP untuk prabayar Yes FT5G. Pengguna prabayar ini nikmati capaian Internet tanpa had sama ada di 4G ataupun 5G.
Cumanya, kemas kini terbaharu penawaran mereka adalah hotspot sudahpun dikenakan kuota 12GB.
Tekan sini untuk maklumat pelan FT5G
Yoodo
Yoodo memang benar-benar tiada FUP keras, sama seperti Yes 5G. Banyak pertanyaan tentang FUP Yoodo di forum perbincangan, semuanya mengatakan tiada had keras.
Materi pengiklanan Yoodo juga tiada sebarang tanda * yang menunjukkan ada Terma & Syarat tambahan dikenakan.
Rumusan
Berikut adalah rumusan tentang FUP 7 telco yang disebutkan diatas dalam bentuk jadual.
Didapati yang dalam kalangan telco ber-FUP keras, Digi memberikan kuota terbanyak iaitu pada 300GB. Namun, sekiranya melebihi had yang ditetapkan, kelajuan capaian Internet anda dikurangkan kepada 64kbps, paling rendah dalam kalangan telco.
Telco kedua dengan FUP agak longgar adalah U Mobile dengan 100GB diikuti Celcom dan Unifi Mobile (sehingga 60GB) dan akhir sekali Hotlink (sehingga 50GB).
Yes 5G dan Yoodo tiada sebarang FUP keras dikenakan.