Infinix tidak sunyi dalam perlumbaan kuasa pengecas pantas di telefon pintar. Tahun lepas mereka mengumumkan kuasa ThunderCharge 180W di telefon pintar Infinix Zero Ultra. Kini mereka mempersembahkan pula teknologi pengecas All-Round FastCharge 260W dan Wireless All-Round FastCharge 110W.
Bagaimanapun, pengumuman kali ini dilihat lebih kepada konsep kerana tiada telefon pintar yang menyokong kuasa pengecas baru ini disebut bersama. Berbeza dengan Thunder Charge 180W dahulu yang disokong telefon Infinix Zero Ultra.
Pengecas berwayar 260W
Menurut Infinix, kuasa pengecas 260W membolehkan ia mengecas dari 0-25% hanya 1 minit, dan mengecas penuh ke 100% dalam masa 7.5 minit untuk bateri berkapasiti 4,400mAh. Kemampuan mengecas denagn kuasa 260W ini dicapai melalui gabungan beberapa teknologi.
Salah satu penyumbang adalah Rekaan Litar Pintar 4-pam yang mengenal pasti keperluan tenaga dan menyediakan pam pengecas yang diperlukan. Ia bekerjasama dengan bateri 12C dengan struktur berbilang elektrod, memastikan kecekapan penukaran tenaga tinggi yang mencecah 98.5%, di samping mengekalkan daya tahan bateri lebih panjang. Infinix memaklumkan, bateri mampu mengekalkan 90% tenaga selepas 1,000 kitaran mengecas.
Pengecas pula menggunakan tiga materi GaN PFC+AHB serta rekaan litar inovatif. Ini menjadikan saiznya kecil dan padat, serta lebih pintar dan kawalan keselamatan semasa mengecas. Kabel pula terbina bersama cip pengenalan Emarker dan struktur rekaan baru. Kabel ini mampu mengalirkan arus sehingga 13A. Apabila digabungkan semuanya, ia menjadikan kuasa pengecas 260W kepada realiti.
Pengecas tanpa wayar 110W
Bagi pengecas wayarles, Infinix mengatakan teknologi baru mereka boleh mengecas penuh dari 0-100% dalam masa 16 minit sahaja. Ia dihasilkan menerusi gegelung kecil dan lebih sensitif, menjadikan kadar rintangan lebih rendah serta kurang penghasilan haba, Di samping itu, ia meningkatkan masa puncak pengecas lebih panjang dan meningkatkan kadar kecekapan pengecas wayarles.
Untuk tempat mengecas, ia menggunakan rekaan dwi gegelung untuk menyokong pengecasan menegak dan melintang. Terdapat juga kipas dengan rendah bunyi dipasang padanya, untuk merendahkan lagi kehangatan yang dihasilkan semasa mengecas.
Teknologi All Round FastCharge akan datang ke siri NOTE
Infinix menyatakan, pengguna boleh menikmati pengalaman mengecas lebih baik menerusi penyelesaian ‘All-Round FastCharge’ mereka. Ia bukan sahaja menggabungkan teknologi mengecas berwayar dan wayarles, tetapi turut serta dengan teknologi mengecas terbalik, pintasan mengecas, dan pelbagai sokongan protokol pengecas.
Dengan ini, pengguna boleh menjadikan telefon kepada powerbank untuk mengecas peranti lain menerusi teknologi mengecas terbalik. Telefon Infinix juga boleh mengecas pantas dengan sokongan teknologi pengecas seperti PD3.0, di samping teknologi pintar seperti mengecas waktu malam dan pintasan mengecas, untuk memanjangkan lagi hayat bateri dan mengurangkan penghasilan haba.
Menurut Infinix, pengguna boleh menikmati penyelesaian ‘All-Round FastCharge’ di siri Infinix Note yang akan datang. Dijangkakan siri Infinix Note 13, jika mereka tidak melangkau nombor yang kelihatan tidak berapa cantik di mata negara barat.
Bagaimanapun, kuasa pengecas berwayar 260W dan wayarles 110W pasti tidak akan kelihatan di siri Note nanti. Jika ia bukan suatu konsep sahaja, Infinix akan memasang teknologi pengecas 260W dan 110W ini di siri Zero yang akan datang. Masalahnya, perkara ini tidak dinyatakan oleh Infinix dan mungkin kekal sebagai konsep sahaja tahun ini. Ditambah lagi dengan tiadanya gambar rasmi mengenai aksesori pengecas berkaitan.
Mengenai kuasa pengecas terpantas di dunia masakini, boleh diberikan kepada Xiaomi yang berkongsikan video pengecas 300W di telefon Redmi Note 12 Pro+. Ia diikuti oleh Realme GT3 yang dilancarkan di MWC 2023 dengan kuasa pengecas 240W.