Semua sedia tahu yang Infinix banyak menghasilkan telefon pintar dalam pelbagai segmen yang sesuai dengan pilihan bajet tertentu. Ia turut menawarkan beberapa pilihan telefon pintar dengan kolaborasi permainan untuk tema yang lebih menarik seperti Note 12 dengan tema Mobile Legend.
Kini, Infinix hadir dengan telefon pintar siri Hot terbaru iaitu Infinix Hot 30 hasil kolaborasi bersama permainan Free Fire. Ia adalah kesinambungan daripada Infinix Hot 20 yang telah dilancarkan November tahun lepas. Infinix Hot 30 dipasarkan sebagai telefon gaming pada harga yang sangat mampu milik, iaitu RM599.
Tapi, betulkah ia sebuah telefon gaming berkemampuan tinggi? Untuk tahu lebih lanjut, ikuti ulasan ini.
Spesifikasi Infinix Hot 30
Pertama sekali, mari kita lihat spesifikasi yang dibekalkan Infinix Hot 30.
- Cip: Helio G88 12nm
- RAM: 8GB + RAM maya 8GB
- Storan: 128GB, Slot MicroSD
- Kapasiti bateri: 5,000mAh
- Skrin: 6.78 inci, HD Penuh 1080×2460, 90Hz
- Kamera belakang: 50MP
- Kamera Hadapan: 8MP
- Sistem Operasi: XOS 12 berasaskan Android 13
Rupa paras yang menarik, serta skrin yang besar
Infinix Hot 30 ini mempunyai luaran badan yang cantik dengan bingkai badan besi berbentuk kotak dengan sisi rata. Bingkainya sedap dipegang dan langsung tidak rasa tajam apabila mencengkam sebab ada sedikit lengkung di hujung tepinya. Kemasan belakang adalah plastik jenis matte, dan terdapat garisan alur menjalur ke bawah dan sisi telefon seakan memberikan rupa tekstur yang unik. Tapi apa yang saya tak suka, walaupun guna kemasan matte, ia masih meninggalkan kesan cap jari dan nampak lagi jelas apabila di bawah lampu atau cahaya matahari.
Di paparan, anda disapa dengan skrin sebesar 6.78 inci beresolusi HD Penuh, menjadikannya sesuai untuk kegunaan harian, menonton kandungan multimedia dan gaming. Bercakap pasal gaming, skrin ini ada kadar segar semula 90hz, sudah tentu memberikan pengalaman gaming yang lebih lancar, lagi-lagi untuk game yang bergerak laju. Melihat di atas skrin, terdapat lubang kamera hadapan yang diletak ditengah skrin. Di bawah skrin pula, agak mengecewakan kerana terdapat dagu sedikit tebal berbanding sisi lain. Tapi ia bukan perkara mengejutkan untuk telefon dalam segmen mampu milik.
Skrinnya mempunyai teknologi Super Bright Display. Jadi untuk penggunaan di bawah cahaya matahari telefon ini tidak memberi sebarang masalah dan kandungan masih boleh nampak dengan jelas. Tapi apa yang menjengkelkan, skrinnya mengubah kecerahan sesuka hati, sekejap cerah, sekejap gelap. Walaupun sudah mematikan ‘Adaptive brightness’ di tetapan, ia masih melakukan perkara yang sama. Jadi, ini mungkin masalah perisian atau panel yang terdapat pada model yang saya terima.
Sistem audio stereo & ciri NFC
Sistem bunyi Infinix Hot 30 ini menggunakan speaker jenis stereo dengan kualiti yang cukup bagus, antara kelebihan Infinix Hot 30 yang tidak terdapat pada telefon mampu milik lain. Jadi, menonton video di Youtube, Netflix dan mendengar lagu akan memberi pengalaman yang tidak mengecewakan. Terdapat juga port jek audio 3.5mm jika anda memerlukan sambungan audio berwayar.
Lebih menarik, pada harga yang mampu milik telefon ini memiliki sokongan NFC. Mereka yang nak menambah nilai kad Touch ‘n Go (TNG) Enhanced boleh berbuat demikian. Bukan itu sahaja, dengan adanya NFC, anda boleh menggunakan Google Wallet untuk menjadikan telefon sebagai pengganti kad kredit/debit.
Sistem operasi Android 13 dengan tema FreeFire
Sistem operasi menggunakan XOS 12 berasaskan Android 13. Yang uniknya pada model yang saya dapat ini adalah, ia didatangkan dengan tema Free Fire. Tema tersebut boleh dilihat pada antara muka, dan juga di kotak. Antara muka dengan tema ini membuatkan ia unik. Tapi pada pendapat saya, ia menjadikan antara muka nampak tidak clean. Saya lebih suka kalau antara muka biasa, warna tidaklah satu tona mengikut tema, dan ikon aplikasi nampak lebih kemas.
Tambahan pula, terdapat banyak bloatware yang telah tersedia apabila saya menghidupkan telefon ini. Antara muka nampak lebih serabut dengan adanya aplikasi-aplikasi bloatware ini. Belum apa-apa sudah lebih 30GB storan digunakan. Ada antaranya yang boleh buang, dan ada yang tidak boleh dibuang. Tapi, berita baiknya, storan boleh diperluaskan lagi dengan adanya slot Micro SD di dulang sim.
Prestasi yang memuaskan untuk harganya
Infinix Hot 30 dipasarkan sebagai telefon gaming serba boleh dengan diperkasa cip Helio G88. Ia mempunyai sebanyak 8 teras CPU dalam dua kluster iaitu, 2 teras pada kelajuan 2GHz dan 6 teras pada kelajuan 1.8GHz. Walaupun cip tersebut berusia hampir 2 tahun, ia masih cip yang bagus memberikan prestasi yang baik, sambil mengekalkan harga yang rendah.
Bagi menguji kebolehan Hot 30 ini, saya cuba bermain game yang memerlukan grafik tinggi iaitu Apex Legends Mobile. Semasa bermain, permainan tidak sekali pun tersangkut-sangkut dan terasa lengah. Permainan boleh dimainkan dengan lancar. Tapi piksel gambar menunjukkan ianya jelas ditetapkan pada tetapan rendah. Bila saya cuba ubah tetapan tinggi, baru permainan terasa lengah sedikit, tapi masih tiada perubahan lebih baik pada piksel dengan pikselnya berkotak-kotak. Mungkin sebab ianya masih telefon dalam segmen bajet.
Dengan harga yang sangat mampu milik, saya amat berpuas hati dengan prestasi yang ditawarkan Infinix Hot 30. Ia memberikan prestasi yang cukup untuk membolehkan saya menang dalam permainan. Yang penting, telefon juga tidak terlalu panas apabila bermain dalam jangka yang panjang. Jadi, kesihatan bateri mampu bertahan lagi lama.
Selain itu, terdapat ciri game mode yang membolehkan anda mengakses fungsi atau aplikasi lain tanpa keluar daripada permainan. Antaranya adalah Twitter, Facebook, Instgram, Google Chrome dan fungsi untuk merekod skrin.
Bagi yang mahu melihat penanda aras Infinix Hot 30, saya kongsikan hasil prestasinya di Geekbench. Ia memperolehi markah 423 untuk teras tunggal dan 1398 untuk pelbagai teras.
Bateri 5,000mAh dengan pengecasan 33W
Bercakap pasal bateri, ia dilengkapkan tangki berkapasiti 5,000mAh. Saya dapati penggunaan bateri mampu bertahan agak lama, sehingga dua hari dengan satu isian penuh. Ini termasuk menonton kandungan multimedia, bermain game dan menggunakan media sosial. Kecekapan tenaga ini mungkin disumbang oleh penggunaan skrin HD Penuh, serta ciri kadar penyegaran ubah automatik yang menukar di antara 60Hz dan 90Hz mengikut konten yang dipaparkan.
Lebih menarik, ia menyokong pengecasan pantas 33W. Mengecas dari 1-50% mengambil masa 31 minit, manakala untuk ke 100% mengambil masa 83 minit atau 1 jam 23 minit. Cukup pantas untuk sebuah telefon mampu milik, dengan kapasiti bateri yang besar. Jadi, kalau terlupa cas sebelum tidur pun tidak apa.
Sistem kamera di belakang 50MP
Bahagian pengimejan Infinix Hot 30 mempunyai satu kamera belakang 50MP, walaupun nampak ada dua modul kamera. Hanya satu sahaja yang boleh menangkap gambar dan lagi satu adalah lensa AI. Tapi, saya agak terkejut dengan hasil yang mampu diberi oleh kamera ini. Ia boleh tangkap gambar dengan cepat dan proses HDR dengan baik. Gambar nampak jelas dan tajam. Warna yang dihasilkan pula lebih terang sedikit berbanding di depan mata, tapi tidak sehingga menampakkan ia kelihatan tidak natural. Untuk tangkap gambar jauh, kamera ini boleh zum digital sehingga 10x zum. Tapi gambar sudah pasti akan kabur.
Terdapat juga keupayaan Super Night Mode, memberikan gambar malam lebih terang. Tapi bila tangkap ia mengambil sedikit masa untuk memproses gambar. Namun hasil yang diberi cukup memuaskan.
Berikut adalah sampel gambar dari kamera Infinix Hot 30.
Gambar menggunakan mod Super Night
Gambar menggunakan mod Super Night
Gambar menggunakan mod Portrait
Kesimpulan
Sebagai kesimpulan, Infinix Hot 30 menawarkan keseluruhan prestasi yang baik untuk paras harganya yang bawah RM1000 dengan mempunyai skrin besar yang cantik, sistem kamera yang tidak mengecewakan, prestasi gaming yang memuaskan dan ketahanan bateri yang panjang. Ia merupakan peningkatan daripada model sebelumnya Hot 20 dari pelbagai aspek dan memenuhi segala keperluan harian.
Walau bagaimanapun, ia tidak mempunyai capaian 5G, mungkin bagi mengekalkan harga paras yang rendah. Agak merugikan kerana rangkaian 5G di Malaysia telah pun diperluas dan rata-rata telco sekarang sudah mengetengahkan pelan 5G. Tapi terdapat juga 2 slot kad sim yang boleh digunakan serentak.
Infinix Hot 30 boleh dilihat bersaing rapat antara Honor X8a kerana menggunapakai cip Helio G88 yang sama dan mempunyai skrin 6.7 inci. Tapi Honor X8a menawarkan sistem kamera yang lebih baik dengan terdapat kamera utama 100MP, kamera ultralebar dan potret 5MP, serta kamera makro 2MP. Harga Honor X8a adalah RM999.
Dalam pada itu, satu lagi pesaing adalah Redmi Note 11 Pro tapi dilengkapkan cip lebih berkuasa iaitu Helio G96 pada harga RM999. Ia mempunyai skrin AMOLED 6.7 inci, tapi kamera lebih hebat dengan kamera utama 108MP dan kamera 8MP ultralebar. Pengecasan juga lebih pantas 67W.
Sebagai perbandingan antara Infinix Hot 30, Honor X8a dan Redmi Note 11 Pro, Infinix Hot 30 agak ketinggalan di bahagian pengimejannya dengan mempunyai satu kamera, namun memberi presetasi yang lebih kurang sama antara pesaingnya. Tapi, jika sistem kamera tidak penting untuk anda dan anda lebih mengutamakan prestasi gaming, Infinix Hot 30 adalah pilihan terbaik kerana harganya mungkin lebih rendah berbanding kedua pesaingnya disebabkan terdapat penjimatan pada bahagian kamera.