Kecoh dunia apabila Netflix mengumumkan bahawa mereka akan mula mengetatkan perkongsian akaun dan mengenakan bayaran tambahan. Netflix sangat popular bukan sahaja kerana koleksi kandungan mereka yang banyak, tetapi disebabkan ia murah jika berkongsi langganan. Bagaimanapun, pengumuman terbaru yang menghalang akaun dikongsi membuatkan ramai mula tercari-cari pilihan lain untuk mengganti Netflix.
Untuk membantu anda mencari alternatif kepada Netflix di Malaysia, kami telah membuat kajian mendalam dan kini menyenaraikan 10 platform penstriman selain Netflix yang boleh anda langgan di Malaysia.
1. Disney+ Hotstar
- Penilaian: 7/10
- Harga Pelan: RM54.90 3 bulan, 2 tontonan serentak
- Ringkasan: Koleksi penuh Marvel dan Star Wars, banyak kandungan India, harga yang murah tetapi sedikit kandungan tempatan dan Korea, serta lambat kemaskini kandungan lain.
Calon terkuat pengganti Netflix di Malaysia adalah Disney+ Hotstar. Harganya dikira masih murah, tetapi perlu melanggan terus 3 bulan berharga RM54.90, bersamaan RM18.30 sebulan.
Disney+ Hotstar memegang hak eksklusif beberapa kandungan, bermakna ia tidak boleh ditonton di platform lain. Antaranya berkaitan Marvel, Star Wars serta Disney sendiri. Selain itu, Disney+ Hotstar juga menyediakan kandungan serantau dari Malaysia dan Indonesia. Selain itu, mereka juga sediakan kandungan Korea. Tetapi kandungan dari India mereka lebih banyak, sesuai untuk peminat filem tamil dan hindustan.
Dari segi kandungan, Disney+ Hotstar masih tidak dapat melawan Netflix tetapi hanya mereka ada filem serta siri Marvel dan Star Wars. Malah filem Marvel boleh ditonton di Disney+ Hotstar seawal 2 ke 3 bulan ditayangkan di pawagam. Selain itu, Disney+ Hotstar agak lambat mengemaskini kandungan mereka.
2. Prime Video
- Penilaian: 8/10
- Harga Pelan: RM25, 3 tontonan serentak
- Ringkasan: Kandungan Original dan Eksklusif lebih menarik. Ada filem berkualiti Indonesia serta pilihan filem baru tempatan. Banyak kandungan India tetapi sedikit kandungan Korea, anime dan kanak-kanak.
Bernaung di Amazon, Prime Video sebenarnya kurang diminati ramai kerana kandungan yang terlampau sedikit. Tetapi baru-baru ini, mereka mengumumkan kemasukan kandungan Malaysia dan memasang iklan dengan banyak. Hanya ada satu pelan iaitu RM25 sebulan.
Walaupun pustaka kandungan tidak sebanyak Netflix, Prime Video memiliki koleksi Original (kandungan yang dihasilkan sendiri) dan eksklusif dari barat yang menarik. Ia juga ada banyak filem berkualiti tinggi Indonesia dan cuba menarik peminat filem tempatan dengan kemasukan filem baru seperti Imaginur dan Abang Long Fadil 3.
Sama seperti Disney+ Hotstar, Prime Video juga banyak menyediakan kandungan dari India. Ada sedikit kandungan Korea, anime dan untuk kanak-kanak.
3. HBO Go
- Penilaian: 5/10
- Harga Pelan: RM35 – 1 bulan, RM70 – 3 bulan : 2 tontonan serentak
- Ringkasan: Eksklusif kandungan Warner Bros seperti DC. Ada kandungan daripada Jepun, Korea, China dan Thailand tetapi tiada kandungan tempatan. Kanak-kanak ada Cartoon Networks.
Harga HBO Go dilihat paling mahal iaitu RM35 sebulan atau RM70 untuk 3 bulan, tetapi ia memiliki kandungan ekslusif keluaran Warner Bros Pictures. Kandungan paling popularnya adalah siri DC, seperti Superman, Batman, Justice League dan Shazam. Selain itu, ia juga memiliki siri popular seperti Game of Thrones dan Friends Reunion.
Pelanggan turut disajikan dengan beberapa kandungan daripada Jepun, Korea, China dan Thailand. Tetapi tiada kandungan Malaysia. Untuk kanak-kanak, HBO Go menyediakan banyak kandungan daripada Cartoon Networks.
4. Apple TV+
- Penilaian: 5/10
- Harga Pelan: RM30 – 5 tontonan serentak / RM30 1 tontonan serentak Apple One (iCloud + TV + Music + Arcade)
- Ringkasan: Banyak kandungan Apple Originals dan barat. Tiada kandungan Asia dan Malaysia.
Sekali imbas, Apple TV+ seperti menyediakan kandungan eksklusif yang dihasilkan oleh sendiri sahaja iaitu Apple Originals. Tetapi mereka juga ada menambah kandungan lain di dalamnya. Pengguna juga perlu berhati-hati, agar tidak tersilap memilih kandungan yang ada di dalam Apple TV+, dengan kandungan yang perlu disewa atau dibayar berasingan.
Apple menyatakan kandungan di dalam Apple TV+ semuanya berkualiti tinggi. Ia merangkumi pelbagai kategori, termasuk dokumentari dan kanak-kanak. Ketiadaan kandungan Asia merupakan kekurangan terbesar. Harga pun agak mahal, tetapi bayaran RM30 sebulan boleh dikongsi dengan 5 orang. Atau langgan Apple One untuk tontonan seorang tetapi dapat juga iCloud 50GB, Music dan Arcade.
5. Viu
- Penilaian: 7/10
- Harga Pelan: RM30 – 3 bulan, RM55 – 6 bulan, RM100 – 12 bulan : 5 tontonan serentak
- Ringkasan: Platform terbaik kandungan Korea. Kandungan Original sangat menarik, tetapi tiada kandungan khas kanak-kanak.
Peminat drama dan rancangan hiburan Korea pasti sukakan Viu. Pelanggan boleh menonton kebanyakan kdrama ditayang di Korea, pada minggu yang sama bersama sarikata. Harga juga antara termurah, RM30 3 bulan atau RM100 12 bulan.
Viu juga ada banyak kandungan Original China, Thailand dan Indonesia. Malah, kandungan Original Malaysia mereka sangat menarik. Kandungan anime juga banyak dan terkini, tetapi tiada kandungan khas kanak-kanak.
6. WeTV
- Penilaian: 7/10
- Harga Pelan: RM12 – 1 bulan, RM32 – 3 bulan, RM113 – 12 bulan : 2 tontonan serentak
- Ringkasan: Banyak kandungan China, Korea dan Anime. Ada juga kandungan tempatan tetapi lebih banyak kandungan Indonesia. Tiada kandungan kanak-kanak.
Satu lagi platform menarik untuk peminat kdrama dan ada banyak kandungan dari China. Ia juga sarat dengan anime dari Jepun dan China. WeTV memasuki pasaran Malaysia dengan mengambil alih iFlix, jadi ia turut menyediakan banyak kandungan Malaysia dan Indonesia. Tetapi kandungan Malaysia agak lambat dikemaskini.
Harganya agak murah jika anda peminat kandungan dari Korea dan China kerana ada sangat banyak pilihan. Bagaimanapun, ia tiada kandungan kanak-kanak dan kandungan dari India. Paling utama, tiada kandungan dari barat.
7. iQiyi
- Penilaian: 7/10
- Harga Pelan:
- Standard RM12 – 1 bulan, RM120 – 12 bulan : FHD 2 tonton serentak
- Premium RM18 – 1 bulan, RM180 – 12 bulan : 4K 4 tonton serentak
- Ringkasan: Mirip WeTV, iaitu banyak kandungan China, Korea &a nime, tetapi ada lebih banyak kandungan Malaysia.
Konsep iQiyi sangat serupa dengan WeTV kerana ia berasal dari China dan menyediakan banyak kandungan China. Ia juga ada banyak kandungan dari Korea, Jepun, serta Indonesia dan Malaysia.
Terdapat banyak juga kandungan Anime di dalam iQiyi tetapi tiada kategori kanak-kanak di dalamnya. Tiada juga kandungan barat di platform ini.
8. Sooka
- Penilaian: 6/10
- Harga Pelan: VIP RM16 1 tonton, VIP Sports RM35 1 tonton Mobile, VIP TV RM63 2 tonton serentak
- Ringkasan: Platform paling lengkap tonton siaran langsung sukan, tanpa risau kontrak Astro. Ada banyak kandungan tempatan Astro adn beberapa kandungan luar negara.
Peminat rancangan sukan yang tidak mahu melanggan Astro, haruslah memiliki Sooka. Ia merupakan platform penstriman yang menyediakan siaran langsung sukan paling banyak untuk ditonton. Ini kerana, ia di bawah Astro. Tetapi Sooka boleh dilanggan secara bulanan dan tiada kontrak, boleh berhenti bila-bila masa.
Pelanggan VIP Sports boleh menyaksikan siaran lansung sukan seperti Liga Perdana Inggeris (EPL), Liga Super Malaysia, Badminton, perlumbaan F1 dan banyak lagi.
Selain kandungan sukan, pelanggan juga boleh menikmati pelbagai kandungan eksklusif Astro. Kebanyakannya kandungan tempatan, seperti rancangan Sepahtu Reunion dan drama Project High Council.
9. Tonton
- Penilaian: 5/10
- Harga Pelan: RM10 – 1 bulan, RM24 – 3 bulan, RM45 – 6 bulan, RM84 – 12 bulan : 2 tonton serentak
- Ringkasan: Majoriti kandungan dihasilkan di bawah Media Prima, sesuai untuk peminat drama Malaysia. Ada beberapa kandungan luar negara.
Tonton adalah platform penstriman milik Media Prima Berhad, yang turut memiliki saluran TV iaitu TV3, TV8 dan TV9. Ia menyediakan siaran langsung percuma TV miliknya.
Dengan melanggan pelan VIP, pengguna menerima akses pelbagai kandungan yang ditayangkan Media Prima. Pendek kata, penuh dengan drama dan filem keluaran Malaysia. Tawaran yang hampir serupa dengan Sooka, tetapi tiada siarang langsung sukan.
10. RTM Klik
- Penilaian: 4/10
- Harga Pelan: PERCUMA
- Ringkasan: Percuma saluran tv dan radio kerajaan. Ada kandungan terpilih yang disiarkan RTM tetapi tiada kandungan lain.
Jika Sooka adalah Astro dan Tonton pula Media Prima, RTM Klik adalah platform penstriman yang disediakan kerajaan Malaysia dan menyediakan kandungan yang disiarkan RTM. Ia adalah percuma dan menawarkan siaran langsung saluran TV kerajaan iaitu TV1, TV2, TV Okey, Berita RTM, Sukan RTM, TV6, serta Parlimen. Pengguna juga boleh mengakses radio RTM di dalamnya.
Pengguna juga boleh menikmati kandungan “on-demand” atau bila perlu terhadap kandungan milik RTM. Bermakna, terhad kepada filem dan drama dari Malaysia. Ini juga sesuai untuk rakyat Malaysia di luar negara yang mahu menonton saluran TV Malaysia.