Salah satu tablet dengan harga berbaloi dan prestasi tinggi sebelum ini adalah Xiaomi Pad 5. Selepas 2 tahun, Xiaomi Malaysia kini mengumumkan kedatangan penggantinya, Xiaomi Pad 6 untuk pasaran tempatan.
Ada beberapa naik taraf yang diberikan kepada Xiaomi Pad 6 tetapi ia bukanlah perubahan yang besar berbanding Xiaomi Pad 5. Malah, ia kekal ditawarkan dalam varian WiFi sahaja, tiada model LTE atau 5G.
Harga dan promosi
Tablet Xiaomi Pad 6 akan dijual di Malaysia mulai hari Khamis, 20 Julai 2023. Ia akan terdapat di semua kedai Xiaomi Store di seluruh Malaysia, serta atas talian di Lazada dan Shopee. Harga rasmi Xiaomi Pad 6 dan aksesorinya adalah seperti berikut:
- Xiaomi Pad 6 (RAM 6GB + Storan 128GB) – RM1,299
- Xiaomi Pad 6 (RAM 8GB + Storan 128GB) – RM1,399 (online sahaja)
- Xiaomi Pad 6 (RAM 8GB + Storan 256GB) – RM1,499
- Xiaomi Pad 6 Keyboard – RM399
- Xiaomi Smart Pen (2nd Generation) – RM399
- Xiaomi Pad 6 Cover – RM149
- Xiaomi Pad 6 screen protector – RM79
Xiaomi turut memberikan menyediakan tawaran menarik untuk pembeli terawal Xiaomi Pad 6. Untuk pembeli di kedai Xiaomi Store, mereka boleh mendapatkan salah satu keyboard atau Smart Pen dengan diskaun 50%.
Bagi pembelian online, pembeli varian 256GB akan diberi percuma fon telinga Redmi Buds 3 bernilai RM139. Varian 128GB pula menerima diskaun RM50, menjadikan harganya RM1,349 serta ada hadiah misteri bernilai RM399 untuk 200 pembeli pertama.
Spesifikasi Xiaomi Pad 6
Terdapat beberapa naik taraf diberi kepada Xiaomi Pad 6 berbanding Xiaomi Pad 5. Kuasa penggerak utama kini menggunakan cip Snapdragon 870 7nm dan digandingkan bersama RAM LPDDR5 sehingga 8GB, bersama storan UFS 3.1 sehingga 256GB. Tiada slot kad memori.
Skrinnya masih jenis LCD sebesar 11-inci, tetapi dipertingkat dengan resolusi lebih tinggi 2880×1800, serta kadar penyegaran 144Hz. Ia juga lebih cerah, mencecah 550 nits dan menyokong teknologi Dolby Vision serta HDR10. Kaca Corning Gorilla Glass 3 menjadi lapisan di atas skrin.
Sistem bunyi stereo Dolby Atmos disokong dan disalur keluar menerusi empat pembesar suara di tepi tablet. Hanya ada satu kamera di belakang iaitu kamera utama 13MP. Di hadapan pula dipasang kamera 8MP dan ia menyokong FocusFrame, fungsi yang menjadikan muka pengguna sentiasa di tengah sewaktu panggilan video.
Bateri dibesarkan sedikit, berkapasiti 8,840mAh dan menyokong pengecasan pantas 33W menerusi USB-C. Penghantaran data juga lebih pantas, kerana ia menggunakan sambungan USB 3.2 Gen 1. Sambungan wayarles pula menerima sehingga WiFi 6 dan Bluetooth v5.2. Tiada varian 4G/5G ditawarkan, hanya WiFi.
Sistem operasi MIUI Pad 14 dipasang ke dalam Xiaomi Pad 6, dibina berasaskan Android 13. Tiada jaminan kemaskini dinyatakan Xiaomi, tetapi Xiaomi Pad 5 telah menerima dua kemaskini OS utama. Boleh dikatakan, Xiaomi Pad 6 juga akan diberi 2 kemaskini OS utama.
Xiaomi turut mengumumkan sokongan pen stailus baru iaitu Smart Pen 2nd Gen dan ia dijual berasingan. Stailus ini memiliki 4,096 tahap sensiviti tekanan dan hayat bateri lebih lama, sehingga 150 jam penggunaan. 1 minit mengecas membolehkan penggunaan selama 7 jam. Ia dicas mudah secara magnetik dengan melekatkannya di atas tablet.
Terdapat tiga warna pilihan disediakan iaitu biru, emas dan kelabu. Untuk maklumat lanjut mengenai tablet ini, layari laman produk Xiaomi Pad 6.